Tuesday 14 March 2017

Tunai janji elak jadi munafik

Agama Islam satu-satunya cara hidup menepati kehendak fitrah manusia. Segala hukum aturan hidup Muslim ditetapkan berdasarkan tuntutan lahiriah dan rohaniah. Allah mengetahui segala keperluan setiap hamba-Nya dan menetapkan apa diperlukan.

Salah satu aturan hidup Islam ialah menepati janji. Firman Allah bermaksud: “Wahai mereka yang beriman!  Sempurnakan janji-janjimu.” - (Surah al-Maidah, ayat 1). 

Menepati janji merupakan sifat terpuji yang diamalkan para rasul dan nabi. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya dia (Nabi Ismail) adalah benar menepati janji, dan adalah dia seorang Rasul lagi berpangkat Nabi.” (Surah Maryam, ayat 54).

Islam mementingkan menepati janji kerana ia merupakan keperluan membentuk hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Setiap masa manusia perlu menunaikan janji dan kesetiaan yang diucapkan.

Perkara utama ialah menepati janji dengan Allah. Setiap Muslim telah mengikat janji mengabdikan diri kepada Allah. Ia bertepatan dengan tujuan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. 

Firman Allah bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzariyat, ayat 56). 

Dalam ucapan khalimah syahadat, setiap Muslim mengakui kekuasaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad. Pengakuan tersebut adalah satu janji untuk mematuhi segala syariat ditetapkan Allah dan mengikuti contoh amalan ditunjukkan oleh Rasulullah. 

Hubungan janji sesama manusia merupakan sendi kehidupan bermasyarakat. Setiap hari kita tidak terlepas daripada mengungkapkan perkataan bermaksud janji.   

Janji bermaksud kesediaan dan persetujuan untuk melakukan, tidak melakukan, memberi, mendapatkan dan menjadikan sesuatu, benda atau keadaan. Kesediaan tersebut biasanya berkaitan tempoh masa akan datang atau selepas itu.

Orang berjanji sebagai pihak pertama dan orang mengharapkan janji ditunaikan (dijanjikan) sebagai pihak kedua. Jika terdapat pihak menyaksikan perjanjian, dianggap pihak ketiga.

Pentingnya menunaikan janji sebagai akhlak orang mukmin. Sebaliknya, sifat tidak menepati janji menjadikan seseorang munafik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiga perkara sesiapa yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri janjinya dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).