Monday 27 November 2017

Fakta kolam air panas semula jadi

Kolam air panas menjadi tumpuan orang ramai untuk merasai kehangatan air panas yang keluar dari rekahan batu batan jauh dari perut bumi.  

Fenomena ini berlaku disebabkan oleh aktiviti gunung berapi yang kurang aktif jauh di dalam perut bumi.

Di dalam perut bumi kandungannya adalah cecair panas atau wap. Wap panas akan melalui rekahan gunung berapi untuk ke permukaan bumi. Sepanjang pergerakan naik itu wap panas akan kehilangan sebahagian habanya. 

Wap panas itu mengembang apabila sampai berhampiran permukaan bumi dan kemudian bertukar menjadi cecair dan seterusnya membentuk mata air yang panas.  

Air yang keluar itu seperti air sedang gelegak melimpah keluar dari tempat memanas. Air panas yang keluar sedikit berbau belerang atau sulfur. 

Air panas semula jadi yang keluar dari perut bumi baik untuk kesihatan. Ia mengandungi banyak galian terutama sulfur yang berupaya mengatasi masalah kulit.  

Dalam masyarakat kita telah lama mengamalkan menggunakan air panas semula jadi untuk mengubat penyakit kulit seperti kudis dan gatal.

Manakala kajian pakar perubatan di Jepun telah mendapati air panas semula jadi juga amat baik untuk merawat penyakit dalaman seperti lenguh-lenguh badan, sakit jantung, darah tinggi, lumpuh, kencing manis dan barah. Ia baik untuk membaiki perjalanan darah.

Pihak berkuasa tempatan biasanya mengambil kesempatan untuk memajukan kawasan air panas untuk tujuan pelancongan.

Jenayah akidah sokong LGBT

Kumpulan atau individu mengamalkan atau menyokong amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap melakukan jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam atau murtad.

Individu yang cenderung kepada kefahaman itu serta mereka yang bersahabat, bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan itu juga dianggap melakukan jenayah akidah.

Ini termasuk mereka yang memberi laluan atau mengeluarkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang menyokong kebebasan seksual itu.

Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah menerusi surah Hud ayat 113 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.’

Kefahaman yang menghalalkan hubungan sejenis juga telah membuang hukum berhubung perkahwinan yang antaranya rukun nikahnya ialah perkahwinan antara lelaki dan perempuan.

Justeru itu, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah serta Rasulullah itu bermakna telah menolak al-Quran dan sunah sekali gus tergolong dalam kumpulan yang sesat dengan kesesatan yang nyata.

Kenyataan sesetengah pihak mengenai undang-undang homoseksual negara itu bermotifkan politik iaitu mengharapkan sokongan daripada kumpulan yang berfikiran sekular serta liberal.

Pihak berkenaan cuba menonjolkan kepada masyarakat dunia terutamanya Barat bahawa beliau boleh bersifat terbuka dalam perjuangan hak asasi manusia termasuk dalam soal hubungan sejenis meskipun perkara itu jelas ditolak oleh semua agama.

Di negara ini kenyataan seperti itu mungkin boleh memberikan kelebihan politik daripada sekumpulan kecil kelompok masyarakat, tetapi bagi mereka yang waras ia adalah satu kenyataan yang melampau.

Sesungguhnya undang-undang mengenai homoseksual di negara kita tidak sepatutnya dipertikai kerana perbuatan itu ditegah oleh semua agama.

Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak menunjukkan sokongan kepada gerakan yang cuba menghalalkan hubungan sejenis termasuk memilih pemimpin yang cenderung menyokong aktiviti seperti itu.  

Di manakah suara pemimpin yang sebelum ini mendakwa merekalah pejuang Islam tulen? Adakah mereka hanya mengambil sikap memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap perlakuan maksiat terbabit semata-mata kerana tidak mahu percanggahan pendapat sesama sendiri dalam usaha untuk mencapai matlamat masing-masing. 

Pemimpin Islam perlu bertindak secara jujur dan bukannya menganut fahaman ahli falsafah Itali, Niccolo Machiavelli yang menganjurkan prinsip matlamat menghalalkan cara.

Perbuatan homoseksual tetap haram dalam Islam dan individu yang melakukan perlakuan keji itu telah berdosa.

Ketetapan ini disebut oleh Allah di dalam al-Quran terutama dalam kisah Nabi Luth bersama kaum baginda yang ingkar.

'Oleh itu undang-undang negara (Kanun Keseksaan) yang mengharamkan perbuatan liwat wajib dipertahankan walaupun ada pihak menuduhnya lapuk dan tidak relevan. Walau apa yang berlaku kita wajib mempertahankan peruntukan ini.

Seluruh umat Islam di Malaysia perlu menunjukkan kesungguhan tidak berbelah-bahagi untuk menegakkan syiar Islam menegaskan perbuatan menghalalkan LGBT hanya akan menyebabkan negara huru-hara.

Kita bimbang jika pandangan terlalu liberal yang dibawa sesetengah pihak tidak dibendung, maka akan lahir golongan pelampau yang akan mengambil tindakan sendiri apabila merasakan undang-undang tidak lagi mampu mengekang kegiatan LGBT.

Ingatlah falsafah China mengenai keseimbangan alam antara yin (putih) dan yang (hitam). Jika kita terlalu liberal maka akan lahir golongan ekstremis untuk menyeimbaginya. Kalau ini terjadi, Malaysia pasti huru-hara.

Friday 24 November 2017

Pengundi luar punca BN Kelantan kalah

Benarkah pengundi luar (rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan, tetapi mengundi di Kelantan) menjadi penyebab kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13)?  

Persoalan ini dilontarkan memandangkan sebelum pilihan raya didapati gelombang kebangkitan rakyat inginkan perubahan begitu kuat yang membayangkan BN akan menang besar di Kelantan. Bagaimanapun perkara ini tidak menjadi kenyataan yang dikaitkan dengan kepulangan pengundi luar.

Berdasarkan statistik senarai pengundi luar yang dikumpul oleh parti-parti yang bertanding, jumlahnya mencapai kira-kira 10 peratus daripada jumlah pengundi di sesuatu kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Berdasarkan jumlah keseluruhan pengundi di Kelantan kini sebanyak 918,573, boleh dianggarkan pengundi luar berjumlah kira-kira 91 ribu orang. 

Jika 91 ribu orang dibahagi secara purata dengan 14 parlimen di Kelantan, jumlahnya 6500 orang.  Dan jika dibahagi 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) jumlahnya ialah 2022 orang. Mengandaikan hanya 70 peratus yang balik mengundi, jumlah pengundi luar di setiap parlimen dan DUN masing-masing 4550 orang dan 1415 orang. 

Katakan peratusan pengundi luar yang balik mengundi memilih pakatan rakyat di Kelantan sebanyak 60 peratus, jumlah disumbangkan pengundi luar kepada pakatan pembangkang bagi setiap parlimen ialah 2730 dan DUN pula sebanyak 849 undi. 

Angka-angka ini biarpun sekadar anggaran, ia dapat membantu kita membuat keputusan tentang sama ada benar atau tidak pengundi luar menjadi penentu kepada kegagalan BN merampas Kelantan untuk penggal keenam berturut-turut. 

PRU-13 menyaksikan peningkatan penguasaan BN Kelantan apabila memenangi lima kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN, masing-masing pertambahan tiga dan enam berbanding PRU-12 lalu.  Pertambahan itu dianggap cukup baik berbanding iaitu lebih sekali ganda untuk parlimen dan sekali ganda untuk DUN.

Namun pertambahan itu masih kurang 11 kerusi DUN untuk membolehkan BN merampas Kelantan seperti kejayaan BN merampas Kedah daripada Pas. Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN yang mana, mana-mana parti atau gabungan parti memerlukan sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kembali kepada isu pengundi luar penyebab BN Kelantan gagal. Untuk itu analisa hanya berdasarkan kepada keputusan peringkat DUN. Mengambil kira semua pengundi luar mengundi Pas iaitu 1415 orang bagi setiap DUN, kekalahan BN disebabkan fenomina itu ialah di mana-mana kerusi DUN yang BN kalah kurang 1415 undi.   

Terdapat sebanyak 10 kerusi DUN yang Pas menang dengan majoriti kurang 1415 undi iaitu Wakaf Baru sebanyak 978 undi, Tendong (978), Gual Periok (615), Bukit Tuku (879), Jelawat (102), Gaal (302), Pulai Chondong (919), Temangan (1085), Kemahang (1034) Mengkebang (1072) dan Guchil sebanyak 492 undi.

Di 10 DUN ini, BN boleh menang jika tidak ada satupun pengundi luar mengundi Pas. Ini tentu tidak terjadi. Pun sebagai satu andaian, ia perlu diterima. Maka, BN mampu menambah 10 kerusi DUN lagi yang menjadikan jumlahnya 22 kerusi. Jumlah itu sebenarnya masih belum cukup untuk mendapat majoriti mudah iaitu 23 kerusi untuk memerintah Kelantan.

Dengan kata lain, pengaruh pengundi luar bukan pemutus mutlak memang atau kalah BN Kelantan. Terdapat lapan kawasan DUN yang dimenangi Pas dengan majoriti melebihi 5000 undi. Tentunya di kawasan DUN berkenaan, pengaruh pengundi luar hampir tidak ada langsung. BN Kelantan kalah adalah disebabkan pengundi yang tinggal di Kelantan sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan, gelombang merah yang melaungkan slogan tukar kerajaan Kelantan cukup hebat sehingga banyak pemerhati politik merasakan BN Kelantan mampu menang besar, bukan saja di peringkat DUN, bahkan tentu sekali kerusi parlimen juga.

Namun, pengundi telah membuat keputusan memberi kemenangan kepada Pas untuk terus kekal memerintah Kelantan bagi penggal keenam berturut-turut.