Saturday 21 July 2018

GOTONG ROYONG PADA MUSIM BUAH DURIAN

Masyarakat Melayu kaya budaya dan budi pekerti mulia. Bangsa Melayu kreatif untuk melakukan sesuatu dengan perkara yang berlaku sekeliling. Mungkin tidak ramai menyedari bagaimana sesuatu aktiviti gotong royong dilakukan mengikut musim buah.

Antara amalan gotong royong masyarakat Melayu yang kini semakin dilupakan ialah gotong royong membersih kubur. Biarpun sekarang kebanyakan kubur kelihatan bersih dari semak samun, namun sebenarnya dilakukan oleh dua atau tiga orang dengan menggunakan mesin dan ada yang membayarnya. Ada juga melakukan secara percuma.

Pada masa dahulu, membersih kawasan kubur dilakukan secara gotong royong melibatkan hampir keseluruhan pendudukan kampung dari kanak-kanak hingga ke tua. Yang kanak-kanak hadir bukan melakukan kerja, tetapi dibawa sama oleh ibu bapa sebagai latihan dan memupuk budaya murni. Memandangkan ramai yang hadir bersama peralatan sendiri, sebenarnya tidak lama kerja yang dilakukan. Sekejap sahaja dilakukan sudah siap. Itulah untungnya kerja gotong royong. Perkara berat akan menjadi mudah.

Bagaimana pula kaitan gotong royong dengan musim buah? Dahulu buah-buahan banyak di kampung. Jadi, untuk berkongsi rezeki, mereka ingin mengagihkan kepada jiran yang lain. Cara mudah untuk berkongsi satu kampung ialah dengan mengadakan gotong royong membersih kubur dan selepas itu diadakan jamuan buah-buahan. Paling popular tentu sekali durian yang dijadikan pulut durian dan serawa durian.

Begitulah, akrabnya kehidupan masyrakat Melayu dahulu. Bergotong royong dan berkongsi rezeki. Masing-masing rasa bertanggungjawab terhadap kampung sendiri dan menjalin hubungan mesra sesama penduduk kampung.

Tuesday 17 July 2018

MESIN MINI PROSES PADI

Mesin mini memproses padi menjadi beras. Teknologi membantu manusia mudah melakukan sesuatu tugasan atau keperluan. Kebanyakan teknologi baru bukan sahaja lebih baik dari segi kecekapan berbanding jentera atau mesin sebelumnya, tetapi juga dari segi ukuran lebih kecil.

Lihat sahaja gambar mesin memproses padi di atas. Ukurannya kecil dan mudah ditempatkan di kawasan kecil dan senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat. 

Kalau dahulu, sebut sahaja mesin memproses padi menjadi beras, ukurannya memang besar. Perlu beroperasi dalam tempat atau kilang yang luas. Paling kecil mesin memproses padi pada masa dahulu memerlukan kawasan 10 meter kali 2 meter. Itu hanya baru untuk meletak mesin.

Dengan mesin mini memproses padi, hanya kawasan kecil diperlukan. Sudah namanya mini, kuantiti yang mampu diproses juga sedikit untuk satu-satu tempoh masa, tetapi sudah dianggap ‘cekap’ dan maksimun untuk satu ukuran mesin yang kecil dan kos yang rendah.

Tulisan ini bukan ingin mempromosi mesin mini memproses padi menjadi beras gambar di atas, tetapi bercakap tentang wujudnya mesin-mesin mini seperti itu. 

Sebenarnya banyak lagi mesin memproses beras mini yang ada di pasaran. Dengan anggaran harga RM2000 hingga RM5000 anda sudah boleh membeli mesin mini memproses padi menjadi beras seumpama ini.  

Saturday 14 July 2018

MAKLUMAT DAERAH MELAWI BACHOK

Melawi adalah satu daerah (mukim) dalam jajahan (daerah) Bachok yang terletak menghadap ke laut China Selatan. Di sebelah timur dan utaranya pula bersempadan dengan daerah Perupok. 

Di baratnya pula bersempadankan daerah Tanjung Pauh dan Bekelam serta Gunong dan sebelah selatannya pula bersempadan dengan Daerah Telong.

Luas daerah Melawi lebih kurang 30.06 km persegi yang didiami kira-kira 20,000 orang penduduk (perangkaan 2014). Daerah Melawi mengandungi 8 mukim (kampung) yang diketuai 8 orang penghulu (ketua kampung).

Penempatan yang paling ramai didiami ialah kawasan tepi pantai seperti Kg. Changgong, Pantai Chpa, Pantai Baru, Kg. Badak dan Pantai Melawi sehingga Kg. Limau Nipis bersempadan Daerah Telong.

Kawasan sumber ekonomi ialah Cabang Tiga Melawi dan kawasan pertanian ialah di Kg. Padang Cina, Kg. Mujur dan Kg. Alor Pulai serta Kg. Kuau.

Melawi menjadi 'penanda' kepada pengguna jalan raya dari Kota Bharu ke Tok Bali, serta ke Kuala Besut dan tempat lain di Terengganu. Selepas melalui Melawi, pejalanan terus ke selatan tanpa terdapat cabang sehinggalah Tok Bali.

Keistimewaan daerah Melawi yang semakin disebut ialah Pantai Melawi. Biarpun tidak segah Pantai Irama yang terletak kira-kira 5 kilometer dari situ, Pantai Melawi semakin terkenal sebagai alternatif kepada mereka yang ingin mengelak berada di tempat ramai orang.



Tuesday 10 July 2018

BERSIH HATI IKUT PENDEKATAN TASAWUF

 
Pendekatan tasawuf boleh diaplikasikan untuk membudayakan nilai murni secara teratur dan terancang. Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya ‘Awarif al-Ma’arif, menukilkan maksud tasawuf sebagai individu sentiasa dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa nafsu.

Kaedah tasauf memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa itu bertujuan mendidik hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak.

Penegasan itu disentuh oleh Ibn Abidin dalam penulisannya ‘Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Dur Mukhtar Ibn ‘Abidin’ dengan memberikan ulasan: “Dan sifat kerosakan jiwa lainnya seperti ilmu mengenai sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takbur, khianat, bermuka-muka, menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lain-lainnya.  

Imam al-Ghazali (1058-1011) dalam kitab Ihya Ulum al-Din berkata: Seseorang itu janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab ‘al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan, faktor, tanda, dan upaya penyembuhkannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di dalamnya.”

Kesucian dan ketenangan hati daripada nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah kunci keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat.

Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan sunat seperti zikir, qiamulail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajud) serta amalan yang boleh mendekatkan jiwa manusia dengan Penciptanya.

Amalan dinyatakan itu sebahagian mekanisme bertujuan mendidik dan membersihkan hati daripada pelbagai kotoran nilai keji (mazmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai keji itu didorong nafsu syahwat boleh mengundang kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah SWT.

Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen tinggi kepada cara hidup beragama secara sempurna. Justeru, andai kata jiwa manusia dilingkari nilai keji maka ia perlu berusaha memperbaiki dan menyucikannya.

Jika nilai itu tidak dapat diatasi, nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke lembah kejahatan. Melalui latihan berorientasikan nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan memenuhi keperluan kerangka nilai murni yang luhur.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.” (Surah al-Taubah, ayat 112)

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat itu adalah pujian daripada Allah SWT terhadap hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasan, golongan ini disediakan dengan syurga.

Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan rukuk dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia lain ke jalan yang baik dan melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

Lantaran itu, Allah SWT menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat sedemikian.

Nabi SAW bersabda: “Allah berfirman: Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

Berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunah, dapat difahami bahawa manusia yang dilengkapi nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan diredai Allah SWT. Tidak diragukan lagi bahawa nilai murni dihayati individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada persekitaran sekelilingnya.

Sunday 8 July 2018

KATEGORI NAMA JALAN DI MALAYSIA

Kategori nama jalan di Malaysia dinamakan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan perbandaran dan jalan kampung atau jalan agensi. Jalan persekutuan dan jalan negeri menggunakan nombor pengenalan masing-masing. 

Jalan persekutuan akan menggunakan tiga angka contohnya Jalan Persekutuan 223 atau Federal Route 223 merujuk Jalan Pantai Cahaya Bulan. Nombor untuk jalan negeri pula dimulai dengan huruf yang diwakili negeri masing-masing dan diikuti dengan nombor.

Contohnya negeri Selangor dimulai huruf B, Perak (A), Melaka (M), Negeri Sembilan (N), Johor (J), Pahang (C), Terengganu (T), Kelantan (D), Pulau Pinang (P), Kedah (K) dan Perlis dimulai huruf R. Jalan negeri diuruskan oleh JKR negeri masing-masing.

Jalan pembandaran diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan. Manakala jalan kampung, jalan estet dan jalan agensi (contoh Kesedar) diuruskan oleh agensi atau pihak yang berkaitan.

Friday 6 July 2018

SEJARAH KAMPUNG SEMUT API PANTAI PCB

Kampung Semut Api sinonim dengan nama Pantai Cahaya Bulan atau Pantai Cinta Berahi yang lebih dikenali Pantai PCB. 

Kampung Semut Api adalah kampung dan juga mukim terkenal kerana menjadi lokasi terletak Pantai PCB. Kampung Semut Api terletak kira-kira 10 kilometer dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu.

Terdapat dua versi mengenai asal nama Kampung Semut Api. Versi pertama dikaitkan dengan sejarah pada masa dahulu yang mana penduduk kampung yang terdiri keluarga nelayan akan menyalakan api di kawasan sebuah bangsa yang dibina di sebuah kuala.

Sabut dan daun kelapa kering disumbat bersama untuk menyalakan api dengan besarnya agar boleh dilihat oleh nelayan yang pulang ketika matahari menghilang. Dari perkataan sumbat dan kuala itu dinamakan kampung ini dengan perkataan Kuala Sumbat Api yang kemudiannya ditukar kepada Kuala Semut Api.

Satu lagi kisah yang dikaitkan dengan asal nama Kampung Semut Api ialah banyaknya terdapat semut api di kampung itu. Keadaan itu berlaku ketika setiap kali musim banjir yang mana kumpulan semut merah atau lebih dikenali dengan nama semut api hanyut dari kawasan lain dan berkumpul di kampung itu dan selebih lagi hanyut ke laut. 

Memandangkan jumlah semut api yang banyak itu, maka ia dikenali dengan nama Kuala atau Kampung Semut Api.

Kampung Semut Api, khususnya di kawasan pantai melalui proses pembangunan selari dengan berkembangnya aktiviti pelancongan di kawasan itu. 

Pantai Semut Api menjadi lokasi peranginan paling menonjol di Kelantan kerana kedudukannya tidak jauh dari Kota Bharu.

Pantai Semut Api yang kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi menjadi lokasi pegawai tentera Jepun dan kemudian tentera atau pemimpin Inggeris ketika kedua-dua negara itu pernah menjajah Kelantan. 

Nama Cinta Berahi dikaitkan dengan tempat itu yang menjadi tempat pasangan kekasih memadu cinta berahi mereka. Pantai Cinta Berahi menjadi pilihan untuk pasangan baharu berkahwin berbulan madu di situ.

Namun, nama Pantai Cinta Berahi telah ditukar menjadi Pantai Cahaya Bulan apabila PAS memerintah Kelantan bermula pada 1990. 

Namun pertukaran itu masih mengekalkan nama Pantai PCB yang lebih kerap digunakan oleh penduduk Kelantan. 

Wednesday 4 July 2018

BERAPA KALI SEMINGGU PERLU LAKUKAN HUBUNGAN SEKS

Sukar menetapkan berapa kali seminggu pasangan suami isteri perlu melakukan hubungan seks untuk kehidupan yang baik. Banyak kajian dibuat menemukan keputusan berbeza. 

Ada mengatakan apabila usia meningkat dan mempunyai anak ramai, kadar kekerapan akan berkurangan. Pendapat lain mengatakan usia bukan faktor mutlak menentukan kadar kekerapan melakukan hubungan seks suami isteri. 

Kadar keupayaan seks lelaki tidak menurun biarpun usia meningkat jika kesihatan dalam keadaan baik. Keupayaan seks lelaki berkurangan disebabkan penyakit dan bukan kerana faktor umur. 

Penyakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan masalah jantung antara punca tenaga lelaki akan berkurangan ataupun tidak mampu berfungsi langsung.  

Setiap pasangan mempunyai pendapat berbeza dalam soal itu. Namun, jangan sekali-kali ambil mudah dalam soal tersebut.  

Banyak pasangan bercerai disebabkan masalah dalam hubungan seks. Pasangan mengalami tekanan disebab tidak mendapat apa yang diharapkan dalam hubungan seks. Semua itu membunuh kebahagian hidup berkeluarga.  

Jadi, pasangan suami isteri perlu berbincang secara terbuka dalam soal ini. Nyatakan apa yang sebenarnya diingini. 

Namun jangan keterlaluan dalam ‘permintaan’ yang mungkin akan menyebabkan pasangan akan rasa tertekan. Sesungguhnya, kesederhanaan itu adalah jalan terbaik.  

Monday 25 June 2018

SEJARAH NEGERI TERENGGANU

Negeri Terengganu Darul Iman bersempadan dengan Kelantan di bahagian utara dan di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu kira-kira 1,295,638.3 hektar. 

Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara bermula di Besut dan berakhir di Kemaman yang terletak di selatan. 

Terengganu dibahagikan kepada lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut.

Sebenarnya terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan asal nama negeri Terengganu. Terdapat tiga versi cerita paling popular yang dikatakan mempuanyai kaitan dengan nama asal Terengganu iaitu perkataan "terangnya ganu", "taring anu", dan "terengan nu".

Perkataan "terengnya ganu" dikaitkan dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan "teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran yang mereka lawati itu sungguh "terang ganunya".

Sementara itu perkataan "taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di satu kawasan hulu negeri Terengganu.

Apabila mereka tiba di satu tempat yang kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati, salah seorang daripada anggota rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Latas, salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama sebenar binatang yang bertaring tersebut.

Tidak lama kemudian, antara mereka dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "taring anu". Lama kelamaan tempat itu dikenali dengan Terengganu.

Satu lagi kisah berkaitan kisah "taring anu" yang berlaku di satu tempat lain yang melibatkan penduduk tempatan. Kisah ini menyatakan yang "taring anu" berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Duyung. 

Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja "taring anu tuanku". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring Anu yang kemudiannya dikenali Kuala Sungai Terengganu.

Dipercayai bahawa Terengganu merupakan antara penampatan terawal di negara kita. Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek yang terkenal yang hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi) ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan "Kole". Nama pelabuhan "Perimula" itu dipercayai ialah Kuala Sungai Terengganu dan pelabuhan "Kole" ialah Kemaman.

Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah".

Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "Ting Chia Hsia Lu. Dalam peta Wu Pei Chih, sekitar tahun 1511M hingga 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu, ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.

Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten pada tahun 1623M, Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama Capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang.

Manakala di dalam syair Jawa yang bernama "Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka.

Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (Kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung yang terletak di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang.

Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M pula ada menyebut beberapa nama bagai Terengganu di dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou, Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo.

Selain kemungkinan yang dijelaskan di atas, satu lagi kemungkinan nama Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan "Terenggani" dari bahasa Tamil yang bererti 'Tanah Berbukit'. Dipercayai pada masa lampau ramai pelawat India yang sampai di Terengganu yang melihat negeri ini di sepanjang pantainya dari laut kelihatan banyak berbukit.

Bagaimanapun, berdasarkan catatan bertulis di batu bersurat yang dijumpai di Kampung Buloh, Kuala Berang, tertera perkataan "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H (1891M) ejaannya pula ialah "Terkanu".

Apapun mengenai sejarah lampau mengenai Terengganu, wajah Terengganu moden yang turut dikenali Darul Iman adalah negeri yang mempunyai ciri-ciri istimewa dan unik. Terengganu cukup terkenal sebagai negeri pengeluar petrolium utama di Malaysia. Jadi, tepat sekali Terengganu diberi jolokan dengan nama Kuwait Malaysia. 

Negeri Terengganu mendapat manfaat besar daripada hasil kemajuan dan rangsangan ekonomi daripada aktiviti berkaitan petrolium. Nama Kerteh dan Paka cukup sinonim dengan industri petrolium yang menukar wajar kedua-dua tempat yang asalnya kampung nelayan menjadi satu bandar moden.

Selain mengharapkan sumbangan daripada industri berkaitan petrolium, Terengganu juga giat menjadikan bidang pelancongan sebagai penjana aktiviti ekonomi. Setiap tahun Terengganu mencatatkan peningkatan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. 

Ramai pelancong berkunjung ke Terengganu kerana tertarik dengan keindahan pantai peranginan, pulau yang kaya dengan khazanah laut, hutan lipur, tasik dan air terjun yang menarik.

Di sepanjang pantai terdapat banyak tempat menarik sudah dibangunkan sebagai pantai peranginan. Manakala banyak lagi yang berpotensi untuk dimajukan dan mempunyai daya tarikan yang tidak kurang hebatnya. 

Kawasan tepi pantai tidak sukar dibangunkan sebagai pusat peranginan memandangkan jalan-jalan utama di Terengganu adalah selari dengan pantai. Sistem jalan raya yang baik membantu membangunkan sesuatu kawasan sebagai pusat peranginan. 

Nama tempat seperti Rantau Abang, Batu Buruk. Batu Rakit, Rhu Sepuluh, Bukit Keluang, Merang, Kemasik, Tanjong Jara dan Telok Gadong merupakan pantai-pantai peranginan terkenal. 

Terengganu juga beruntung kerana mempunyai beberapa buah pulau yang menarik. Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Bidong dan Pulau Redang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan, bahkan pelancong luar negara.

Keindahan pulau yang dikelilingi lautan kaya dengan hidupan laut seperti batu karang, rumpaiar, ikan beraneka jenis dan sebagainya menjadikan ia satu destinasi yang amat menarik. Alam semulajadinya masih terjaga dan diurus dengan baik untuk mengekalkan kecantikan dan selamat dikunjungi. 

Kedudukan pulau yang tidak jauh dari dataran utama juga merupakan faktor ia mudah dikunjungi. Untuk pergi ke pulau-pulau tersebut hanya mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam dengan menggunakan bot biasa.

Manakala hutan lipur terkenal pula ialah Lata Belatan, Lata Tembakah, Kolam Air Panas La dan Jeram Sekayu yang amat kaya dengan keindahan semula jadi dan air terjun yang menarik.  Tidak kurang menarik juga ialah Tasik Kenyir yang merupakan antara tasik buatan terbesar di Malaysia.

Selain itu keistimewaan Terengganu juga terletak pada keindahan budaya dan tradisi yang unik, menarik serta tersendiri. Terengganu terkenal dengan tarian ulik mayang. Makanan paling terkenal pula keropok lekor. Manakala kerja tangan berkaitan perak, tembaga dan emas menampilkan kehalusan seni ukir Terengganu. Berasaskan kepada ciri-ciri tersebut Terengganu muncul destinasi utama pelancong di negara kita.

Terengganu adalah salah sebuah daripada sembilan negeri di negara kita yang memiliki institusi beraja. Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah  Sultan Zainal Abidin 1. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah puter Tun Habib Abdul Majid.

Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani. 

Saturday 9 June 2018

MAKSUD LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN

Maksud lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya ialah meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti wanita, dari segi perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung atau dari segi gaya bercakap seperti bercakap dengan suara yang halus dan lanjut  atau dari segi  berjalan seperti berlenggang-lenggok dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.

Sementara meniru gaya orang lelaki pula adalah dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti lelaki, dari segi  perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala, dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki.

Sehubungan dengan itu, perkara-perkara yang dilarang lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah seperti berikut:
- Mengubah bentuk fizikal termasuk menukar jantina,
- Gaya berjalan dan gerak badan.
- Percakapan dan suara.
- Perhiasan.
- Pakaian

Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah haram bahkan berdosa besar berdasarkan terdapatnya dalil yang melaknat orang yang melakukannya.

Perbuatan ini juga merupakan antara kemungkaran yang telah merebak dengan meluas di kalangan umat Islam.

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya dengan cara perubatan sama ada dengan pengambilan hormon atau membuat pertukaran jantina adalah haram. Ianya termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Daripada Abdullah bin Masud katanya, “Allah melaknat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dilaknat oleh Rasulullah SAW sedangkan di dalam al-Quran Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.”

Hikmah pengharaman mengubah-ngubah ciptaan Allah adalah kerana terdapatnya pemalsuan, penipuan dan menimbulkan sangkaan yang tidak benar seperti menganggap ciptaan Allah tidak sempurna.

Perbuatan berlagak lelaki atau perempuan haram berdasarkan hadis yang bermaksud: "Daripada Ibnu Abbas, katanya, “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabrani, Abdullah bin Amru bin al-As telah melihat Ummu Said binti Abu Jahal berjalan seperti seorang lelaki dengan pedang tersisip di pinggangnya lalu Abdullah berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah daripada kalangan umatku perempuan meniru lelaki dan lelaki meniru perempuan."

Laknat dalam hadis di atas merupakan celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ianya menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah terhadap perbuatan tersebut. Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat bermakna tidak harus iaitu haram. Manakala al-Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata: Laknat  itu menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.

Hikmah pengharaman ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, adalah kerana larangan mengubah-ngubah ciptaan Allah sebagaimana hadis di atas.

Selain itu, ianya diharam bagi mengelakkan perbuatan homoseksual dan lesbian sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut. Hal disebutkan dalam surah al-Naml ayat 54 dan 55 yang bermaksud: "Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”.

Bagi lelaki menyerupai perempuan dari segi ibadah, mualamah, munakahat sehinggalah kepada urusan jenazah adalah kekal sebagaimana hukum ke atas seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

Friday 8 June 2018

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KUBANG KERIAN

Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian ditubuhkan pada 10 Januari 1965 dengan jumlah pelajar 156 orang iaitu seramai 94 pelajar lelaki dan 62 pelajar perempuan.

Pada peringkat awal SMK Kubang Kerian menumpang di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian kerana ketiadaan bangunan sendiri dan beroperasi sebelah petang.

Tenaga penggerak utama di sebalik penubuhan sekolah ini ialah Cikgu Salleh Bin Mohd Akib dan dilantik sebagai pengetua pertama.

Pada peringkat awal sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Kubang Kerian. Bagaimanapun nama ini telah diubah kepada Sekolah Menengah Kubang Kerian apabila tingkatan 4 mula dibuka pada tahun 1968.

SMK Kubang Kerian mula berpindah ke bangunan sendiri pada 6 September 1966. Hal ini bermakna era menumpang selama 1 tahun 7 bulan dan 24 hari telah berakhir.

Bangunan kekal ini terletak di Jalan Raja Perempuan Zainab 2 di atas tapak seluas 6.5 ekar. Pada peringkat awal sekolah ini hanya mengandungi 2 bangunan sahaja dengan peruntukan 7 bilik darjah, 1 makmal, 1 bilik masakan, I bilik jahitan, 1 bengkel SPU, 1 bilik perpustakaan dan 1 bilik pejabat. Bangunan ini dirasmikan oleh Menteri Pelajaran pada waktu itu iaitu Mohd Khir Johari pada 3hb Julai 1967.

Akibat pekembangan yang agak pesat dari segi pertambahan pelajar maka ditambah beberapa bangunan baru seperti Blok C (2 tingkat) pada tahun 1970 dengan peruntukan 4 bilik darjah, 1 pentas, 1 bilik makmal, 1 bilik pejabat dan 1 bilik guru. Pada tahun 1972 berikutan pembukaan aliran sains, satu lagi bangunan 3 tingkat ( Blok E) yang mengandungi 6 bilik darjah.

Pada tahun 1989, sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi 4 bilik darjah telah dibina khas untuk dijadikan bengkel Kemahiran Hidup. Pada tahun 2000 telah tertegaknya 3 blok bangunan yang dibina memanjang dan bersambung. Bangunan ini menempatkan lebih banyak bilik darjah, I bilik guru yang besar, dewan, makmal, bilik ERT dan juga menenpatkan Pusat Sumber (perpustakaan) yang lebih besar dan selesa.

Monday 4 June 2018

MENGAPA KAD KREDIT PUNCA MUFLIS

Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.

Langkah bijak yang perlu dilakukan oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad kredit ialah dengan memilih kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Ini kerana ia bukan sahaja menepati syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya. Penggunaan kad kredit perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan dan tidak membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.

Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk memberikan kemudahan kepada mereka ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia membahayakan keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.

Dengan adanya kad kredit, mereka tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari bank dan pengguna tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau pembayaran.

Sayangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan tetapi lebih kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang tinggi di mata masyarakat.

Keadaan ini tidak pelik kerana terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel yang memberikan layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej kemewahan.  

Hasilnya, terbitlah sifat- sifat negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati. Sifat berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Pendek kata, penggunaan kad kredit untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada tujuan asalnya. Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti melanggar batasan yang sepatutnya.

Jika motif memiliki kad kredit adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan cenderung kepada membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad kredit semata-mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan berstatus tinggi.

Perlu diberi perhatian juga, penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat. Masyarakat boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan. Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.

Ini kerana, ia akan mewujudkan budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam kecuali bagi mereka yang benar-benar berhajat kepadanya.  Menggunakan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu dilunaskan.

Semuanya akan dipertanggungjawabkan sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak sekiranya gagal menunaikannya.

Justeru, masyarakat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad kredit. Gunakanlah sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.

Di samping itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah perbelanjaan tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk membayar semula.

Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.

Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya. 

Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.

KAD KREDIT LARIS DI PASARAN

Kad kredit adalah antara produk institusi kewangan yang paling laris di pasaran. Kad kredit merujuk kepada sejenis kad yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang digunakan untuk mengganti penggunaan wang tunai.

Penggunaannya makin popular dan boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit. Sebabnya, ia memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai. Secara mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.

Namun, pernahkah kita bertanya bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya sahaja! Pihak pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya, menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai 'had kredit'.

Apabila kad berkenaan digunakan untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan akan berkurangan. Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini jika pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.

Namun, pemegang kad kredit biasanya tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah pembayaran ini tidak digalakkan.

Kad kredit jika digunakan mengikut kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah.

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor kredit yang sebelum ini terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.

Namun, seperti yang dinyatakan di atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit secara berleluasa tanpa pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada ekonomi dan moral individu serta masyarakat.

Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.

Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.

Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya. Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.

BAYAR MINUMUN KAD KREDIT PUNCA HUTANG BERTAMBAH

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang. Ini memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun tunai dimiliki sedikit pada ketika itu. 

Pemohonan mendapatkan kad kredit agak mudah iaitu terbuka kepada mereka yang berpendapatan sekitar RM2000 sebulan atau RM24000 setahun. Syarat jumlah pendapatan itu dianggap rendah, memandangkan rata-rata siswazah yang baru bekerja sudah memperoleh pendapatan sebanyak itu.

Pun diakui tidak semua yang layak dari segi jumlah pendapatan diluluskan permohonan mendapatkan kad kredit.

Kemudahan kad kredit digunakan oleh pemiliknya untuk hidup bergaya dan mewah.  Hakikatnya, mereka sebenarnya tidak mempunyai wang yang cukup. Akibatnya, banyak pemegang kad kredit gagal melunaskan pinjaman masing-masing. 

Peningkatan jumlah hutang tertunggak antara lain disebabkan gaya hidup rakyat Malaysia yang mana masih ingin membeli biarpun sedar tidak memiliki wang tunai. Justeru, penggunaan kad kredit dijadikan pilihan untuk memenuhi keinginan itu.

Masalah timbul apabila bil bulanan diterima, baru sedar jumlah yang perlu dibayar di luar kemampuan. Untuk mengelak tindakan daripada syarikat kewangan pengeluar kad kredit, cara yang diambil ialah hanya membayar pada kadar minumum daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.

Hampir separuh pemegang kad kredit membayar sekurang-kurangnya jumlah bayaran minimum secara tepat pada waktunya dan membawa baki selebihnya ke hadapan. Sekiranya bayaran minimum tidak dibuat sehingga tarikh akhir bayaran, cas bayaran lewat akan dikenakan.

Membayar kadar minimum bukan cara penyelesaian mutlak. Ia sekadar untuk mengelak tindakan undang-undang oleh syarikat kewangan. Sebaliknya, masalah lain pula wujud iaitu pertambahan kadar hutang melalui kadar faedah yang dikenakan. 

Berdasarkan kepada situasi itulah mengapa pemegang kad kredit terjerat dengan masalah hutang sehingga sukar untuk menjelaskannya. Biarpun tidak lagi menambah hutang baru dengan pembelian atau pembayaran, kadar hutang terus bertambah disebabkan kadar faedah dan cas-cas lain yang dikenakan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit.  Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang dari kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.     

Tindakan itu bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Sekiranya sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemegang kad kredit berdepan dengan suasana hidup yang semakin celaru dan krisis moral yang memerangkap diri. 

Kegagalan membayar hutang kad kredit menyebabkan banyak pemegangnya diseret ke mahkamah untuk dikenakan tindakan muflis. 

Sesiapa yang dikenakan status bankrap atau muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu. Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang seperti menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urusniaga haram.

Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya. Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarnya.

Kad kredit tidak sepatutnya dijadikan sebagai cara mudah untuk membuat pinjaman. Kebanyakan pemohon kad kredit awal-awal lagi merancang untuk mendapat kemudahan kredit dan pengeluaran wang pendahuluan di tahap maksimum. 

Sesungguhnya sesiapa saja yang berbelanja tanpa memikirkan kemampuan membayar akan terjebak dengan masalah hutang. Biarpun pendapatan tinggi, tetapi jika tidak bijak berbelanja tetap akan berdepan dengan masalah muflis. Kecenderungan berurusniaga secara hutang tanpa batasan mencetuskan fenomena kegagalan mengurus kewangan dengan bijak.  

Sunday 3 June 2018

CARA ELAK GADUH BALIK RAYA

Hari raya masing-masing berkumpul di rumah ibu bapa mahupun datuk. Meriah betul suasana di kampung yang menerima kepulangan perantau. Bagi yang bujang, tidak timbul masalah hendak pulang ke mana. Yang adapun hanya di rumah ibu bapa sendiri.

Masalahnya kepada yang sudah berkahwin atau berkeluarga sampai gaduh balik raya. Mereka ada dua destinasi perlu dipilih sama ada rumah ibu bapa sendiri atau rumah ibu bapa pasangan. Kalau dari negeri yang sama, rasanya masalah untuk pilih tidak timbul masalah sangat kerana boleh ulang alik dengan mudah disebabkan dekat. Masalah besar bagi pasangan yang berasal dari jauh. Satu keluarga di utara dan satu pihak lagi di selatan. Masalah perjalanan sehingga melebihi 10 jam dan lebih parah lagi terpaksa menghadapi perjalanan yang sesak pada musim hari raya.

Disebabkan masalah membuat keputusan memilih rumah sebelah mana, ada pasangan bergaduh. Lebih parah turut diheret sama anak-anak untuk menyokong rumah datuk mana yang di sukai.

Mengapa mesti gaduh pilih sebelah mana hendak balik raya. Fikirkan, hari raya untuk bergembira, bukan untuk bergaduh dan berduka. Ada petua patut diamalkan dalam soal pujuk hati agar menerima dengan hati terbuka apa sahaja pilihan tempat berhari raya. Jangan gaduh balik raya.

Petua 1 - Beraya di mana-mana pun sama.
Sebenarnya kita yang menentukan pemikiran kita untuk mewujudkan perasaan gembira. Gembirakan hati dan minda. Jangan fikir tentang perkara lain. Jangan bernostagia beraya di tempat lain. Hargai situasi yang kita hadapi pada masa itu.

Petua 2 - Anggap di tempat itu lebih baik.
Katakan kena berhari raya di rumah atau kampung sebelah pasangan. Anggaplah itu adalah tempat lebih baik untuk berhari raya. Fikirkan tentang perkara baik yang boleh dinikmati. Guna atau lalui masa dengan aktiviti yang mengembirakan dengan pasangan, ahli keluarga dan sanak saudara. Mungkin kira berasa bertuah dimuliakan atau disayangi oleh mertua, ipar dan keluarga sebelah pasangan.

Petua 3 - Anggap itu satu pengorbanan mulia.
Hidup berumahtangga perlukan pengorbanan. Jangan hanya pentingkan diri sendiri. Kalau semasa bercinta dahulu macam-macam sanggup dilakukan, ini hanya perkara kecil untuk ikut berhari raya di sebelah pasangan.

Petua 4 - Atur giliran.
Hari raya berlaku pada setiap tahun. Ada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Jadi gilir-gilir berhari raya di kedua-dua pihak. Adil dan masing-masing berpuas hati.

Petua 5 - Bertolak ansur.
Ada kala perlu pulang ke rumah keluarga sebelah pasangan kerana ada keperluan tertentu. Contoh ada kenduri kahwin atau ambil peluang menziarah keluarga yang sakit. Dalam keadaan itu, jangan fikir sangat sangat mengenai giliran.

Tuesday 29 May 2018

KUIH SELAK PINTU PAPUDAK

Kuih ‘selak pintu’ atau papudak, sejenis kuih tradisional masyarakat Banjar. Dalam bahasa Banjar kuih ini dipanggil ‘sunduk lawang’ atau dalam bahasa Melayu selak atau palang pintu berikutan bentuknya yang memanjang seperti kayu selak pintu rumah zaman dulu kala.

Kuih papudak antara juadah kuih manis yang jarang dijual berikutan pembuatannya yang rumit. Bahan kuih papudak itu hanya menggunakan adunan tepung gandum, santan, gula, air daun pandan dan sedikit garam. Mudah sahaja untuk membuatnya.

Yang rumitnya proses membuat kelongsong daun pisang daripada menggulung, mengisi dan merebus yang memerlukan ketelitian. Saiz biasa kuih selak pintu kira-kira 15 sentimeter. Kelongsong daun pisang itu mesti boleh menampung adunan cair yang dituangkan ke dalamnya. Itu yang rumitnya.

Kuih papudak yang enak perlu lembut apabila siap direbus dan sedikit bergoyang ketika dibuka untuk dimakan. Hanya daun pisang nipah dan kapas sesuai dibuat kelongsong kuih papudak berikutan daun pisang yang lain membuatkan adunan kuih itu menjadi pahit apabila direbus.

Daun pisang juga perlu direbus atau dilayur sebentar sebelum dapat diisi ke dalam kelongsong kerana jika tidak daun pisang pecah ketika digulung.

Friday 25 May 2018

ELAK BERADA DI MAJLIS ADA UNSUR MAKSIAT

Usaha seru laku kebaikan dan cegah amalan buruk dapat selamat masyarakat dijangkiti barah kehancuran tamadun kemanusiaan. Usaha bersungguh-sunguh ikhlas hanya kerana Allah, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan akan dapat diselamatkan.

Setiap pemimpin perlu melakukan tugas menyeru laku kebaikan dan cegah keburukan bukan untuk melakukan tugas rasmi, tetapi tugas kerana patuh perintah Allah.  

Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Apa dilakukan atas tugas mengikut jawatan yang disandang. Tiada keikhlasan dan kefahaman sebenar di sebalik apa dilakukan.

Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian.

Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti meminum arak. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.

Firman Allah: "Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu)." (Surah al-An‘am, ayat 68).

Berkerjasama dengan bukan Islam bukan bermakna boleh gelak ketawa bersama mereka dalam suasana yang lebih sesuai untuk kehidupan mereka. Kalau mereka menghormati kita sebagai orang Islam, majlis yang turut dihadiri pemimpin dan individu beragama Islam tidak wajar dihidangkan arak dan makanan tidak halal.

Duduk bersama dalam majlis yang mengandungi unsur kemaksiatan, bermakana kita reka dengan apa yang dilakukan.

Jika mereka tidak mampu memenuhi peraturan itu, maka tidak wajar orang Islam menghadirinya. Carilah masa sesuai untuk bersama dalam urusan yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Friday 23 February 2018

MELAYU PERLU MELABUR DI BURSA SAHAM

Menurut statistik, kira-kira 240,000 bumiputera mempunyai akaun di Bursa Malaysia dengan peratusan keseluruhan sekitar 22 peratus. Penglibatan bumiputera dalam jual beli saham di Bersa Malaysia masih dianggap kecil.

Mereka yang terlibat dalam saham boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu pelabur yang membeli saham dan menyimpannya dalam tempoh tertentu.

Kategori kedua ialah pedagang saham melakukan urusan jual beli saham dalam jangka masa pendek secara kerap dan agresif. Mereka menyusun strategi tersendiri, mempunyai taktik dan melakukan analisis mendalam.

Dalam hal ini, pelabur saham berpeluang mendapat keuntungan sekurang-kurangnya melalui dua cara iaitu keuntungan modal. Dalam erti kata mudah, ia bermaksud beli murah jual mahal.

Pelaburan tidak memerlukan tempoh matang dengan urusan jual beli saham boleh berlaku bila-bila masa. Jika bernasib baik palabur telah mendapat untung setelah membeli beberapa minit dan terus menjual apabila harga naik.

Cara kedua pula melalui keuntungan dividen. Ia merujuk kepada pembahagian sebahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham. Dividen diagihkan berdasarkan prestasi operasi syarikat dan bukannya turun naik harga saham.

Hari ini, proses jual beli dapat dibuat melalui platform dagangan online dengan Bursa Malaysia menetapkan jumlah minimum pembelian 100 unit yang bersamaan dengan satu lot.

Pelaburan saham merupakan satu daripada platform pendapatan yang mampu memberi pulangan yang baik. Namun, sudah adat berniaga pastinya ada untung dan rugi.

Tapi orang kita tidak mahu rugi langsung, sebab itu mereka terjebak dengan skim cepat kaya kerana skim cepat kaya menjanjikan pulangan tanpa risiko. Itu bukan pelaburan tetapi peleburan.

Kerugian dalam skim cepat kaya mungkin melibatkan seluruh jumlah yang dilaburkan apabila penganjur melarikan diri. Namun, pelaburan di bursa saham agak selamat biarpun kemungkinan mengalami kerugian tetap ada.

Pelabur boleh mengelak kerugian atau meminimunkan kerugian jika memahami tentang ilmu pelaburan. Banyak agensi atau pihak mengadakan seminar atau kursus selok belok ilmu pelbaburan.

Mereka yang baru berjinak-jinak dengan pelaburan saham dinasihatkan supaya menggunakan wang lebihan untuk berbuat demikian supaya tidak mengganggu kedudukan kewangan masing-masing.

Sekurang-kurangnya jika berlaku kejatuhan ia tidak menjejaskan kewangan kita. Jika belum mahir melabur tidak sesuai melabur saham menggunakan wang pinjaman, hutang kad kredit atau mengambil wang yang diperuntukkan untuk komitmen lain seperti sewa rumah dan sebagainya.

Untuk memulakan membeli saham, seseorang itu perlu membuka akaun Central Depository Service (CDS) di mana-mana bank pelaburan yang terdapat di Malaysia.

Antara bank pelaburan yang disenaraikan oleh Bank Negara ialah Alliance Investment Bank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad

Akaun CDS diperlukan bagi segala urusan transaksi jual beli saham. Ia boleh dibuka oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan menyertakan beberapa dokumen seperti penyata bank dan slip gaji.

Di Bursa Malaysia terdapat lebih 900 syarikat tersenarai dengan 686 daripadanya merupakan syarikat patuh syariah.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengeluarkan senarai kemas kini sekuriti patuh Syariah dari semasa ke semasa seperti diluluskan Majlis Penasihat Syariah.

Dengan kata lain, orang Islam tidak sukar untuk memilih kaunter patuh syariah yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.