Saturday 27 January 2018

Patutkah ulama sertai politik

Penglibatan golongan ulama dalam dalam politik dan sudah tentu akan menyokong parti politik yang disertai. Dalam hal ini, mereka sendiri selayaknya dipanggil pemimpin dan bukan lagi maksud ulama yang diharapkan menjadi penasihat kepada pemimpin.

Sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam sebuah negara Islam, ulama yang berpolitik menyebabkan kata-kata mereka ditakrif sebagai ahli politik oleh setengah pihak dan pihak lain pula menganggap sebagai ulama. 

Keadaan ini dapat dilihat apabila ulama yang berpolitik sering mengikut keputusan parti politik yang disertai atau disokong, berbanding menggunakan hujah agama dalam membincangkan sesuatu isu.  

Pada zaman al-Ghazali, ulama memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan penguasa tidak menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Sebaik-baik syuhada’ (mati syahid) adalah Hamzah Abd. al-Muthalib, kemudian orang yang berdiri di hadapan imam lalu memerintahnya (berbuat ma’ruf) dan mencegahnya (dari berbuat yang mungkar) kerana Allah, lalu ia terbunuh untuk itu”.

Institusi ulama belum berjalan dengan baik dan berkesan kerana segelintir ulama lebih cenderung untuk berpolitik serta membentuk gaya kepimpinan yang eksklusif, berada dalam kelompoknya dan hidup secara berasingan.

Apabila ada ulama yang berdampingan dengan pemimpin yang berkuasa, ulama berkenaan dikaitkan pula dengan istilah ulama suu’, ulama yang boleh dibeli dan tidak membuat penilaian secara berilmu.

Tuduhan sedemikian menyebabkan jarak antara ulama dan umara menjadi renggang, maka sebagai pemimpin yang berkuasa, jarak tersebut perlu didekatkan melalui program-program tertentu.

Kegagalan ulama dalam menjernihkan persoalan atau krisis yang berbangkit sesungguhnya akan mencetuskan persoalan mengenai kewibawaan ulama itu sendiri.

Para ulama yang menyokong parti-parti politik ini akan menegakkan perjuangan politik masing-masing melalui tindakan memutar-belitkan ayat-ayat al Quran supaya umat Islam terpengaruh dengan menyokong mereka.

Akibatnya, umat Islam yang selama ini mengharapkan peranan ulama untuk menjadi titik penamat terhadap konflik antara mereka menjadi semakin berkecamuk.

Sememangnya kita tidak pasti sehingga bilakah sikap taksub kelompok ulama yang terlibat dalam politik terhadap parti atau pemimpin mereka akan berterusan.

Tetapi di dalam Islam sudah dinyatakan dengan jelas antara ulama sejati (ulama khoir) yang berakhlak mulia dengan ulama su' iaitu ulama yang berakhlak buruk.

Kitakan Islam. Amalkan apa yang disuruh Allah SWT dan menjauhkan apa yang dilarang.  

Wednesday 24 January 2018

Memarut kelapa guna pemarut tradisional

Pemarut sejenis alat digunakan untuk memarut kelapa, ubi, buah dan sebagainya agar menjadi halus. Pemarut diperbuat daripada besi. Bahagian depan ada 'mata' tajam timbul pada bahagian papan.

Bahan yang ingin diparut akan digerakkan turun naik atau melalui papan mata itu berulang kali untuk menghasilkan potongan halus. Kehalusan mata menghasilkan parutan yang halus. Ada juga mata pemarut yang lebih timbul untuk hasil yang lebih kasar.

Semasa memarut perlu dilakukan berhati-hati. Pegang bahan yang ingin diparut kejap-kejap untuk mengelak terlepas dan melukakan tangan.

Kerja memarut tidak dapat diteruskan setelah bahan diparut mengecil. Jika bahagian itu ingin diparut juga untuk mengelak pembaziran, maka ia perlu digabungkan atau dikepit dengan keratan atau tongkol seterusnya.

Pemarut biasanya digunakan untuk memarut dalam kuantiti yang sedikit. Pemarut yang kecil mudah untuk diletak di dalam pingan atau besin kecil yang digunakan menadah hasil parutan itu.

Pemarut kecil juga mudah dibasuh dan disimpan. Biasanya di 'kepala' pemarut ada lubang khas untuk memudahkan disangkut pada paku untuk disimpan.  

Tunai solat di mana sahaja

Solat tiang agama. Tanpa menunaikan sembahyang, maka runtuhlah agamanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama" (Hadis riwayat Baihaqi)

Sebab itu dalam keadaan apa sekalipun, setiap muslim wajib menunaikan solat fardu lima kali sehari.

Orang sakit tetap wajib menunaikan solat biarpun dalam keadaan duduk, mengiring mahupun terlentang. Kefarduan menunaikan solat tetap tertanggung di atas diri muslim selagi dia masih sedar dan fikiran waras.

Perbuatan meringankan tanggungjawab menunaikan sembahyang satu dosa besar. Maka itu, dalam kesibukan mahupun keadaan tidak selesa, sembahyang mesti diutamakan.

Justeru, sesiapa yang meninggalkan solat walaupun mengerjakan ibadah-ibadah yang lain seolah-olah memiliki rumah yang indah dan mewah, tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh untuk menjaminnya kekal teguh.

Maka, lama-kelamaan rumah tersebut akan runtuh dan musnah menyembah bumi. Perumpamaan ini begitu signifikan sekali sekiranya dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam yang ada pada hari ini.

Bukan sedikit yang meninggalkan solat walaupun tetap melakukan ibadah yang lain seperti menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan.

Tempat untuk menunaikan sembahyang tidak hanya di masjid, surau atau di rumah sahaja. Di mana-mana sahaja boleh dijadikan tempat sujud asalkan bersih dari najis.

Friday 19 January 2018

Burung hantu keluar malam

Burung hantu nampak sangat elegan dan menarik. Burung hantu dikelaskan sebagai binatang liar dan pemakan daging (karnivor). Burung hantu biasanya keluar pada waktu malam. Justeru, ia dipanggil haiwan malam. Pada waktu malam, burung hantu akan terbang ke sana-sini. Tetapi, pada waktu siang, ia akan tidur nyenyak!

Atas sebab itu burung hantu dikaitkan dengan suasana seram dan menakutkan.  Tambahan, nama 'hantu' itu mengaitkan burung itu dengan hantu yang menjadi ketakutan dan kebimbangan orang. Ia dikatakan pembawa berita kematian. Jika ada burung hantu di kawasan rumah, itu tandanya ada kematian akan berlaku di dalam keluarga atau di kampung itu.

Sebaliknya, di barat, haiwan ini dianggap simbol kebijaksanaan. Memandang burung hantu memberi aura dan keyakinan diri.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 222 spesies burung hantu yang telah dikenal pasti di seluruh dunia.

Burung hantu memiliki mata besar menghala kehadapan yang terletak di bahagian muka yang leper. Matanya sesuai untuk memburu pada cahaya malap. Paruh menyerupai burung helang.  

Pelepah yang membentuk cakera ini boleh ditala agar dapat menumpukan dengan jelas bunyi yang datang dari jarak berlainan pada liang telinga burung hantu dan terletak pada kedudukan tidak sekata.

Burung hantu mampu memutarkan kepala dan leher mereka sehingga 270 darjah. Burung hantu memiliki empatbelas vertebra leher berbanding 7 pada manusia yang menjadikan leher mereka lebih lentur.

Paruh tajam burung hantu dan kukunya yang berkuasa membenarkan ia membunuh mangsanya sebelum menelannya bulat-bulat (sekiranya ia tidak terlalu besar).

Burung hantu dijadikan 'pengawal' tikus di sawah padi. Rumah atau kotak kediaman burung hantu dibuat di tengah-tengah bahagian sawah untuk menarik kehadiran burung hantu tinggal di situ dan seterusnya menjadikan tikus yang berada di sawah sebagai makanan.

Kaedah pengawalan tikus secara biologi itu amat berkesan dan tanpa menggunakan racun tikus.