Friday 23 February 2018

MELAYU PERLU MELABUR DI BURSA SAHAM

Menurut statistik, kira-kira 240,000 bumiputera mempunyai akaun di Bursa Malaysia dengan peratusan keseluruhan sekitar 22 peratus. Penglibatan bumiputera dalam jual beli saham di Bersa Malaysia masih dianggap kecil.

Mereka yang terlibat dalam saham boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu pelabur yang membeli saham dan menyimpannya dalam tempoh tertentu.

Kategori kedua ialah pedagang saham melakukan urusan jual beli saham dalam jangka masa pendek secara kerap dan agresif. Mereka menyusun strategi tersendiri, mempunyai taktik dan melakukan analisis mendalam.

Dalam hal ini, pelabur saham berpeluang mendapat keuntungan sekurang-kurangnya melalui dua cara iaitu keuntungan modal. Dalam erti kata mudah, ia bermaksud beli murah jual mahal.

Pelaburan tidak memerlukan tempoh matang dengan urusan jual beli saham boleh berlaku bila-bila masa. Jika bernasib baik palabur telah mendapat untung setelah membeli beberapa minit dan terus menjual apabila harga naik.

Cara kedua pula melalui keuntungan dividen. Ia merujuk kepada pembahagian sebahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham. Dividen diagihkan berdasarkan prestasi operasi syarikat dan bukannya turun naik harga saham.

Hari ini, proses jual beli dapat dibuat melalui platform dagangan online dengan Bursa Malaysia menetapkan jumlah minimum pembelian 100 unit yang bersamaan dengan satu lot.

Pelaburan saham merupakan satu daripada platform pendapatan yang mampu memberi pulangan yang baik. Namun, sudah adat berniaga pastinya ada untung dan rugi.

Tapi orang kita tidak mahu rugi langsung, sebab itu mereka terjebak dengan skim cepat kaya kerana skim cepat kaya menjanjikan pulangan tanpa risiko. Itu bukan pelaburan tetapi peleburan.

Kerugian dalam skim cepat kaya mungkin melibatkan seluruh jumlah yang dilaburkan apabila penganjur melarikan diri. Namun, pelaburan di bursa saham agak selamat biarpun kemungkinan mengalami kerugian tetap ada.

Pelabur boleh mengelak kerugian atau meminimunkan kerugian jika memahami tentang ilmu pelaburan. Banyak agensi atau pihak mengadakan seminar atau kursus selok belok ilmu pelbaburan.

Mereka yang baru berjinak-jinak dengan pelaburan saham dinasihatkan supaya menggunakan wang lebihan untuk berbuat demikian supaya tidak mengganggu kedudukan kewangan masing-masing.

Sekurang-kurangnya jika berlaku kejatuhan ia tidak menjejaskan kewangan kita. Jika belum mahir melabur tidak sesuai melabur saham menggunakan wang pinjaman, hutang kad kredit atau mengambil wang yang diperuntukkan untuk komitmen lain seperti sewa rumah dan sebagainya.

Untuk memulakan membeli saham, seseorang itu perlu membuka akaun Central Depository Service (CDS) di mana-mana bank pelaburan yang terdapat di Malaysia.

Antara bank pelaburan yang disenaraikan oleh Bank Negara ialah Alliance Investment Bank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad

Akaun CDS diperlukan bagi segala urusan transaksi jual beli saham. Ia boleh dibuka oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan menyertakan beberapa dokumen seperti penyata bank dan slip gaji.

Di Bursa Malaysia terdapat lebih 900 syarikat tersenarai dengan 686 daripadanya merupakan syarikat patuh syariah.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengeluarkan senarai kemas kini sekuriti patuh Syariah dari semasa ke semasa seperti diluluskan Majlis Penasihat Syariah.

Dengan kata lain, orang Islam tidak sukar untuk memilih kaunter patuh syariah yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.

KOD QR SIMPAN MAKLUMAT LEBIH BANYAK

Kod QR (singkatan frasa Inggeris quick response) adalah sejenis kod bar generasi kedua. Ia merupakan sejenis penyimbolan dua dimensi yang telah dibangunkan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Denso Wave dan telah dikeluarkan pada tahun 1994. 

Kod QR dapat menyimpan maklumat lebih banyak berbanding Universal Product Code (UPC) biasa kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar.

Kod ini terdiri daripada modul hitam (titik segi empat) disusun dalam pola segi empat pada latar putih. Penggunaan kod QR membolehkan maklumat dihantar dari dunia fizikal ke alat mudah alih.

Sejak diperkenalkan hampir suku abad lalu, penggunaan kod QR memberi kemudahan kepada pengguna dan pengusaha dalam pelbagai aspek meliputi pelbagai bidang.

Ia dibangunkan oleh sebuah syarikat di Jepun iaitu Denso Wave pada tahun 1994 bagi memenuhi keperluan industri automotif yang berkembang pesat pada masa itu.

Ia direka untuk membolehkan imbasan komponen berkelajuan tinggi sewaktu proses pembuatan kenderaan.

Kecekapan sistem imbasan menggunakan kod QR bagi mendapatkan maklumat menjadikan ia turut meraih populariti di luar bidang automatif.

Imbasan kod QR berupaya membaca data dengan cepat dan mempunyai kapasiti storan lebih besar berbanding UPC.

Hal tersebut menjadikan kod QR digunakan secara meluas terutama dalam bidang pemasaran. Tujuannya, pengguna atau pengusaha boleh mengesan produk, pengenalan barangan, pengesanan masa, pengurusan dokumen dan pemasaran umum.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang dicetak pada pek pembungkusan produk atau sepanduk perniagaan menggunakan aplikasi pengimbas yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar.

Kod tersebut akan dibaca dan dihubungkan terus ke pautan perniagaan tersebut sama ada laman web atau media sosial.

Monday 19 February 2018

Guna wang digital sembunyai kegiatan haram

BANGKOK 18 Feb. - Pihak berkuasa Thailand kini mula memberi lebih tumpuan kepada “dark web” (laman web yang menyembunyikan alamat IP server) mata wang digital disebabkan peningkatan penggunaan mata wang kripto seperti Bitcoin oleh kumpulan penjenayah untuk menyembunyikan jejak transaksi wang haram mereka. 



Oleh kerana menyedari bahaya yang ditimbulkan oleh mata wang kripto yang sukar dikesan oleh penguatkuasaan undang-undang, Biro Anti Narkotik (NSB) telah melatih anggota penguatkuasanya mengenai selok-belok mata wang digital dan kesannya terhadap usaha memerangi sindiket dadah di negara itu.



“Jika semua sindiket dadah beralih menggunakan Bitcoin untuk urus niaga dadah, usaha untuk menjejaki transaksi wang haram akan menjadi lebih sukar. Kami tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam buat masa ini mengenai Bitcoin, jadi ia sangat mencabar,” kata ketuanya Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama di sini baru-baru ini.



Menurut beliau, NSB hanya menangani satu kes melibatkan penggunaan mata wang kripto sebelum ini tetapi menjangka lebih banyak sindiket dadah tempatan akan mengikut jejak langkah sindiket dadah antarabangsa yang menjadi rakan mereka dalam menggunakan Bitcoin dan mata wang digital yang lain.



Sommai berkata satu-satunya kes dadah dan Bitcoin di Thailand melibatkan seorang lelaki warga Kanada tetapi beliau tidak mengulas lanjut. - BERNAMA

Friday 16 February 2018

JANGAN AIBKAN SESAMA PEMIMPIN ISLAM

Dunia yang serba canggih dengan teknologi komunikasi menyebabkan kehidupan manusia semakin mudah dan selesa. Istilah dunia tanpa sempadan memperlihatkan betapa mudahnya untuk berkomunikasi pada masa sekarang.

Kemajuan dalam aspek ini sepatutnya digunakan untuk faedah diri sendiri dan masyarakat. Pelbagai ilmu pengetahuan, informasi dan berita sama ada dalam atau luar negara mudah diperoleh masa kini.

Persoalannya, sejauh manakah umat Islam menggunakan kemudahan ini untuk membangunkan diri sendiri, masyarakat dan negara?

Tidak dinafikan banyak yang mengguakan ke arah kebaikan. Namun pada masa sama, menjadi satu kegusaran apabila kemudahan teknologi maklumat disalahgunakan.  

Perbuatan fitnah dan menyebarkan berita tidak benar semakin menjadi-jadi. Dengan sekelip mata perkara tidak benar disebarkan melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whats­App dan sebagainya.

Dalam jangka masa singkat propaganda tersebut pantas tersebar di seluruh dunia tanpa penapisan. Ini adalah fenomena kehidupan manusia dalam era kemajuan teknologi komunikasi ketika ini.

Fitnah dan berita tidak benar boleh mencetuskan huru hara dalam negara. Rakyat hilang keyakinan dan mungkin bangkit melakukan tindakan luar kawal disebabkan percaya kepada berita-berita palsu itu.

Umat Islam sepatutnya berhati-hati apabila mendapat sebarang informasi yang kurang pasti kebenarannya supaya mereka tidak terlibat dalam perbuatan fitnah.

Setiap maklumat atau berita yang diterima perlu berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh sebelum menentukannya benar atau salah.

Pergolakan parti politik yang diterajui oleh umat Islam semakin hari kian ketara menonjolkan kelemahan sesama sendiri sehingga masyarakat sukar untuk menentukan kehebatan kepimpinan parti-parti politik umat Islam.

Hari ini umat Islam berbalah sesama sendiri. Keadaan ini pasti melemahkan umat Islam. Pastinya yang gembira adalah musuh-musuh Islam.

Mereka gembira kerana tidak perlu bersusah payah untuk mengalahkan umat Islam kerana tugas itu dilakukan oleh orang Islam sendiri. Musuh Islam hanya menanti untuk mengambil alih kuasa apabila keadaan umat Islam benar-benar lemah akibat berbalah sesama sendiri.

Dalam usaha meraih sokongan pengundi, perkara yang perlu dilakukan ialah menonjolkan kekuatan diri. Menuduh dan menyalahkan pihak lawan bukan satu pendekatan bijak. Kalau kita boleh membuka aib orang, pastinya kita juga mempunyai aib dan kelemahan yang boleh dibongkar oleh orang lain.

Thursday 15 February 2018

PELUANG NIAGA GUNA TELEFON PINTAR


Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu perlu menggunakan kemahiran mereka dalam mengendalikan telefon pintar untuk tujuan menjana ekonomi.

Trend bisnes secara atas talian atau online semakin popular di negara kita. Dari order pakaian sehinggalah ke barang dapur anda boleh order melalui online sahaja dengan mudah.

Orang Malaysia khususnya orang Melayu bijak dalam penguasaan teknologi internet namun, masih belum dapat mengadaptasikan sepenuhnya untuk kegunaan perniagaan menerusi alam maya.

Sejajar dengan arus moden dan kecanggihan teknologi, perniagaan online sudah semestinya sesuatu yang diberi penekanan dan fokus kerana pengguna internet sudah mencapai 3 bilion pengguna yang mana 50 peratus menggunakan perbankan internet manakala bakinya berbelanja online.

Menjelang 2022, dijangkakan sebanyak 14 bilion pengguna akan mempunyai internet di kediaman masing-masing.

Jadi, jangan persiakan kemudahan telefon pintar untuk dijadikan sumber menjana pendapatan. Alang-alang mengguna telefon pintar, bijakkan diri anda untuk menjadikannya mesin mencetak wang untuk anda.

Cara mudah berniaga atas talian ialah menjadi agen dropship. Tidak perlu modal, tidak perlu simpan stok dan semuanya diuruskan oleh pengendali dropship.

Anda hanya perlu memasarkan atau mengiklankan produk yang ditawarkan. Komersin dikira berdasarkan jualan yang berjaya dibuat.

Carilah pengendali dropship di media sosial yang menawarkan peluang untuk menjadi agen dropship.

Tuesday 13 February 2018

KISAH PENARIK BECA YANG PEMURAH


Ambo dan abah singgah solat di sebuah surau. Selesai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca (gatih teksi) sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit Malaysia dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”

Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”

Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”

Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.

Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.

“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi..

Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya..

Tuesday 6 February 2018

CARA JERUK PAUH MUDA

Buah pauh ringan atau buah mangga rasa masam ketika masih muda. Cara terbaik untuk makan buah puah muda ialah dengan membuat jeruk.

Untuk membuat jeruk pauh sama juga dengan cara membuat jeruk buahan lain seperti jeruk celagi, jeruk kelubi dan sebagainya.

Buah pauh yang hendak dijeruk hendak masih muda atau bijinya belum keras. Ini kerana untuk memudahkan proses membelah buah itu menjadi bahagian kecil bersama-sama dengan bijinya. Bijinya dibuang.

Buah pauh dibelah memanjang dengan ukuran lebih kurang sama seperti kentang goreng. Ukuran lebih besar pun boleh.

Kalau buah telah tua atau bijinya telah keras, ia masih boleh dibuat jeruk dengan cara mengambil bahagian isinya sahaja.

Kulit pauh sama ada dibuang atau dibiarkan. Kalau hendak dibuang kulitnya, ia perlu dilakukan sebelum buah itu dibelah kecil.

Buah yang telah dibelah kecil itu direndam di dalam air garam untuk semalaman atau beberapa jam. Buang air garam itu.

Kemudian masukkan buah ke dalam bekas bertutup. Bubuh air gula. Guna gula kasar pun boleh. Gula itu akan cair dengan sendiri dan menjadi air jeruk atau kuah. Boleh juga masukkan gula melaka dan cili untuk menambah rasa.

Tutup bekas dan simpan untuk beberapa hari. Boleh disimpan pada suhu bilik atau di dalam peti sejuk.

Berapa hari perlu dijeruk? Terpulang kepada anda. Biasanya dua atau tiga hari agar air gula meresap masuk di dalam buah pauh. Buah pauh jeruk akan sedikit nampak kecut apabila air pauh keluar hasil proses osmosis.  

Pauh jeruk boleh disimpan beberapa minggu sehingga berbulan-bulan. Namun, lebih sedap jika dimakan selepas beberapa hari jeruk. Ketika itu isinya masih pejal.  

Cara jeruk buah kelubi rasa sedap

Buah kelubi atau asam kelubi, juga dikenali asam paya sejenis tumbuhan dalam keluarga pokok palma. Pokok kelubi hampir sama dengan pokok nipah tetapi lebih kecil. Buah kelubi boleh dijadikan jeruk kelubi.

Pokok kelubi tubuh di kawasan paya hampir sama dengan pokok nipah, tetapi lebih ke darat. Mempunyai buah yang rasanya sangat masam.

Kalau hendak dimakan dicicah gula atau garam, ramai yang tidak sanggup merasai masamnya. Jadi cara untuk menjadikan buah kelubi boleh dimakan dengan sedap ialah dengan membuatnya jeruk.

Buah kelubi terlebih dahulu dikupas kulit. Kulit kelubi lebih tebal berbanding salak. Jadi, elok diguna pisau untuk mengupasnya.

Proses menjeruk kelubi dimulai dengan merendam dalam garam untuk semalaman. Kemudian air garam itu dibuang. Masukkan pula air gula atau gula kasar. Gula kasar itu akan mencari sendiri dan membentuk kuah bersama air yang keluar dari buah kelubi.

Kalau tidak mahu direndam terlebih dahulu dalam air garam, boleh terus dimasukkan gula.

Boleh juga masukkan gula melaka dan cili untuk menambah rasa. Tutup bekas dan simpan untuk beberapa hari. Boleh disimpan pada suhu bilik atau di dalam peti sejuk.

Berapa hari perlu dijeruk? Terpulang kepada anda. Biasanya dua atau tiga hari agar air gula meresap masuk di dalam buah kelubi. Buah kelubi jeruk akan sedikit nampak kecut apabila air kelubi keluar hasil proses osmosis. 

Monday 5 February 2018

Cari kepuasan secara tukar pasangan

Amalan bertukar pasangan atau swinging telah lama diamalkan di negara Barat. Mereka telah rosak peradaban hidup dan perangai macam haiwan. Bagi pasangan berkenaan itulah tanda pengorbanan dan kesetiaan.

Amalan itu dilakukan dengan kerelaan dan pengetahuan pasangan masing-masing. Maka itu tidak timbul soal curang atau makan luar. Malah itulah dikaitkan dengan pengorbanan cara Barat.

Apa diamalkan itu tidak ubah cara hidup haiwan yang bebas bertukar pasangan. Bahkan perbuatan bertukar pasangan itu lebih buruk daripada apa dilakukan haiwan.

Ada spesis haiwan yang tidak membenarkan pasangan diganggu atau dijadikan habuan seks jantan lain. Haiwan sanggup mempertahankan haknya sehingga berlaku pertarungan maut.

Paling tidakpun, tidak ada haiwan yang menawarkan pasangannya kepada haiwan jantan lain. Namun, manusia yang diberikan akal bertindak sebaliknya. Mereka berbangga menawarkan isteri untuk main dengan lelaki lain asalkan dia pula dapat isteri lelaki berkenaan.

Memang sudah rosak fikirankan manusia. Mereka mencipta amalan yang berlawanan dengan tabie manusia berfikiran waras. Mereka telah rosak otak oleh virus kesyaitanan.

Biasa kita cakap, itu di negara Barat. Persoalannya, apa yang berlaku di Barat itu kini telah menular di Malaysia. Kehidupan swinging di Malaysia semakin berkembang. Tidak sukar untuk mencari kelab bertukar pasangan atau swinger club. 

Kelab bertukar pasangan disertai pasangan yang sememangnya telah lama melakukan seks bebas sebelum kahwin. Ada juga yang membawa amalan itu setelah pulang dari luar negara. Namun ada juga yang terpengaruh ajakan kawan untuk mencuba.

Pergerakan kelab bertukar pasangan sukar dikesan. Sebabnya kalau dilihat secara luaran, pergaulan antara pasangan ini tiada keganjilan pun. Contoh pasangan A berkunjung dan menginap di rumah pasangan B.

Dari luar orang mungkin menganggap kehadiran pasangan lain sebagai satu ziarah atau sanak saudara. Sebenarnya, siapa sangka di dalam bilik, rupanya si isteri A tidur dengan si suami B, dan sebaliknya?

Memang gila. Manusia memang sudah gila dalam soal seks. Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama perlu menyekat amalan songsang ini. Tidak ada agama dan budaya yang membenarkan atau menganggap amalan bertukar pasangan ini satu perkara baik. 

Sunday 4 February 2018

Haiwan cacat tidak boleh dijadikan korban

Banyak haiwan dilahirkan cacat atau tidak sempurna fizikal. Status haiwan ini dari segi hukum untuk dijadikan atau dimanfaatkan dagingnya tidak berubah. Haiwan cacat juga boleh disembelih atau dimanfaatkan daging atau kulitnya sepertimana haiwan normal. 

Namun, haiwan cacat  tidak boleh dijadikan haiwan korban. Sepertimana tujuan korban ialah memberi sesuatu yang baik sebagai tanda pengabdikan kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak boleh berkorban dengan kambing cacat dan jelas kecacatannya, atau kambing yang buta sebelah dan jelas butanya, atau kambing yang sakit dan jelas sakitnya, atau kurus yang tidak berdaging.” (Hadis riwayat Tirmizi nombor 1417)

Kisah Allah SWT menerima korban yang baik dapat difahami berdasarkan kisah Habil dan Qabil menyediakan korban masing-masing.

Tanda korban diterima oleh Allah ialah turun cahaya putih dari langit lalu memakan korban itu, manakala tanda korban itu tidak diterima ialah korban itu dibiarkan begitu sahaja sehingga rosak tanpa disentuh oleh manusia, binatang dan burung.

Habil memilih seekor kambing paling baik dari ternakannya. Manakala Qabil memilih hasil tanaman yang paling buruk sebagai objek korban.

Setelah Qabil dan Habil memilih korban masing masing, mereka berdua pergi ke puncak bukit dan meletak korban mereka di sana.

Masa yang ditunggu tunggu pun tiba. Mereka berdua nampak cahaya putih dari langit, lalu cahaya tersebut terus menyambar korban Habil.

Habil pun terus sujud bersyukur kepada Allah kerana telah menerima korbannya. Tinggallah korban Qabil di situ tanpa disentuh dan tidak diterima oleh Allah.

Kisah seram ustazah CP 7

Kisah seram ustazah CP 7 ini terjadi pada hari Khamis lepas ketika berlansungnya kejohanan merentas desa sekolah. Pada hari tersebut saya bersama Cikgu Z ditugaskan untuk menjaga Check Point (CP) 7.

CP 7 ni terletak dalam hutan sikit. Kiri kanan depan belakang semak samun. Agak seram bagi seorang perempuan untuk berada di situ.

Hendak dijadikan cerita, sampai sahaja peserta larian menghala ke CP 7, dua orang peserta larian sakit. Peserta pertama kena sengat binatang, kelihatan ada bonjolan besar di kepala. Peserta kedua pula semput tak boleh bernafas, tercungap-cungap.

Disebabkan keadaan yang agak kalut, dengan peronda kawalan keselamatan tak lalu di kawasan tersebut, maka Cikgu Z terpaksalah menghantar dua orang peserta tersebut ke sekolah.

Maka tinggallah saya keseorangan. Pada awal-awal keadaan macam biasa. Tak ada perasaan takut lagi. Tapi bila mana peserta makin sedikit, tiada lagi bunyi derapan kasut peserta, yang ada hanyalah bunyi cengkerik hutan yang semakin kuat, perasaan takut menyelubungi diri.

Dalam keadaan takut itu, Cikgu Z call. Dalam talian beliau mengatakan tak boleh keluar dari kawasan sekolah. Keadaan agak 'bolok' dengan peserta larian.

Masa tu mulalah saya berasa cuak. Tiba-tiba saya teringatkan satu perkongsian dalam FB yang saya baca tentag yakin Allah ada. Jangan mengharapkan manusia, tetapi minta dan yakinlah kepada Allah yang satu.

Ketika itu tiada yang lain dalam hati saya kecuali Allah. Dalam hati saya berdoa, "Ya Allah, sebelum peserta larian yang terakhir lalu di CP 7 ni, aku mohon kau hantarkan seseorang untuk menemaniku".

Tak berhenti saya berdoa. Pada masa yang sama, peserta yang lalu makin berkurang. Dua tiga orang dalam masa lima minit.

Dalama tengah bertawakkal dan berserah tu, tiba-tiba saya terdengar sekumpulan suara memanggil.

"Ustazah.. ustazah.. nk check point.. "Ya Allah, masa tu hati mula riang. Allah dah makbulkan suara hati saya. Terus saya tanya mereka dari mana. Kata mereka dari CP 6. Tolong Ustaz M bagi bahan kat CP 6.

CP 6 peserta terakhir dah lalu. Jika CP 6 dah berakhir ini bermakna CP 7 pun akan habis lah sekejap lagi.

Saya tanya lagi, (biasa la, kuasa menyoal cikgu memang tinggi heee). "Habis tu kenapa tak balik je dengan Ustaz M naik kereta".

Kata mereka tak nak, nak jalan kaki balik ke sekolah. Terus saya menyuruh mereka menemani saya. Bagai kapten memberi arahan gituuu.

Dalam masa yang sama, hatiku berbunga riang. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati mereka untuk pulang dengan berjalan kaki ke sekolah. Bayangkan jika mereka pulang naik kereta dengan Ustaz M, dan tidak lalu CP 7!

Sudah pastinya ustazah akan keseorangan 'dalam hutan'…..