Friday 8 June 2018

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KUBANG KERIAN

Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian ditubuhkan pada 10 Januari 1965 dengan jumlah pelajar 156 orang iaitu seramai 94 pelajar lelaki dan 62 pelajar perempuan.

Pada peringkat awal SMK Kubang Kerian menumpang di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian kerana ketiadaan bangunan sendiri dan beroperasi sebelah petang.

Tenaga penggerak utama di sebalik penubuhan sekolah ini ialah Cikgu Salleh Bin Mohd Akib dan dilantik sebagai pengetua pertama.

Pada peringkat awal sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Kubang Kerian. Bagaimanapun nama ini telah diubah kepada Sekolah Menengah Kubang Kerian apabila tingkatan 4 mula dibuka pada tahun 1968.

SMK Kubang Kerian mula berpindah ke bangunan sendiri pada 6 September 1966. Hal ini bermakna era menumpang selama 1 tahun 7 bulan dan 24 hari telah berakhir.

Bangunan kekal ini terletak di Jalan Raja Perempuan Zainab 2 di atas tapak seluas 6.5 ekar. Pada peringkat awal sekolah ini hanya mengandungi 2 bangunan sahaja dengan peruntukan 7 bilik darjah, 1 makmal, 1 bilik masakan, I bilik jahitan, 1 bengkel SPU, 1 bilik perpustakaan dan 1 bilik pejabat. Bangunan ini dirasmikan oleh Menteri Pelajaran pada waktu itu iaitu Mohd Khir Johari pada 3hb Julai 1967.

Akibat pekembangan yang agak pesat dari segi pertambahan pelajar maka ditambah beberapa bangunan baru seperti Blok C (2 tingkat) pada tahun 1970 dengan peruntukan 4 bilik darjah, 1 pentas, 1 bilik makmal, 1 bilik pejabat dan 1 bilik guru. Pada tahun 1972 berikutan pembukaan aliran sains, satu lagi bangunan 3 tingkat ( Blok E) yang mengandungi 6 bilik darjah.

Pada tahun 1989, sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi 4 bilik darjah telah dibina khas untuk dijadikan bengkel Kemahiran Hidup. Pada tahun 2000 telah tertegaknya 3 blok bangunan yang dibina memanjang dan bersambung. Bangunan ini menempatkan lebih banyak bilik darjah, I bilik guru yang besar, dewan, makmal, bilik ERT dan juga menenpatkan Pusat Sumber (perpustakaan) yang lebih besar dan selesa.

No comments:

Post a Comment