Monday 4 June 2018

MENGAPA KAD KREDIT PUNCA MUFLIS

Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.

Langkah bijak yang perlu dilakukan oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad kredit ialah dengan memilih kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Ini kerana ia bukan sahaja menepati syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya. Penggunaan kad kredit perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan dan tidak membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.

Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk memberikan kemudahan kepada mereka ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia membahayakan keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.

Dengan adanya kad kredit, mereka tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari bank dan pengguna tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau pembayaran.

Sayangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan tetapi lebih kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang tinggi di mata masyarakat.

Keadaan ini tidak pelik kerana terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel yang memberikan layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej kemewahan.  

Hasilnya, terbitlah sifat- sifat negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati. Sifat berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Pendek kata, penggunaan kad kredit untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada tujuan asalnya. Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti melanggar batasan yang sepatutnya.

Jika motif memiliki kad kredit adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan cenderung kepada membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad kredit semata-mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan berstatus tinggi.

Perlu diberi perhatian juga, penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat. Masyarakat boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan. Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.

Ini kerana, ia akan mewujudkan budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam kecuali bagi mereka yang benar-benar berhajat kepadanya.  Menggunakan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu dilunaskan.

Semuanya akan dipertanggungjawabkan sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak sekiranya gagal menunaikannya.

Justeru, masyarakat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad kredit. Gunakanlah sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.

Di samping itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah perbelanjaan tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk membayar semula.

Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.

Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya. 

Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment