Tuesday 29 December 2020

TAMAN EKO RIMBA LATA MERAUNG JERANTUT

Taman Eko Rimba Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol, Jerantut, merupakan antara lokasi tumpuan penduduk setempat untuk berkelah dan beriadah, selain ia turut menjadi pilihan pelancong dari luar Pahang.

Tarikan utama Taman Eko Rimba ialah Air Terjun Lata Meraung. Punca air di Lata Meraung datangnya dari Sungai Ulu Cheka mengalir jernih membentuk air terjun yang cantik, dengan latar belakang alam semula jadi mendamaikan.

Taman Eko Rimba Lata Meraung terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut yang merupakan hutan jenis dipterokarpa pamah. Lokasinya terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Jerantut dan kira-kira 205 kilometer dari bandar Kuantan.

Taman Eko Rimba Lata Meraung menjadi tumpuan pengunjung sejak ia dibuka pada tahun 1991.

Monday 21 December 2020

TOK LEBAI KELARAH ROSAKKAN IMEJ AHLI AGAMA

Bila digelar lebai, itu satu status yang baik ditujukan kepada seseorang. Ia merujuk kepada orang yang tahu berkenaan agama (Islam). Individu yang tahu hukum agama dipandang tinggi kerana mengamalkan pekerti yang baik dan wajar dicontohi.

Perkataan lebai berasal daripada istilah Islami yang membawa maksud menyahut seruan (kebaikan) seperti dalam talbiyyah ketika mengerjakan haji.

Namun, ada satu gelaran untuk golongan lebai dan ustaz yang berpekerti tidak baik. Hanya berlagak alim sedangkan ada agenda tersembunyi di sebalik serban dan jubah. Gelaran itu ialah tok lebai kelarah.

Kelarah adalah perkataan dalam dialek Kelantan yang bermaksud di luar elok tetapi di dalam rosak.

Tok lebai kelarah mencemarkan imej baik lebai dan ustaz. Memang tok lebai kelarah ini amat sedikit bilangannya. Namun, ia telah menimbulkan prasangka atau prejudis terhadap lebai dan ustaz. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Orang kata, tidak boleh percaya 100 peratus kepada tok lebai, guru agama, ustaz dan pendakwah. Mereka ini ada yang menerima rasuah, perogol, pencabul, penipu dan macam-macam bentuk dosa lain.

Boleh jadi juga dari duhulu lagi ada lebai yang tidak berkelakuan baik sehingga pelbagai gelaran buruk diberikan kepada mereka seperti Lebai Malang, lebai kelarah, lebai ketayap, lebai pulut dan sebagainya.

Memang tidak adil kesalahan yang dilakukan sebilangan kecil itu diterima kesan buruknya kepada orang lain yang tidak bersalah. Itulah adat dunia.

Satu perkara lagi, sekarang ini kategori lebai yang kerap dikritik adalah berkaitan politik. Mereka dipanggil lebai politik. Tujuan utama mereka bukan syiar Islam tapi kuasa politik dan segala keuntungan yang datang bersama dengannya.

Thursday 17 December 2020

KEROPOK SEGERA CAP KUDA LAUT

Terdapat tiga jenis keropok yang biasa terdapat di pasaran. Pertamanya keropok keping iaitu jenis keropok kering yang perlu digoreng sebelum dimakan. Keropok keping yang belum digoreng boleh disimpan lama.

Keduanya, dinamakan keropok lekor atau keropok batang. Jenis keropok ini masih ‘segar’ yang boleh dimakan terus atau digoreng mengikut cita rasa masing-masing. Keropok ini tidak boleh disimpan lama, melainkan diletakkan di dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku.

Jenis ketiga ialah keropok segera. Keropok berbentuk keping ini dipasarkan dalam keadaan ia telah digoreng dan siap untuk terus dimakan.

Keropok segera agak ‘padat’ dan tidak sama dengan keropok keping yang digoreng. Jadi, ia agak ‘keras’ berbanding keropok keping goreng yang lebih ‘gebu’ dan rangup.

Pun begitu, keras itu tidaklah sehingga sukar dimakan. Ia masih ranggup dan mudah dikunyah. Kanak-kanak pun boleh makan.

Bahkan, ada pengusaha keropok segera yang menghasilkan jenis nipis dan rangup. Antara pengusaha keropok segera terkenal ialah Cap Kuda Laut.

Kualiti dan rasa keropok segera Cap Kuda Laut amat digemari ramai.

Keropok segera Cap Kuda Laut dihasilkan oleh pengusaha Hasliza Mohd Husin, beralamat di 729, Kampung Tanjung Che Mas, Tumpat, Kelantan.

Pembelian secara dalam talian boleh dibuat melalui carian di laman web.

Friday 4 December 2020

KEBAIKAN AMAL PUASA AIR

Semua orang tahu apa itu puasa. Puasa adalah satu cara menyekat anda daripada makan atau perkara-perkara yang ditetapkan. Amalan ini telah dilakukan sejak beribu tahun dahulu.

Sekarang terdapat satu jenis puasa iaitu puasa air. Kalau biasanya puasa dikaitkan dengan menyekat, tetapi puasa air sebaliknya. 

Puasa air telah menjadi popular sejak tahun kebelakangan ini. Ia merupakan versi puasa di mana anda mengawal semua yang anda makan kecuali air.

Manusia boleh bertahan hidup tanpa makanan sehingga 40 hari. Manusia yang sama juga akan mendapati sukar untuk bertahan lebih daripada dua hari tanpa air. Sebabnya badan kita terdiri daripada 65-70% air,.

Puasa air adalah cara pantas untuk mengurangkan berat badan di mana banyak kajian menunjukkan bahawa puasa air boleh juga ada beberapa manfaat kesihatan lain.

Cara mengamalkan puasa air.

- Jangan minum terlalu banyak atau terlalu sedikit air. Lelaki sepatutnya minum lebih kurang tiga belas cawan air dan cecair lain setiap hari. Tiga belas cawan lebih kurang bersamaan dengan tiga liter air. Wanita sepatutnya minum sembilan cawan air atau kira-kira dua liter air.

- Bersedia bila rasa lapar. Hadapi rasa lapar anda dengan minum satu ke dua gelas air. Diikuti dengan berbaring dan berehat. Mengidam untuk makan selalunya dapat diatasi dengan cara ini. 

Rasa lapar yang menekan adalah cara badan anda memberitahu anda untuk dapatkan makanan. Berikutan puasa jangka pendek tidak ada sebarang kesan sampingan yang serius dan boleh jadi baik untuk kesihatan anda. Alih perhatian anda dengan membaca buku atau bertafakur amat disyorkan.

- Makan dengan tenang dan perlahan. Jika anda mengambil keputusan untuk makan, pilihlah menu yang mudah dihadam. Makanlah dengan tenang dan perlahan agar proses penghadaman dapat berlaku lebih mudah selepas itu.

Manfaat kesihatan puasa air

Beberapa manfaat yang telah diketengahkan adalah puasa air mungkin menurunkan risiko penyakit kronik tertentu dan mungkin merangsang autophagy. Autophagy merujuk kepada proses membantu badan memecah dan mengitar semula bahagian lama sel-sel.

Beberapa kajian telah mengaitkan puasa air dengan barah berisiko rendah, sakit jantung, dan kencing manis.

Orang yang mendapat manfaat daripada puasa air termasuk mereka yang menghidapi: 
- Sakit jantung.
- Tekanan darah tinggi.
- Kolesterol tinggi.
- Kencing manis.
- Masalah berat badan.

Sebab paling popular kenapa puasa air dilakukan adalah untuk pengurangan berat badan. Ini adalah kerana apabila badan tidak ada akses kepada karbohidrat, ia berubah menjadi lemak untuk bahan api membakar sebagai tenaga.

Sunday 22 November 2020

REZEKI ADA DEPAN MATA TETAPI SUKAR DIAMBIL

Rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang mudah diperoleh dan setengahnya pula perlu kepada cara yang sukar dan berbahaya, tetapi hasilnya berbaloi.

Tetapi, kadang-kadang rezeki itu dalam serentak yang perlu kepada kesukaran, tetapi hasilnya dapat dua iaitu yang sukar itu dan diikuti dengan mudah untuk mendapat apa yang biasanya senang diperoleh.  

Sebaliknya, jika tidak dibuat yang payah itu, maka yang biasanya mudah diperoleh itu juga tidak akan dapat.

Tengok gambar. Sarang lebah dan buah dokong. Kedua-duanya itu adalah rezeki. Rezeki madu lebah dan buah dokong.

Namun, untuk mendapatkan madu lebah perlu ada cara yang tertentu. Tidak semua orang berani berdepan dengan kumpulan lebah. Boleh mendatangkah bahaya jika tidak mahir menguruskan kumpulan lebah.

Dalam masa sama, tanpa dibuat apa-apa kepada sarang lebah itu, maka tidak juga boleh untuk mendapatkan buah dokong itu. Walaupun dikait menggunakan galah, ada kemungkinan kumpulan lebah akan menyerang.

Jadi, apa perlu dibuat? Tinggalkan kedua-duanya, atau mendapat kedua-duanya? Rugi jika ditinggalkan begitu sahaja. Jika diusahakan akan dapat kedua-duanya sekali. 

Terpulang kepada anda membuat keputusannya. Jangan mengeluh, tetapi perlu berusaha. 

Friday 13 November 2020

EMPAT TINGKATAN TAUBAT KEPADA ALLAH

Terdapat empat tingkatan bagi sesiapa yang bertaubat.

Tingkatan Pertama: Iaitu orang yang istiqamah dalam taubatnya hingga akhir hayatnya. Dia tidak berkeinginan untuk mengulangi lagi dosanya dan ia berusaha membereskan semua urusannya yang ia pernah keliru (salah).

Tetapi ada sedikit dosa-dosa kecil yang terkadang masih ia lakukan, dan memang semua manusia tidak bisa lepas dari dosa-dosa kecil ini, namun ia selalu bersegera untuk beristighfar dan berbuat kebajikan, ia termasuk orang sabiqun bil khairat.

Allah SWT berfirman: “Di antara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah ..” (Surah Fathir, ayat 32)

Taubatnya dikatakan taubat nashuha, yakni taubat yang benar dan ikhlas. Nafsu yang demikian dinamakan nafsu muthmainnah.

Tingkatan Kedua: Iaitu orang yang menempuh jalannya orang-orang yang istiqamah dalam semua perkara ketaatan dan menjauhkan semua dosa-dosa besar, tetapi ia terkena musibah, iaitu sering melakukan dosa-dosa kecil tanpa sengaja.

Setiap ia melakukan dosa-dosa itu, ia mencela dirinya sendiri dan menyesali perbuatannya. Orang-orang ini akan mendapakan janji kebaikan dari Allah SWT

Allah berfirman: “(Iaitu) orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Rabb-mu Maha Luas ampunanNya…” (Surah an Najm, ayat 32).

Dan nafsu yang demikian dinamakan nafsu lawwamah.

Firman Allah: “Dan aku bersumpah dengan nafsu lawwamah (jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri)”. (Surah Al Qiyamah, ayat 2).

Tingkatan Ketiga: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya sampai satu waktu, kemudian suatu saat ia mengerjakan lagi sebagian dari dosa-dosa besar kerana dia dikalahkan oleh syahwatnya.

Kendati demikian ia masih tetap menjaga perbuatan-perbuatan yang baik dan masih tetap taat kepada Allah. Dia selalu menyiapkan dirinya untuk bertaubat dan berkeinginan agar Allah mengampuni dosa-dosanya.

Firman Allah: “Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampuradukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah At Taubah, ayat 02).

Nafsu inilah yang disebut nafsu mas-ulah

Tingkatan ketiga ini berbahaya, kerana boleh jadi ia menunda taubatnya dan mengakhirkannya. Bahkan ada kemungkinan, sebelum ia berkesempatan untuk bertaubat,

Malaikat maut telah diperintah Allah untuk mencabut rohnya, sedangkan amal-amal manusia dihisab menurut akhir kehidupan manusia, menjelang mati.

Tingkatan Keempat: Iaitu orang yang bertaubat, tetapi taubatnya hanya sementara waktu saja, kemudian ia kembali lagi melakukan dosa-dosa dan maksiat, tidak peduli terhadap perintah-perintah dan larangan-larangan Allah, serta tidak ada rasa menyesal terhadap dosa-dosanya.

Nafsu sudah menguasai kehidupannya serta selalu menyuruh kepada perbuatan-perbuatan yang buruk. Ia termasuk orang yang terus-menerus dalam perbuatan dosa.

Bahkan dia sudah sangat benci kepada orang-orang yang berbuat baik, dan malah menjauhinya. Nafsu yang demikian ini dinamakan nafsul ammarah.

Allah berfirman: “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Rabb-ku. Sesungguhnya Rabb-ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah Yusuf, ayat 53).

Tingkatan keempat ini sangat berbahaya, dan bila dia mati dalam keadaan demikian, maka dia termasuk su’ul khatimah (akhir kehidupan yang buruk).

Thursday 5 November 2020

SIKAP SOMBONG PENYAKIT ROSAKAN MANUSIA

Ada empat penyakit dalam diri individu yang semestinya dibasmi kerana jika dibiarkan, penyakit itu akan membarah dan membudaya kukuh sehingga menenggelamkan perwatakan individu sebagai seorang mukmin sebenar.

Penyakit itu seperti kata Saidina Ali Abi Talib: “Kelak akan menimpa umat ini penyakit umat terdahulu iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, mensia-siakan masa dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjerumus ke dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, dengki-mendengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.”

Sikap pertama mesti dibendung ialah sombong kerana ini senjata syaitan untuk menjerumuskan seseorang ke jurang kehinaan.

Allah menegaskan dalam firman bermaksud: “Dan jangan engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jangan engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Sombong ialah penyakit hati yang akan memudaratkan hubungan dengan manusia lain. Bayangkan seandainya dia seorang peniaga. Bagaimanakah perniagaannya hendak berjaya dan dihormati pelanggan?

Tentu peniaga sebegini dibenci dan dijauhi. Jadi, siapakah yang rugi? Sebaliknya, jika seseorang peniaga itu sentiasa berwajah manis dengan senyuman, sudah tentu ia akan menjadi faktor tarikan dan secara tidak langsung mampu melonjakkan keberkesanan perniagaannya. 

Perkara kedua kata Saidina Ali ialah kufur nikmat. Ini penyakit sangat berbahaya. Kufur nikmat ialah cepat lupa diri hingga lupa bersyukur kepada Allah yang memberikan nikmat. 

Penyakit kufur warisan penyakit Firaun dan Qarun yang dilaknat Allah kerana sombong dan kufur dengan nikmat dikecapi.

Seseorang itu dikategorikan sebagai kufur nikmat apabila bakhil terhadap harta kekayaannya. Jiwa terasa kaku untuk menghulurkan sedekah jariah buat insan lain yang memerlukan, apatah lagi berzakat?

Ini semua akan mengundang padah dan laknat Allah serta bakal berhadapan seksa sengsara di akhirat nanti. Allah sudah memberi amaran keras terhadap orang yang kufur nikmat.

Ditinjau dari perspektif psikologi, sikap kufur nikmat mencerminkan corak hati yang tamak dan rakus sehingga terbuai dalam keenakan harta dunia. 

Dari sisi pandang sosiologi pula, mereka dilihat insan yang ingin melihat hanya dirinya saja memperoleh nikmat.

Ingat pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Sesungguhnya harta yang punya itu hanya ada tiga, iaitu apa yang ia makan hingga habis, apa yang ia pakai hingga usang dan apa yang ia berikan hingga ia mendapatkan pahalanya. Sedangkan harta selain itu akan menghilang dan ditinggalkan untuk orang lain (diwariskan).” (Hadis riwayat Muslim)

Penyakit ketiga yang perlu dihindari ialah lalai dalam pengurusan masa. Jika diperhatikan, majoriti kaum muslimin yang leka dan melalaikan aspek mengurus masa. 

Lihat saja bagaimana anak muda saban malam berlumba haram, merempit di jalanan dan yang suka melepak di pusat beli belah.

Ibnu Masud meninggalkan wasiat berguna buat kita semua, katanya: “Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat dan amalku tidak bertambah.”

Sementara, pesan Ibnu Umar pula: “Jika kamu memasuki waktu petang, maka jangan menunggu pagi. Apabila kamu memasuki waktu pagi, maka jangan menunggu datangnya petang.” 

Kedua-dua pesanan sahabat Rasulullah SAW itu wajar direnungi untuk memperkasakan kualiti pengurusan masa kita.

Penyakit umat akhir zaman yang keempat sangat sinonim dengan situasi semasa yang sedang kita lihat iaitu bermegah dengan harta benda dunia. 

Manusia tidak lagi mempedulikan aspek etika dan aturan wajib dalam memperoleh harta, janji asal dapat. Bagaimana cara mendapatnya tidak diberikan perhatian disebabkan rakus dan berlumba mengejar harta dunia. 

Thursday 29 October 2020

PERLU TERLEBIH BERANI UNTUK GAGAL

Hidup ini perlu berani. Terlebih berani, sedia untuk gagal. Selalunya, ketika kita bersedia risiko gagal...kita berjaya!

Bagaimana tahu gagal jika belum pernah bermula? Sebagai seorang hamba Allah jua sebagai seorang Islam, 'outcome @ results' kehidupan juga tergantung kepada ketentuan Qada dan Qadar Allah. Yang penting, usaha...akhirnya tawakal.

Melakukan apa pun pasti ada risiko. Yakni berjaya atau gagal. Pilih untuk berani berisiko, berani membuat keputusan, berani memulakan, berani berdepan cabaran kehidupan. Kerana di akhir garisan kehidupan ini, semua kita menuju matlamat bertemu Tuhan. Pada hari yang telah ditentukan.

Ya... sesungguhnya rezeki itu tidak akan datang bergolek jika tidak diusahakan. Justeru, setiap orang perlu bekerja mengikut kemampuan masing-masing untuk mendapat rezeki mencukupi untuk diri sendiri dan keluarganya. 

Dunia yang terbentang luas ini menyediakan rezeki yang mencukupi untuk setiap penghuninya. Allah SWT menjadikan dunia ini ladang untuk manusia mendapat nikmat di dunia dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat melalui setiap usaha yang dilakukan.    

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Sesungguhnya, rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT berada di mana-mana asalkan kita berusaha mencarinya. Mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah juga mampu menyara keluarga. 

Biarpun kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati berusaha untuk mencari keredaan Allah SWT. Apa yang penting usaha itu halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

 

Wednesday 14 October 2020

TUKUN TIRUAN JADI TEMPAT TINGGAL IKAN

Usaha memulihara kehidupan laut daripada pupus telah lama dimulakan di negara kita. Salah satu cara yang dikenal pasti berkesan dalam mencapai tujuan itu ialah dengan menyediakan tukun tiruan untuk pembiakan terumbu karang.

Ini kerana terumbu karang bukan sahaja menjadi ‘tempat tinggal’ hidupan laut malah ia merupakan kawasan sumber makanan mereka.

Justeru, pelbagai pihak terutama pertubuhan pencinta alam membuat tukun tiruan dan menempatkannya di kawasan strategik untuk membantu pembiakan hidupan laut.

Agensi kerajaan turut memainkan peranan dengan menyediakan tukun tiruan melalui pelupusan kapal. Antara yang dijadikan tukun tiruan ialah pelupusan bot nelayan asing yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram di kawasan perairan negara.

Pemilihan lokasi untuk pelupusan bot sebagai tukun tiruan ditentukan oleh Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut. Lokasi atau kawasan yang dipilih untuk dilupuskan kapal berkenaan perlu mempunyai kedalaman 30 meter.

Bot-bot yang dilupuskan akan diisi dengan guni-guni pasir. Lubang-lubang akan ditebuk di bahagian bawah hadapan bot untuk menenggelamkannya.

Proses menenggelamkan bot itu selalunya memakan masa antara 20 hingga 60 minit.

Berdasarkan rekod temuramah dengan nelayan, penggunaan tukun tiruan mendatangkan hasil yang diinginkan. Para nelayan menyatakan hasil tangkapan mereka banyak apabila menangkap ikan di tempat tukun tiruan berkenaan.

Hidupan laut seperti ikan didapati akan mula mendiami tukun tiruan tersebut selepas enam bulan ia ditenggelamkan. Ikan pada mulanya takut untuk mendekati tukun tiruan itu namun ia makin lama semakin mendekatinya.

Apabila tukun itu ditumbuhi lumut yang merupakan makanan ikan, hidupan laut itu sudah tentu menjadikan tempat itu sebagai kediaman mereka.

Thursday 8 October 2020

SIFAT MALAIKAT SENTIASA PATUH PERINTAH ALLAH

Sifat malaikat sentiasa patuh perintah Allah SWT. Malaikat tidak pernah durhaka, bahkan tidak pernah menyimpan hasrat untuk melakukannya. Sifat malaikat digambarkan dalam Al-Quran sepanjang masa bertasbih dan memuji Allah SWT sepanjang masa. Cara bertasbih mereka tidak terbatas pada ucapan, malah merangkumi sikap dan perbuatan. 

Setiap malaikat ada perbuatan tersendiri seperti berdiri, duduk, rukuk, sujud dan tawaf mengelilingi Baitul Makmur ketika melakukan ibadat.


Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka takut kepada Tuhan mereka yang berkuasa atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka." (Surah an-Nahl, ayat 50).

Dalam keadaan itu, malaikat tidak dibebani tugas lain. Mereka hanya taat kepada Allah SWT dan tidak ada 'pilihan'. Hal ini berlainan dengan hakikat kejadian manusia dan jin yang terdedah kepada iman dan kufur. 

Satu persamaan malaikat dengan makhluk lain ialah ia juga akan binasa sebelum hari kiamat, termasuk Israfil yang bertugas meniup sangkakala menanda berlakunya kiamat. Israfil akan meninggal sebaik tugasnya selesai dan seluruh dunia dan isi kandungannya musnah.  


Malaikat dicipta dari cahaya, tidak ada jantina atau keperluan untuk berkelamin, tidak makan dan tidak minum, tidak memiliki nafsu, tidak tidur dan tidak perlukan rehat.

Kehebatan lain malaikat ialah dari segi kecepatan bergerak dan ketepatan melaksanakan tugas. Contohnya bagaimana Izrail melaksanakan tugas mencabut roh, bukan saja manusia, bahkan semua makhluk di seluruh dunia.  


Perlaksanaan tugas itu tepat dan tidak tersilap setelah mendapat perintah Allah SWT. Bayangkan bagaimana Izrail dapat melaksanakan tugas itu untuk mencabut roh manusia dan makhluk lain secara serentak di seluruh dunia yang berlaku setiap detik.

Pada malaikat terdapat sayap sama ada dua, tiga atau lebih sehingga 600 sayap dan tidak terkira jumlahnya. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat pertama bermaksud: "Segala puji bagi Allah, pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang bersayap. Masing-masing memiliki dua, tiga dan empat sayap."

Mengenai malaikat memiliki 600 sayap dijelaskan hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah melihat Jibril pada malam Israk dan Mikraj dengan 600 sayap yang dimilikinya. 

Sayap digambarkan berfungsi untuk pergerakan yang pantas, manakala pada erti lain membawa maksud keupayaan malaikat melaksanakan tugas dengan cepat dan tepat. 

Dalam surah al-Maarij ayat 4 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Malaikat-malaikat dan Jibrail mengadap kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun." Maksud ayat itu keupayaan malaikat bergerak dalam tempoh sehari saja, sedangkan jika dibandingkan dengan keupayaan manusia mengambil masa 50 ribu tahun.

Para ulama dalam menjelaskan sayap malaikat, menafsirkan dalam pelbagai aspek. Namun, cukuplah kita mempercayai ia sebahagian perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui apa dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tanpa membahas lebih panjang.

Mempercayai malaikat termasuk dalam Rukun Iman. Tidak percaya kepada malaikat, bermakna keimanan seseorang menjadi cacat.

 

 

Thursday 24 September 2020

SUSU KAMBING WILDAN

Wildan Susu Kambing adalah 100 peratus susu kambing asli yang diproses menggunakan teknologi tinggi. Kaya khasiat dan tidak berbau hamis atau rasa tidak menyenangkan. Sesuai untuk semua peringkat umur.

KHASIAT SUSU KAMBING WILDAN 100% ASLI:

Untuk Ibu Hamil:
- Memberi tenaga dan menyegarkan badan.
- Sumber kalsium dan mineral untuk tubuh dan kandungan.
- Mencegah bayi daripada terkena demam kuning.
- Membantu memudahkan proses bersalin.
- Membantu membersihkan anggota dalaman dan peranakan semasa bersalin

Untuk Ibu Menyusukan Anak:
- Membantu memperbanyakkan penghasilan susu badan.
- Memekatkan susu badan.
- Anak yang disusui lebih cepat kenyang dan kurang meragam.

Untuk Anak Berusia 1 Tahun dan ke atas:
- Membantu menguatkan imunisasi badan anak-anak.
- Menguatkan tulang dan gigi anak-anak.
- Membantu perkembangan minda dan memperkuat daya ingatan.
- Membantu sistem pencernaan.
- Sesuai bagi anak-anak yang alergik kepada susu lembu atau soya.

Untuk Pelajar:
- Menambah tenaga dan kecergasan.
- Menambah daya tumpuan ketika belajar.
- Menguatkan ingatan.
- Mencerdaskan otak.

Untuk Orang Dewasa:
- Sebagai sumber tenaga.
- Membantu mengurangkan sakit sendi dan lutut.
- Menguatkan tulang dan mencegah tulang daripada rapuh.
- Mempercepatkan penyembuhan luka dan penyakit.
- Membantu mencegah penyakit lupa dan nyanyuk.

Saturday 12 September 2020

KUKURAN TRADISONAL MENGERUK ISI KELAPA

Pada masa dahulu boleh dikatakan di setiap rumah mesti ada ‘koran’ atau 'kore'. Koran atau kore adalah sebutan dalam dialek Kelantan. Nama dalam bahasa standard ialah kukuran. Mengikut definisi Kamus Dewan, ‘kukuran’ ialah alat yang bergerigi hujungnya untuk mengeruk isi kelapa dari tempurungnya.

Memandangkan penggunaan kelapa amat meluas dalam masyarakat Melayu, terutama kegunaan santan kelapa, maka kukuran menjadi salah satu alat terpenting yang mesti ada di setiap rumah.

Kukuran merupakan alat yang tidak mungkin dapat dipisahkan dengan masyarakat Melayu tradisional kerana sebahagian besar resepi masakan masyarakat Melayu menggunakan santan kelapa.

Kukuran tradisional dibentuk daripada batang kayu supaya tempat duduk dan tempat untuk meletakkan besi mata kukur. Kemudian penciptaan kukuran berkembang di mana ianya dibuat daripada papan yang berbentuk empat segi dan membolehkan mata kukuran dibuka apabila hendak digunakan dan dilipat bila tidak digunakan lagi.

Hasil kreativiti seniman Melayu, kukuran direkabentuk berasaskan rupa bentuk binatang berkaki empat, bermotifkan alam sekitar seperti tumbuh-tumbuhan dan rekabentuk awan larat.

Bentuk ukiran kukuran ini agak berbeza di antara satu kawasan yang lain di negara ini berdasarkan pengaruh kesenian setempat. Biasanya kukuran terdapat dalam bentuk kukur duduk, kukur kotak dan kukur silang.

Kukuran semakin hilang fungsinya. Jika dibuat bacian berapa rumah masih ada kukuran, peratusannya amat kecil. Itupun, ia tidak lagi digunakan, tetapi disimpan sebagai satu bahan sejarah.

Sekarang santan mudah diperoleh dengan membeli santan segera dan sanan kotak. Ia mudah dan tidak perlu proses yang dianggap agak rumit oleh masyarakat moden jika menggunakan kukuran. 

Friday 28 August 2020

IKAN LAGA BETTA NULUHON HANYA DITEMUI DI SABAH

Kota Kinabalu: Jabatan Perhutanan Sabah hari ini menyatakan satu spesis ikan laga baru iaitu ‘Betta nukuhon’ telah ditemukan baru-baru ini di kawasan Banjaran Crocer.

Kenyataan Jabatan itu hari ini menyebut, pegawai penyelidik jabatan tersebut Nur Syafiqah Shamsul Kamal yang bekerjsama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan Forever Sabah, dan menggambarkan spesis baharu ikan laga berkenaan sebagai Betta nuluhon, di mana ‘nuluhon’ bermaksud ‘bukit’ dalam dialek Dusun.

“Ikan laga yang baru ditemukan ini biasanya terdapat di sungai cetek dengan aliran air yang jernih di barat Sabah.

“Dengan penemuan B.nuluhon, (Betta nuluhon) Sabah kini mempunyai lima spesis ikan laga, semuanya endemik di Sabah,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ahli taksonomi ikan tropika Dr Tan Heok Hui dari NUS yang juga merupakan pengarang bersama penerbitan Zootaxa menjelaskan, Borneo merupakan rumah kepada 700 spesis ikan air tawar, 53 peratus adalah endemik di Borneo.

Beliau menjangkakan beberapa spesis lagi akan dijumpai di Sabah dalam masa terdekat, menerusi kerjasama yang dijalankan bersama Pusat Penyelidikan Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah.

Ikan laga adalah ikan air tawar kecil yang tergolong dalam genus Betta, dengan pusat kepelbagaiannya di Asia Tenggara. Sebahagian 70 spesis ikan laga liar telah dinamakan secara saintifik.

— BERNAMA

Tuesday 11 August 2020

ANALOGI HARGA IKAN AROWANA BIRU

Seorang anak muda sedang membersihkan aquarium milik majikannya. Dia melihat ikan arowana agak kebiruan dengan minat. Tanpa disedari, majikannya berada di belakangnya.

"Kamu tahu berapa harga ikan itu?", tanya majikannya.

"Tidak tahu". jawab anak muda.

"Cuba kamu tawarkan kepada jiran di sebelah!", perintah majikannya.

Dia mengambil gambar ikan itu dan menawarkan kepada jiran yang berada di kawasan kediaman tersebut.

Selepas menamui beberapa orang jiran, dia kemudian kembali menemui majikannya.

"Berapa ringgit mereka sanggup membayarnya?" tanya majikannya.

"RM15 tuan.", jawab anak muda itu dengan lancar.

"Cuba kau tawarkan ke kedai ikan perhiasan!", perintah majikannya lagi.

"Baiklah tuan.", jawab si anak muda.

Kemudian ia terus ke kedai ikan perhiasan di bandar.

"Berapa ia tawar ikan itu?", tanya majikannya.

"RM250 tuan.", jawab si anak muda dengan gembira kerana berfikir majikannya akan menjual ikan itu.

"Sekarang cuba kau tawarkan ke Pak Cik Ghani Rahman. Bawa sijil kemenangan ini sebagai bukti bahawa ikan ini pernah menyertai pertandingan.", suruh majikannya.

Lalu anak muda itu melakukan apa yang disuruh oleh majikannya. Apabila pulang semua setelah menemui Pak Cik Bhani Rahman, majikannya bertanya, "berapa dia tawarkan harga ikan ini?”

"RM15 ribu tuan!", jawabnya.

Anak muda itu sebenarnya terkejut sendiri menyaksikan harga satu ikan yang boleh berbeza-beza.

Majikan itu kemudian menjelaskan:
- Kamu hanya akan dihargai dengan benar dan betul ketika kamu berada di lingkungan yang tepat.
- Kita semua adalah orang biasa dalam pandangan orang-orang yang tidak mengenal kita.
- Kita adalah orang yang menarik di mata orang yang memahami kita.
- Kita istimewa dalam penglihatan orang-orang yang mencintai kita.
- Kita adalah peribadi yang buruk bagi orang yang penuh kedengkian terhadap kita.
- Kita adalah orang jahat di dalam tatapan orang-orang yang irihati akan kita.
- Setiap orang akan memiliki pandangannya masing masing terhadap kita.
- Tidak perlulah kita bersusah payah supaya kelihatan baik di mata orang.
- Tapi berusahalah terus melakukan kebaikan dan menjalankan apapun dengan keihklasan.

Saturday 18 July 2020

JENIS BENTUK HUKUMAN BAGI PELAKU LIWAT


Liwat merupakan istilah dalam bahasa kaum Nabi Luth (anak saudara Nabi Ibrahim) yang disandarkan kepada amalan buruk mereka. Istilah ini kemudiannya digunakan secara meluas dalam bahasa Arab dan bangsa-bangsa lain khususnya di kalangan mereka yang beragama Islam.

Kisah kejahilan kaum ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah swt dalam surah al-Araf, ayat 80-84 dan surah Hud ayat 77-82.

Makna liwat ialah lelaki yang menyetubuhi lelaki secara rela suka sama suka (homosexual). Adapun tindakan seseorang lelaki menyetubuhi lelaki secara paksaan tidak juga dianggap sebagai liwat tetapi dianggap sebagai rogol (paksaan seks).

Manakala Dr. Musthafa Dib al-Bigha dalam kitab al-Tazhib fi adillah matan al-Ghayah wa al-Taqrib, halaman 208 (kitab fiqh al-Syafie) mendefinisikan liwat sebagai hubungan seks antara sesama lelaki dan juga hubungan seks antara lelaki dengan perempuan yang bukan isterinya melalui dubur secara rela. (Sila rujuk Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 bagi negeri Kelantan, bahagian 1 perkara 16,17 dan 18).

Menurut al-Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitab Tafsir Ayat al-Ahkam (Jilid 2, hlm 41-42): Definisi liwat ialah; Lelaki yang menyetubuhi lelaki. Liwat adalah seburuk-buruk amalan dosa yang hanya dilakukan oleh species manusia lelaki dan tidak dilakukan oleh mana-mana species haiwan jantan. Lantaran itu, amalan gejala-gejala keruntuhan akhlak dan tekanan penyakit jiwa ini amat merbahaya sekali jika tidak dibendung.

Dalam menentukan bentuk hukuman yang sewajar dikenakan terhadap mereka yang berkenaan, para ulama’ berselisih pendapat mengenainya. Perselisihan pendapat ini ringkasnya boleh dibahagikan kepada tiga mazhab.

Mazhab Pertama:  Para ulama seperti al-Nasir, al-Qasim bin Ibrahim dan al-Syafie mengatakan; hukuman liwat ialah bunuh  ke atas si peliwat dan juga individu yang diliwat. Pendapat ini adalah bersandarkan kepada dalil nas hadis Rasulullah daripada ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang kamu dapati melakukan liwat (amalan kaum nabi Luth), maka bunuhlah si peliwat dan individu yang diliwat”.

Berasaskan hadis ini, al-Imam al-Syafie menegaskan hukuman liwat ialah direjam dengan batu sampai mati ke atas mereka yang terbabit sama ada lelaki-lelaki tersebut sudah berkahwin ataupun masih belum berkahwin. Hukuman mati ini juga diakui oleh al-Imam Malik dan al-Imam Ahmad bin Hanbal.

Dalam pada itu, al-Imam Malik juga berpendapat si pesalah boleh dijatuhkan hukuman mati dengan cara dicampak ke bawah dari tempat yang tinggi.

Meskipun begitu,  terdahulu daripada ini, ijtihad Abu Bakr al-Siddiq dan Ali bin Abi Talib dalam masalah hukuman liwat ialah dengan memenggalkan leher mereka yang berkenaan sepertimana yang dilakukan ke atas golongan murtad ataupun dihempap dengan dinding batu sehingga mati.

Mazhab Kedua: Menurut golongan al-Syafieyyah, hukuman kesalahan liwat adalah sepertimana kesalahan zina, iaitu hukuman rotan bagi mereka yang belum berkahwin  dan hukum rejam sampai mati bagi mereka yang sudah berkahwin berasaskan nas hadis daripada Abu Musa al-‘Asy’ari, bahawa Rasulullah bersabda “Apabila seorang lelaki menyetubuhi lelaki lain maka kedua-dua mereka adalah penzina”.

Nas hadis ini secara tidak langsung mengatakan liwat itu adalah aktiviti sex yang berlaku antara sesama lelaki yang disamakan dengan kesalahan aktiviti zina (aktiviti sex antara lelaki dan perempuan).

Nas ini juga membuktikan bahawa aktiviti sex di mana seorang lelaki yang menyetubuhi seorang perempuan melalui duburnya juga adalah zina dan bukan liwat.

Adapun dalam masalah suami yang mendatangi isterinya melalui dubur, terdapat khilaf ulama’ dalam aktiviti tersebut sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Tuhfah al-‘Arus karangan al-Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Tijani, halaman 351-356.

Sebahagian besar ulama seperti Ibn Sya’ban (ilmuwan besar Islam bermazhab Maliki)  mengharuskan aktiviti tersebut antara suami dan isteri berasaskan mafhum firman Allah “ Isteri-isteri kamu adalah umpama ladang bagi kamu. Maka datangilah mereka dengan apa jua cara yang kamu ingini”.

Ibn Sya`ban al-Maliki merupakan pengarang kitab al-Nisa’. Antara lain, kitab beliau yang juga popular seperti al-Zahi (kitab fiqh), Ahkam al-Quran, Manaqib Malik, Syuyukh Malik dan al-Mansik. Ibn Sya`ban juga adalah merupakan ketua bagi para pengikut mazhab Maliki di Mesir. Jumhur ulama’ juga mengatakan tiada sebarang hukuman hudud ataupun ta’zir yang wajib dikenakan ke atas pasangan suami isteri terbabit.

Mazhab Ketiga: Menurut al-Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi), Al-Murtadha dan al-Muayyid billah, hanya hukuman ta’zir seperti hukuman penjara ataupun buang daerah dan sebagainya mengikut budi bicara hakim sahaja yang wajib dikenakan ke atas mereka yang terbabit kerana aktiviti tersebut bukannya zina dan tidak wajib dikenakan hukuman hudud ke atas si pelaku.

Mereka berpendapat; dari sudut istilah bahasa, zina itu bukan liwat. Zina adalah persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan. Sedangkan liwat pula adalah persetubuhan haram antara sesama lelaki.  

Di samping itu juga Islam mengharamkan hubungan al-Sihaq (lesbian) dan juga ityan al-bahaim (persetubuhan dengan haiwan).

Para fuqaha’ bersepakat bahawa hukuman ke atas lesbian adalah ta’zir. Adapun dalam masalah ityan al-bahaim, jumhur ulama menegaskan hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas si pelaku kecuali al-Imam Ahmad bin Hanbal yang mengatakan hukumannya adalah sama seperti hukuman liwat. Bagi al-Imam Ahmad, si pelaku dan haiwan terbabit wajib dibunuh.  


Gambar hiasan - Buah lada pahit.

Monday 29 June 2020

AKTA IMIGRESEN, PEMBERI SEWA RUMAH KEPADA PATI

Warganegara Malaysia ditegah bersetongkol atau membantu pendatang asing tanpa izin (PATI). Kehadirran atau keberadaan PATI di negara kita perlu dicegah dengan apa cara sekali pun

Satu cara mencegah keberadaan PATI di negara kita ialah dengan tidak membantu mereka mendapatkan tempat tinggal. Justeru, menjadi satu kesalahan kepada warganegara yang menyewa atau menyediakan tempat tinggal kepada PATI.

Warganegara yang melakukan kesalahan tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 55(e) Akta Imigresen 1959/63.

Jika didapati bersalah anda boleh didenda tidak kurang RM5000, tetapi tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI

PATI tidak dapat berada di negara kita jika semua rakyat memainkan peranan masing-masing untuk memcegah kemasukan dan keberadaan PATI di negara kita. Sama-sama kita menjaga hak kita sebagai warganegara dan kedaulatan negara.


Sunday 14 June 2020

MUDAH MELAKUKAN DOSA DI HUJUNG JARI

Kemudahan teknologi komunikasi pada hari membantu memudahkan urusan kehidupan. Namun, pada masa sama, ada pihak menyalahgunakan kemudahan teknologi komunikasi tanpa sempadan.

Keburukan ketara tekonologi internet ialah apabila menyebar maklumat tidak tepat, fitnah dan umpat keji yang mengundang keburukan besar.

Amat malang sekali terdapat sesetengah daripada kita yang amat teruja menyebarkan sebarang maklumat tanpa usul periksa demi memastikan hasratnya tercapai.  

Tidak rasa berdosakah kita menyebarkan segala data dan maklumat yang tidak betul melalui telefon bimbit atau komputer tanpa memikirkan perasaan orang lain?

Apakah kita membiarkan jari jemari kita ini digunakan untuk kemaksiatan terhadap Allah SWT? Banyak orang hari ini membuat maksiat dengan hanya hujung jari. Ketika berada di rumah atau di mana-mana sahaja.

Yang disebarkan itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan kita. Namun, disebabkan perasaan busuk hati dan hasutan syaitan, maka perbuatan dosa itu dianggap sebagai satu perkara memberi kepuasan.

Keburukan yang terhasil akibat sikap tidak bertanggunajawab itu amat tidak terjangkau untuk difikirkan. Satu hantaran atau kiriman di media sosial mungkin akan dilihat oleh jutaan manusia apabila ia ditularkan pula oleh orang lain.

Bayangkan satu berita tidak pasti atau berita fitnah telah tersebar tanpa batasan geografi, masa dan kumpulan sasar akan mempengaruhi minda dan tindakan khalayak ramai.

Ingalah! Suatu masa nanti tangan kita inilah yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT atas segala tindakan yang dilakukan.

Firman Allah dalam Surah Yasin ayat 65: “Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Sesungguhnya Allah S.W.T mengurniakan kita pancaindera adalah untuk melakukan ibadah kepada-Nya bukan untuk membuat maksiat dan dosa. Jika jari dan tangan yang kita gunakan ini untuk menyakiti orang lain bererti kita telah khianat kepada amanah Allah.

Kalau dahulu kita menyakiti orang lain dengan melakukan kekerasan tubuh badan namun pada hari ini dengan kemajuan teknologi kita mudah sahaja menyakiti hati orang lain bahkan lebih memburukkan keadaan hanya dengan menyebarkan fitnah dan cacian menggunakankehebatan tangan sendiri.

Bukankah ini suatu kelemahan yang harus dipandang serius kerana sikap sedemikan boleh mengundang dosa terhadap Allah SWT. Tangan dan lisan kita ini adalah tanda iman kita kepada Allah SWT.

Gunakan ia untuk kebaikan kerana ianya adalah akhlak yang baik dan disebut banyak sekali dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Justeru itu, sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita agar tidak mudah melakukan dosa dihujung jari kita. Jadilah insan yang baik dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.

Gambar hiasan.

Wednesday 27 May 2020

WAT BUDDHA CHONPRACHUMTHARD KAMPUNG DALAM TUMPAT

Di jajahan Tumpat, Kelantan terdapat banyak Wat Siam atau Wat Buddha memandangkan jajahan itu paling ramai didiamai masyarakat keturunan Siam. Terdapat tidak kurang 22 wat yang menjadi pemandangan biasa di Tumpat.

Ukuran wat berbeza-beza antara satu yang lain. Antara wat paling terkenal ialah yang menampatkan Patung Buddha Tidur yang bukan sahaja terkenal di kalangan penganut Buddha di Tumpat, bahkan seluruh dunia.

Namun, ada juga wat yang agak kurang dikenali, namun tidak kurang menariknya. Salah satu wat yang menarik biarpun kurang dikenali ialah Wat Chonprachumthard Canaram, Kampung Dalam. 

Memandangkan ia terletak di Kampung Dalam, wat ini turut dikenali dengan nama Wat Kampung Dalam.

Tiada monumen atau bahan binaan yang dianggap ‘luar biasa’ atau ‘besar’ yang menjadi tarikan pelancong. 

Dalam wat ini terdapat beberapa bangunan untuk sami dan penganut Buddha melakukan aktiviti keagamaan, selain tempat tinggal. 

Namun, di kalangan penghuninya dan penganut Buddha yang datang, apa yang ada sudah cukup memberi pengertian untuk diri sendiri.


Tuesday 24 March 2020

TAUBAT PERLU DISEGERAKAN

Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Kedua-dua sifat itu saling mempengaruhi antara satu sama lain. Akal membimbing manusia melakukan kebaikan, sedangkan nafsu jahat membisikkan agar berminat kepada keburukan.  

Hal demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian, yakni mampu membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah SWT memberi peluang kepada manusia untuk menghapus dosa melalui cara bertaubat. 

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Bertaubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dosa yang berkenaan. Namun, ini tidak bermakna manusia boleh melakukan dosa dan kemudian bertaubat secara suka-suka. Taubat yang tidak ikhlas atau hanya di mulut saja tidak akan diterima.

Allah SWT sentiasa mengingatkan kepada manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Sesiapa pernah melakukan dosa tidak sepatutnya berputus asa untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Melakukan perbuatan dosa merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri di dunia dan di akhirat. Kezaliman itu menjadi semakin berat dan berambah jika tidak mahu bertaubat dengan segera untuk membersihkan diri.  

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa tanpa perlu menunggu usia tua atau pada hari tertentu sahaja. Sebaik-baik taubat ialah yang dilakukan sebaik selepas menyedari telah melakukan dosa. Tindakan itu dapat mengelak diri terbiasa melakukan dosa dan seronok mengulanginya hingga tidak mahu bertaubat.      

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya itu dan rugilah orang yang mengotorinya (dengan kekotoran maksiat).” (Surah as-Syams, ayat 9-10).


Gambar: Hiking Bukit Gua Kambing. Sekadar hiasan.

Sunday 15 March 2020

SIAPA KATA BERNIAGA BUNDLE TIADA KELAS?

Peniagaan bundle seperti kasut, bag, permainan kanak-kanak dan baju telah lama bertapak di negara kita. Perkataam bundle adalah datang dari bahasa inggeris, sebab kebiasaan barang terpakai ini datang dalam satu guni yang sudah diikat kemas dalam guni atau tongkol. 

Barang bundle adalah yang sudah digunakan oleh pemakai atau pengguna pertama. Barang bundle biasanya datang dari negara maju yang rakyatnya mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Tidak hairan jika barang bundle adalah dari jenama terkenal dan masih dalam keadaan baik dan tidak banyak beza dengan yang baharu.

Contohnya banyak baju bundle masih dalam keadaan baik yang digunakan hanya dalam beberapa bulan. Di negara maju yang mempunyai empat musim, golongan kaya akan membeli pakaian baharu apabila tiba sesuatu musim. Pakain itu kemudian akan dibuang apabila tiba musim lain.  

Banyak juga baju dibuang apabila sudah dianggap 'lapuk' kerana ada fesyen baharu muncul di pasaran. Golongan yang mementingkan perubahan fesyen akan 'malu' jika mengayakan fesyen yang dianggap telah ketinggalan zaman walaupun sebenarnya fesyen itu dikeluarkan beberapa bulan sebelumnya.

Peniaga bundle membeli tongkol atau guni bundle tanpa melihat kualiti dan kuantiti barang. Apa yang diketahui hanya berat tongkol itu. Jadi, kira nasiblah apa yang ada nanti apabila tongkol dibelah atau dibuka.

Namun, peniaga bundle tidak pernah rugi. Keuntungan yang bakal diperoleh berlipat ganda. Pertamanya kerana harga satu tongkol yang dibeli secara relatifnya adalah murah. Keduanya, dalam bundle itu ada barang berjenama dan berkualiti.

Peniaga bundle kena kenal barang berjenama dan sukar ditemui. Kalau bernasib baik, satu barang berjenama sedang memberi pulang modal, sedangkan masih ada beratus-ratus barang yang boleh dijual dengan harga yang tidak kurang mahalnya.

Ada peniaga yang akan membuka tongkol terlebih dahulu tanpa kehadiran pembeli bagi memberi peluang mereka memilih dan menggeredkan barang sebelum dijual.

Namun ada juga penjual bundle yang membuka bundle di hadapan pelanggan. Malah, acara pembuka tongkol itu akan dilakukan pada hari dan waktu tertentu untuk menarik kehadiran pelanggan. Pelanggan akan memilih barang yang disukai dan menunjukkan kepada penjual untuk ditetapkan harganya.

Ketika buka atau pecah tongkol itu biasanya peniaga bundle telah pulang modal dan mendapat untung. Barang yang masih tinggal itu dijual pada waktu lain memberi keuntungan yang berganda.

Jadi, siapa kata berniaga bundle tiada kelas?