Wednesday 29 January 2020

KEWUJUDAN KELOMPOK MANUSIA


Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat 'kelompok' adalah himpunan (beberapa orang, binatang, benda dan lain-lain) kumpulan (yang kecil bilangannya, jumlah dan sebagainya).

Kewujudan kelompok adalah sesuai dengan tabie manusia yang suka berkongsi keperluan, minat, nilai, sikap terhadap masalah dan pelbagai perkara lain. Manusia normal tidak dapat meneruskan kehidupan tanpa berada dalam kelompok. 

Allah mencipta manusia secara kelompok supaya tolong menolong dan saling memanfaatkan antara satu sama lain. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sentiaslah tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan.” - (Surah al-Maidah, ayat 3).

Manusia juga akan dapat memenuhi keperluan rohani dan jasmani melalui ahli kelompok. Manusia bebas untuk memilih kelompok yang sesuai dengan keperluan hidupnya. Kebebasan ini adalah satu nikmat yang besar kepada manusia. Individu yang disekat kebebasan untuk berada dalam kelompok yang diingininya akan hilang nikmat kebebasan. 

Sebab itu, salah satu konsep menghukum dan pengajaran ialah hukuman penjara. Banduan disekat daripada membentuk kelompok yang dingini, melainkan sesama banduan yang masing-masing sedang menjalani hukuman.

Ini membuktikan betapa pentingnya manusia memilih atau kebebasan menyertai kelompok sebagai satu cara hidup. 

Kelompok yang dikaitkan dengan kaunseling ialah beberapa orang (bilangan antara lima hingga 15 orang atau jumlah lain mengikut kesesuaian) dengan seorang ketua atau kaunselor.

Konsep kaunseling kelompok adalah berbeza dengan maksud kelompok secara umum. Kaunseling kelompok mementingkan interaksi dan mempunyai fungsi dan matlamat tertentu. Ia ditubuhkan secara terancang dan menetapkan ahli-ahli kelompok.

Justeru, sebarang perbincangan atau aktiviti dilakukan dalam ruang lingkup mengapa kelompok itu ditubuhkan. Jika ada sebarang lencongan fungsi atau matlamat, maka perlulah ia kembali kepada asal. Inilah pentingnya kebijaksanaan ketua atau fasilitator mengendalikan kelompok. 

Jika lencongan itu tidak dapat dikawal, elok kelompok itu dibubarkan agar matlamat awal tidak dinodai. Kelompok yang dibubarkan itu boleh menubuhkan kelompok baru berdasarkan matlamat lain, jika masih ingin kekal dalam satu kelompok. Biarpun ahli kelompok yang sama, tetapi hakikatnya ia satu kelompok yang berlainan.

Secara konsepnya penubuhan kelompok, pembubaran dan penubuhan kembali (dengan ahli kelompok yang sama) itu adalah untuk menjelaskan fungsi sebenar kelompok. Setiap ahli kena faham mengapa kelompok ditubuhkan dan dibubarkan.

Konsep kaunseling kelompok menitikberatkan interaksi ahli. Setiap ahli mendapat hak yang sama dalam kelompok dan perlu memainkan peranan sewajarnya. Jika kelompok itu pasif atau ada ahli cuba menyisihkan diri daripada kelompok, penstrukturan semula kelompok perlu dilakukan.

Perlu ditekankan di sini, kelompok yang tidak ada atau kurang interaksi antara ahli tidak layak dikenali sebagai kaunseling kelompok. Justeru, jika eleman itu tidak wujud, maka tidak perlulah kelompok ditubuhkan.

Berinteraksi, tolong menolong dan berada dalam situasi sama adalah antara sebab utama kelompok ditubuhkan. Sesungguhnya, seseorang tidak bersendirian dalam menghadapi kerumitan dalam hidupnya. Pastinya ada individu atau pihak lain yang mempunyai rasa empati dan simpati bersama. 

Seperti telah dinyatakan, hidup manusia dalam kelompok telah bermula sejak dahulu. Manusia melakukan aktiviti secara kelompok untuk mencapai keperluan bersama.

Thursday 23 January 2020

BERJANJI HANYA JIKA MAMPU TUNAIKAN

Janji ialah penyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu. Dalam kehidupan seharian, kita memang tidak terlepas daripada membuat janji. Membuat janji dan menerima janji adalah perkara lumrah dalam hidup yang melibatkan pihak lain.

Syariat Islam membenarkan penganutnya mengikat janji dengan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu yang diharuskan mengikut syarak. Namun, haram mengikat janji ingin melakukan perbuatan atau menerima sesuatu yang haram di sisi agama. 

Allah mewajibkan agar setiap orang beriman menyempurnakan janjinya mengikut kemampuan. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakan segala perjanjian (yang kamu buat).” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Islam menganjurkan agar setiap kali mengikat janji haruslah disertai dengan perkataan insya-Allah yang bermaksud ‘jika Allah menghendaki’. Perkataan itu bermaksud bahawa kita sedar setiap perkara yang berlaku hanya jika diizinkan Allah. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan, bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti, melainkan hendaklah disertakan dengan berkata insya-Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini.” (Surah al-Kahfi, ayat 23-24).

Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, sedangkan semuanya dalam kekuasaan Allah yang menentukan. Tidak ada satupun perkara, walaupun pergerakan sebutir debu, melainkan telah ditentukan oleh Allah mengikut kehendak-Nya tanpa perlu mendapat persetujuan atau berkongsi kuasa dengan sesuatu yang lain. 

Setiap orang yang beriman perlu memahami hakikat sebenar perkataan insya-Allah. Ikatan janji yang disertai perkataan insya-Allah, melambangkan seseorang itu meletakkan harapan ingin menunaikan janji itu, tetapi menyerahkan kepada Allah tentang apa yang sebenarnya akan berlaku selepas itu. 

Setiap janji tidak boleh diucapkan sesuka hati tanpa memikirkan kemampuan menunaikannya. Kita hanya harus berjanji jika yakin dapat melaksanakan janji itu.

Soal bahawa sesuatu janji itu hanya mampu dilaksanakan jika Allah mengizinkan adalah berdasarkan konsep manusia tidak berupaya melakukan sesuatu pun melainkan dengan izin-Nya.

Sememangnya kita dapat menjangkakan kemampuan melakukan sesuatu perkara berdasarkan kepada kebiasannya atau keinginan yang ditetapkan.  Contohnya, kita berjanji bertemu rakan pada satu masa dan tempat yang ditetapkan. 

Ketika berjanji itu kita sedar masa itu boleh dipenuhi kerana tidak bertindih dengan tugas lain dan dapat pergi ke tempat.

Tetapi, mungkin kita tidak dapat menepati janji itu disebabkan pada masa ditetapkan kita perlu melakukan sesuatu yang lebih penting yang boleh dianggap darurat berbanding menunaikan janji itu. 

Kegagalan menunaikan janji itu mungkin juga disebabkan kita jatuh sakit, tidak ada kemudahan kenderaan, halangan dalam perjalanan dan sebagainya.

Sunday 19 January 2020

WANITA TABAH HADAPI CABARAN


Pepatah, tangan yang menghayung buaian mampu menggoncangkan dunia. Satu peringatan dan motivasi mengenai kekuatan wanita. Wanita tidak lemah. Wanita mampu melakukan sesuatu perkara yang di luar kebiasaan.

Wanita-wanita zaman sekarag sudah boleh berdikari dan pandai buat wang sendiri tanpa perlu bergantung harap pada lelaki sepenuhnya lagi, Itu kenyataan yang perlu diakui lelaki.

Mereka bersedia dan sanggup berdepan dengan apa jua ujian. Tiada istilah gentar dan ragu-ragu. Mereka tabah dengan apa jua rintangan. Apa sahaja yang di hadapan dihadapi dengan yakin.

Di mana sahaja seminar motivasi dan percambahan ilmu, yang ramai menyertainya adalah wanita. Mereka perhebatkan langkah dengan ilmu dunia dan akhirat dengan seimbang agar kita jadi lebih matang. Semangat mereka bukan membabi buta. Mereka berpandukan kepada ilmu dan keyakinan tinggi.

Sebahagian dugaan yang mendatang menjadikan mereka lebih matang dan menuju keadaan lebih. Episod sedih dibuang jauh-jauh.

Wanita berjaya tidak menjadikan air mata melunturkan semangat mereka. Sebaliknya, air mata itu akan menjadi pengajaran untuk lebih kuat. Air mata itu umpama air yang menjadikan debu simen menjadi keras.

Sunday 12 January 2020

AJAR ANAK HORMATI ORANG MISKIN

Amo selalu pese anok-anok amo, hormati ore tuo biarpun dia miskin setaro mano pun.

Bilo kito salam dengan dio, pasti dia terasa dia dihargai biarpun miskin dengan harta.

Harus ingat, kekadang orang yang miskin tu lebih baik hati budi berbanding orang yang kaya.

Bila mati seksok, bau dalam kubur sama jah samada kaya atau miskin,putih atau hite.


Dari FB Beng Khieu

Dalam bahasa Malaysia Baku:

Saya selalu berpesan kepada anak-anak saya, hormati orang tua biarpun dia miskin setara mana sekalipun pun.

Bila kita bersalam dengan dia, pasti dia terasa dia dihargai biarpun miskin dengan harta.

Harus diingatkan, kekadang orang yang miskin itu lebih baik hati budi berbanding orang yang kaya.

Apabila mati nanti, bau dalam kubur sama sahaja sama ada kaya atau miskin, putih atau hitam.

Tuesday 7 January 2020

MAKSUD 'LANGGAR' PERLU DIFAHAMI

Tular di media sosial mengenai Langgar Rindu yang telah mendapat pengiktirafan 'binaan paling unik' oleh pengunjung yang pernah melancong ke seluruh pelusuk dunia.

Mengenai nama Langgar Rindu, ada orang menyebut atau menulis 'Surau Langgar Rindu', kerana ia adalah sebuah surau yang dibina di kawasan Madrasah Al Insan Saka Iman.

Betulkah jika menamakan 'Surau Langgar Rindu'? Apakah maksud 'langgar'?

Di kalangan kita, apabila disebut perkataan 'langgar' pasti tergambar maksud 'pelanggaran' yang bererti 'bertembung' atau 'tidak mematuhi'.

Sedangkan ramai tidak mengetahui bahawa 'langgar' juga bermaksud surau. Jadi nama lain bagi Langgar Rindu adalah Surau Rindu. Maka, tidak tepat juga dinamakan 'Surau Langgar Rindu' yang akan membawa maksud 'Surau Surau Rindu'.

Maksud lain bagi perkataan 'langgar' ialah kawasan pemakaman diraja. Di negara kita ada dua tempat yang menggunakan perkataan 'langgar' secara rasmi iaitu Makam Diraja Langgar, Kota Bharu dan Makam Diraja Langgar, Alor Star.

Alang-alang telah menulis mengenai Langgar Rindu, elok terus dicatatkan di sini mengenainya.

Langgar Rindu yang terletak di jalan utama Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai, kini menjadi tumpuan dari dalam dan luar negara terutama selepas ia tular di media sosial.

Langgar Rindu pasti mampu memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihat struktur binaannya apatah lagi ia diperbuat dari kayu tembesu dan kayu cengal sepenuhnya. Ada kayu yang digunakan itu telah berusia ratusan tahun.

Dek kerana keunikan ‘Langgar Rindu’ yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan video sebagai kenangan berkunjung ke Terengganu. 

Selain itu, ramai pengunjung yang menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembinaan dan pengurusannya. Bukan Islam juga tidak ketinggalan memberi sumbangan biarpun mengetahui ia bertujuan untuk pendidikan Islam.

Sesungguhnya, niat ikhlas semata-mata hanya kerana Allah akan dipermudahkan untuk mencapai apa yang diimpikan.

Ternyata, Langgar Rindu kini menjadi satu lagi destinasi tumpuan pelancong di Terengganu, khususnya di Rhu Tapai, Merang.

Langgar Rindu dibina oleh Abdul Karim Embong yang juga seorang penyair dengan nama pena Arif Karimi. Jiwa seni dan keikhlasan Abdul Karim membinanya melahirkan sesuatu yang amat unik.

Thursday 2 January 2020

CARA MUDAH BUAT BELACAN TAHAN LAMA


Belacan merupakan sejenis bahan perisa masakan yang diperbuat daripada udang kecil atau dipanggil geragau digaul bersama garam. Ia mempunyai bau agak kuat tetapi sedap dan digemari ramai.

Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Orang Melayu jika tak tahu makan belacan sering kali ditertawakan atau diejek. Begitulah sinonimnya belacan dalam kehidupan orang Melayu.

Tetapi belacan kini telah diterima oleh semua peringkat usia dan bangsa di Malaysia. Bahkan ada pengeluar belacan terdiri bukan Melayu.

Proses pembuatannya agak mudah tapi memerlukan kemahiran untuk menghasilkan mutu dan kualiti belacan agar tahan lama.

Bahan asas belacan ialah udang geragau atau udang kecil dan garam. Ada juga mencampurkan dengan gula dan sagu.

Udang yang digunakan untuk diproses membuat belacan hendaklah terlebih dahulu dibersihkan daripada sebarang kotoran seperti tanah, pasir, habuk, kulat dan sebagainya.

Garam yang digunakan pula ialah jenis garam halus. Jumlah garam yang digunakan biasanya ialah 10% daripada jumlah berat udang yang digunakan.

Udang yang telah dibersihkan dicampur dengan garam halus dan digaul rata.  Bahan yang telah dicampurkan itu diletakkan di atas nyiru atau tikar untuk dikeringkan separuh kering.

Udang yang bergaram yang telah dijemur separuh kering tadi dikisar atau kaedah lamanya dengan cara menumbuk di dalam lesung supaya separuh hancur. 

Bahan yang telah ditumbuk itu dibungkus dengan kain dan dimasukkan ke dalam tong dan ditekan supaya menjadi padat. Ia perlu diperam selama seminggu.

Setelah diperam selama seminggu, bahan itu dikisar sekali lagi supaya adunan hancur menjadi lebih halus. Selepas itu dibungkus semula dengan kain dan dimasukkan ke dalam tong dan ditekan supaya menjadi padat. Kemudian diperam selama seminggu lagi.

Langkah tersebut diulang beberapa kali bagi menghasilkan belacan bermutu tinggi. 

Setelah itu ulang cara tersebut beberapa kali dan proses pembentukkan belacan dibuat sama ada bentuk bulat leper atau bentuk bongkah.

Jemur belacan ini sehingga agak kering dan sesuai untuk dibungkus, dilabel dan boleh dipasarkan.

Keseluruhan proses membuat belacan adalah antara 3 minggu (proses mudah) sehingga 8 minggu (menggunakan bahan udang besar) dan bergantung kepada jenis peralatan untuk memproses yang digunakan.

Belacan asli diproses mengambil masa lama kerana menjamin mutu dan kualitinya. 

Belacan asli tidak menggunakan bahan kimia Rhodamine B yang digunakan sebagai pewarna mencantikkan belacan. Bahan kimia Rhodamine B berbahaya untuk kesihatan.

Petua untuk mendapatkan bekalan belacan yang asli adalah dengan membeli belacan buatan kampung dan bukannya belacan kilang. Belacan buatan kampung adalah diusahakan sendiri oleh orang kampung.

Belacan asli berwarna kelabu atau pudar. Kalau yang berwarna merah atau jingga, itu dicampur dengan pewarna. Pewarna boleh mengakibatkan barah