Thursday 27 February 2020

SYAITAN HASUT TANGGUH TAUBAT


Antara hasutan syiatan ialah menangguhkan bertaubat. Orang muda yang ingin bertaubat dibisikkan oleh syaitan agar ditangguhkan taubat itu sehingga usia tua. Bisikan syaitan itu satu helah, kerana selama-lamanya syaitan akan mempengaruhi manusia melakukan dosa dan menghalang daripada bertaubat. 

Apabila usia tua, syaitan menggunakan helah lain pula untuk menangguh taubat. Amalan buruk yang telah sebati sukar untuk dikikis. Syaitan membisikkan agar terus melakukan perkara itu. Sebab itu, golongan tua tidak sedar semakin menghampiri kematian.

Sesiapa bertaubat, maka dirinya diampunkan Allah SWT. Segala keburukan yang dilakukan hasil hasutan syaitan sebelum itu diampunkan. Usaha syaitan itu jadi sia-sia. Justeru, syaitan berusaha mengelakkan manusia bertaubat dengan cara sentiasa menangguhkan sehingga saat kematian.

Taubat perlu disegerakan apabila merasakan diri telah melakukan dosa bertujuan membersihkan diri agar kehidupan lebih aman, sejahtera dan dilimpahkan rahmat. Allah SWT sentiasa membuka peluang untuk hamba-Nya bertaubat. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat. (Hadis riwayat Tirmizi).

Orang dipenuhi dosa sentiasa resah, tidak mendapat kepuasan hidup, tamak, ketagih melakukan maksiat dan benci melakukan kebaikan.  Doa orang berdosa sukar dimakbulkan oleh Allah SWT. Hati yang tidak dibersihkan dengan taubat menjadi terus kotor dan sukar mendapat cahaya kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang mukmin jika berbuat satu dosa, maka ternodalah hatinya dengan satu noktah berwarna hitam. Jika dia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, hatinya akan kembali jernih. Jika dosanya itu bertambah-tambah, noktah hitam itupun turut bertambah hingga menutupi hatinya." (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).

Kejayaan syaitan membawa kesesatan menjadikan manusia berani membantah dan menafikan kekuasaan Allah SWT. Kisah keangkuhan Firaun bukti nyata kesesatan manusia yang dipengaruhi syaitan. Firaun bukan sahaja tidak mengikuti ajaran dibawa oleh Nabi Musa, bahkan mengaku dirinya menjadi tuhan dan berkuasa melakukan apa yang diingini. 

Syaitan telah menjadikan Qarun bertukar angkuh dan sombong setelah memiliki kekayaan yang banyak. Nasihat dan seruan Nabi Musa tidak diendahkan oleh Qarun akibat hasutan syaitan yang lebih menguasai minda dan nafsunya. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Namun, tentunya syaitan tidak berputus-asa untuk mempengaruhi manusia agar melakukan kejahatan dan meninggalkan suruhan Allah SWT. Perkara pertama yang dibisikkan ialah menimbulkan minat dan keinginan melakukan perkara ditegah itu.

Setiap muslim perlu berusaha membatalkan niat melakukan keburukan dan kembali kepada niat melakukan kebaikan. Sesiapa membatalkan hasrat melakukan perkara buruk tetap mendapat pahala.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia keinginannya lalu benar-benar melakukannya, maka akan ditulis untuknya satu kejahatan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sunday 16 February 2020

CARA TENTERA KELUAR DARI PESAWAT

Anggota tentera yang melakukan tugas memasuki kawasan musuh untuk melakukan serangan mengejut, membersikan kawasan dan memasuki kawasan yang tiada lapangan terbang perlu melakukan penerjunan dengan payung terjun.

Biasanya anggota tentera akan menggunakan payung terjun statik. Namun dalam tugas khas yang memerlukan kapal terbang berada di aras tinggi, anggota tentera akan melakukan penerjunan bebas untuk mengelak dikesan musuh.

Selain itu, anggota tentera juga melakukan penurunan menggunakan tali secara 'abseiling' dari helikopter dari paras 50 hingga 100 meter. Kaedah itu dilakukan jika tidak ada kawasan sesuai untuk helikopter mendarat dan untuk tujuan keselamatan.

Untuk melakukan kedua-dua kaedah tersebut tentu sekali memerlukan keberanian. Mereka melakukan tugas berbahaya antara hidup dan mati.
Terima kasih kepada seluruh anggota tentera yang sanggup berkorban apa sahaja demi keselamatan negara.

Usah peduli dengan dakwaan bahawa anggota tentera hanya makan tidur sahaja. Mereka tidak tahu dan tidak pernah hendak ambil tahu tugas tentera sebenar. Hanya anggota tentera tahu tugas rutin mereka.

Saturday 8 February 2020

BAHAYA AKIBAT MEMANDU LAJU


Jangan dok lorat gaduh gak kalu bawok kereta tu. Memandulah cara berhemah demi menjaga keselamatan diri sendiri, penumpang dan pengguna jalan raya.

Kebanyakan kemalangan yang berlaku disebabkan memandu laju dan cara berbahaya. Kelajuan boleh membunuh.

Memandu di lebuh raya memang selesa. Kelajuan dibenarkan di lebuh raya mencapai 110/kmj. Namun ada yang memandu melebihi had dibenarkan. Alasannya, kerana kelajuan kereta mampu mencapai lebih daripada itu. Jadi, pecul ajelah.

Dalam kelajuan yang tinggi, kereta berada dalam keadaan tidak stabil. Apa sajaka kemungkinan boleh berlaku. Sedikit saja kesilapan berlaku boleh membawa malapetaka.

Diakui lebuh raya dibina dan diselenggara dengan baik. Namun, terdapat kawasan tertentu di lebuh raya belaku tanah mendap atau jalan beralun. Keadaan jalan sedemikian amat berbahaya jika kenderaan bergerak laju. Kenderaan akan hilang kawalan dan melambung.

Bahaya memandu laju - Apabila anda memandu melebihi had laju:
- Anda mempunyai tidak cukup masa untuk mengenal pasti bahaya yang tiba-tiba muncul dan bertindak balas terhadapnya
- Anda memerlukan masa yang lebih lama dan jarak lebih jauh untuk berhenti
- Anda berisiko terlibat dalam kemalangan yang serius
- Tayar kenderaan anda kurang menggigit dan anda berisiko terbabas kerana geseran statik yang bertanggungjawab membolehkan tayar anda menggigit permukaan jalan bertukar menjadi geseran dinamik
- Daya emparan yang terhasil di selekoh menjadi terlalu kuat dan tidak lagi mampu ditangani oleh rekaan belokan mengiring pada jalan tersebut

Memandulah secara selamat dan berusaha mencegah kemalangan daripada berlaku. Hargai diri sendiri dan orang lain. Sekiranya perlu sampai awal di sesuatu lokasi atau tempat yang ingin dituju, bertolaklah lebih awal. Insa Allah akan sampai awal dengan selamat. Pandu cermat jiwa selamat.  

Tuesday 4 February 2020

TAMAN TASIK KETITIR, GUA MUSANG

Taman Tasik Ketitir atau dikenali juag Taman Tasik Gua Musang terletak di dalam Bandar Baharu Gua Musang bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Ia dimiliki dan diuruskan oleh Majlis Daerah Gua Musang (MDGM). Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki dan menggunakan kemudahan yang disediakan.

Kedudukannya yang menjadi sebahagian Bandar Baharu Gua Musang menjadikan ia taman di dalam bandar. Ia dirancang dan dibina sebagai sebahagian perancangan asal pembangunan Bandar Baharu Gua Musang. Dari stesen bas dan teksi bandar baharu hanya mengambil masa kira-kira 10 minit jika berjalan kaki.

Tasik Ketitir merupakan sebuah tasik bekas tapak aktiviti perlombongan suatu ketika dahulu. Kini ia telah dijadikan satu kawasan rekreasi dalam bandar di Gua Musang.

Namanya adalah daripada spesis burung yang banyak bersarang di pokok-pokok sekitar taman tasik yang masih boleh dilihat pada hari ini. Menjadi tumpuan kepada masyarakat tempatan untuk bersiar-siar, berehat dan berekreasi di samping menikmati persekitaran segar dan nyaman.

Dengan berlatar belakang bukit batu kapur dan bukit lain yang terletak jauh, kawasan Tasik Ketitir sering menjadi lokasi jurugambar untuk merakam detik mata hari terbit yang memaparkan keindahan dan ketenangan di kawasan berkenaan.