Tuesday 4 July 2023

GUNA AGAMA UNTUK KEPENTINGAN POLITIK

Perkara agama ini jika dibawa dalam politik memang laku dan laris. Sebab itu Pas suka gunakan isu agama untuk mendapat sokongan dan perhatian. Sudah berpuluh-puluh tahun Pas menggunakan slogan agama sejak mula ditubuhkan pada 24 November 1951. 

Hakikatnya, Islam bukan Pas dan Pas bukan Islam. Pas hanya parti untuk mendapat kuasa. Apabila berkuasa, Pas buat apa untuk Islam kecuali omong kosong. Selama 33 tahun menjadi kerajaan di Kelantan, apa yang Pas buat untuk Islam?
 
Satu-satunya yang ditonjolkan kejayaan Pas Kelantan ialah tidak membenarkan lesen judi. Hakikatnya, pendidikan tentang haram dan keburukan judi tidak ditekankan. Sebab itu judi haram (dari segi undang-undang) masih berleluasa di Kelantan. Bahkan agen judi haram masih banyak meraih keuntungan.
 
Peliknya, di Kelantan masih dibenarkan lesen penjualan arak dengan alasan untuk bukan Islam. Judi dan arak kedua-duanya mendatangkan keburukan kepada sesiapa sahaja. Sebab itu ia diharamkan di dalam Islam.
 
Namun, bagi bukan Islam arak dan judi adalah budaya mereka. Judi yang diluluskan orang kerajaan Pusat bukan untuk orang Islam, bahkan menjadi satu kesalahan orang Islam terlibat dalam mana-mana aktiviti judi.
 
Justeru, jika Pas Kelantan tidak membenarkan lesen judi kerana ia haram dan mendatangkan keburukan, maka sepatutnya lesen arak juga dihentikan. Kedua-duanya mendatangkan mudarat yang besar. Rasanya pemimpin Pas sedia maklum mengenai perkara ini.
 
Allah SWT berfirman, “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya’ dan mereka bertanya pula kepadamu: ‘Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?’ Katakanlah: ‘Dermakanlah – (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)’. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.” (al-Baqarah: 219).
 
Pas Kelantan sentiasa bercerita tentang Islam. Slogan Membangun Bersama Islam sekadar slogan. Apa yang membangunnya? Kota Bharu dikenali “Bandar raya Islam” tetapi kebersihan dan kebajikan rakyat terabai.
 
Bachok pula dikenali Bandar Pelancongan Islam. Banyak lagi tempat di Kelantan yang dikaitkan dengan nama Islam.
 
Hendak buat hospital bersalin berkonsepkan Islam, entah bila siapnya. Stadium tertutup untuk wanita yang kononnya untuk mengelak dosa mendedahkan aurat ketika bersukan belum pasti bila akan dimulakan pembinaanya. Hudud hanya dirayakan ulang tahun tanpa perlaksanaan dengan alasan tidak dibenarkan kerajaan Pusat.
 
Mempergunakan agama untuk cari makan politik bukannya susah. Petik ayat Quran, hadis yang sesuai dengan selera untuk dijadikan dalil menghalalkan atau mengharamkan sesuatu.
 
Sebab itu hukumnya sentiasa berubah-ubah. Jika beri keuntungan politik untuk mereka, maka ia halal dan dibolehkan. Sebaliknya, jika pihak lain dapat keuntungan, maka perkara itu dianggap haram atau mendatangkan keburukan. 

No comments:

Post a Comment