Thursday 7 March 2024

MANA BETUL, RAMAI ORANG ATAU BANYAK ORANG

 
Jika kita menulis frasa “banyak orang”, tentu banyak orang akan mengatakan frasa tersebut salah. Banyak orang akan mengatakan frasa betul ialah “ramai orang”. Perkataan banyak dikatakan digunakan merujuk kepada binatang, benda atau selain daripada manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia ialah ramai.

Mari kita semak definisi “banyak” mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua. Definisi “banyak” ialah besar jumlahnya atau bilangannya. Contoh ayat: sekarang ini banyak orang perempuan yang menjadi anggota polis. 

Soalan, adakah banyak boleh menggantikan ramai untuk orang? Contoh frasa: banyak orang; banyak murid; banyak ibu bapa.

Perkataan “ramai” membawa maksud terdiri daripada jumlah yang banyak (berkenaan orang), manakala “banyak bermaksud besar jumlahnya atau bilangannya.

Frasa ramai orang dan banyak orang kedua-duanya betul dan penggunaannya disesuaikan mengikut konteks ayat.

Kebiasaanya ramai orang merujuk suasana (keadaan) orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala banyak orang merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan, seperti banyak ibu bapa merujuk bilangan ibu bapa yang besar jumlahnya.

Banyak merupakan kata sifat. Banyak bermaksud jumlah yang besar.

Kata bilangan menjadi penerang jumlah pada frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut. Frasa yang betul ialah "banyak orang".