Thursday, 8 July 2021

TOK BACHOK ULAMA TERKENAL KELANTAN

Tok Bachok ulama terkenal Kelantab. Nama sebenarnya Uthman bin Muhammad (1868-1953), dilahirkan pada 1868 Masihi di Kampung Tok Burung, Bachok. Berketurunan Cina Muslim Monggolia, Tok Bachok seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Selehor dan Tok Kemunting. 

Di antara guru beliau ialah Wan Ali Kutan, Abdul Malek Sungai Pinang, Wan Ahmad al Fathoni dan lain-lain. Tok Bachok menghabiskan 15 tahun umurnya di Mekah untuk meyambung pelajaran. Beliau kembali ke tanah air ketika berusia 40 tahun.

Beliau kemudian menubuhkan sekolah pondok untuk mengajar agama. Tapak pondok tersebut berhampiran tapak perkuburan besar pekan Bachok.

Beliau diberi gelaran Tok Bachok kerana kemasyhuran beliau dalam mengajar ilmu yang berpusat di Bachok. Gelaran "tok" adalah satu penghormatan besar di Kelantan pada masa dahulu. 

Tok Bachok ialah seorang yang bercakap dan menghukum dengan penuh hikmah. Diceritakan pada suatu ketika, seorang muridnya di sekolah pondok ditangkap kerana merokok. 

Barangkali, murid tersebut, pelajar-pelajar lain dan guru yang mengajar di sekolah yang sama menyangka bahawa Tok Bachok akan memberi hukuman yang berat kepada pelajar tersebut.

Namun, sangkaan mereka itu semua meleset jauh. Apa yang Tok Bachok lakukan adalah dengan menyuruh pelajar-pelajarnya mengambil puting rokok tersebut diikat dengan seutas tali. Kemudian, tali tersebut ditarik ramai-ramai dan dihumban ke dalam laut.

Di sebalik tindakan yang diambil oleh Tok Bachok itu mungkin mahukan semua orang yang menjadi saksi kejadian itu mengutip iktibar bahawa perbuatan merokok perlu dicegah dan dijauhi oleh semua pihak.

Pada hayatnya, Tok Bachok mempunyai beberapa orang isteri, antaranya Che Membunga (Tok Ji), Zabidah dan Che Embun.

Anak beliau adalah Yasin (Ustaz Yasin), Che Mariam, Mohd Amin (Baba), Mustaffa, Mohd Zain (Tok Ayah Zain), Mohd Nor, Abd Aziz (Pak Jid), Hassan, Hussin, Abd Khir dan Mohd Rashidy.

Pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 bersamaan 27 Julai 1953, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 93 tahun. 

Jenazahnya telah dikebumikan di tapak tanah miliknya, yang seterusnya diwakafkan sebagai tanah perkuburan Bachok. 

Sebagai mengenang jasanya, sebuah sekolah dinamakan sempena nama tokoh terkenal ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok yang terletak di Tangok, Bachok. 

No comments:

Post a Comment