Friday, 3 April 2026

KETUA PEMUDA UMNO PERTAMA

 
Tun Hussein Onn dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO yang pertama ketika usia 26 tahun. Satu permulaan kepada perjalanan kepimpinan yang penuh makna. Sebagai anak kepada pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar, beliau bukan sekadar mewarisi nama, tetapi membawa bersama semangat perjuangan yang sama.

Dari langkah awal itu, perjalanan beliau terus berkembang, sehingga akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3.

Sebuah kisah legasi, di mana bapa dan anak kedua-duanya pernah memimpin UMNO dan meninggalkan jejak dalam sejarah negara.

Tun Hussein Onn telah dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru. Beliau merupakan anak sulung kepada Dato’ Onn Jaafar, dan Datin Halimah Hussein.

Beliau menerima pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di English College, Johor Bahru (kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar).

Tun Hussein Onn dikenali dengan usaha beliau dalam menekankan isu-isu perpaduan kaum melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia.

Antaranya ialah dengan melancarkan Amanah Saham Nasional. Pada tahun 1976, Tun Hussein telah melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah.

Beliau juga sering menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Beliau mewujudkan budaya kerja yang penuh disiplin dan integriti di dalam seluruh jabatan kerajaan. Tun Hussein cukup benci dengan gejala rasuah, dan menyifatkannya sebagai sebuah penyakit yang harus dihapus “sebelum ia menjadi barah.”

Usaha-usaha beliau dalam memupuk perpaduan dan keharmonian sesama pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia memberi beliau gelaran “Bapa Perpaduan”.

No comments:

Post a Comment