Bagaimana tahu gagal jika belum pernah bermula? Sebagai seorang hamba Allah jua sebagai seorang Islam, 'outcome @ results' kehidupan juga tergantung kepada ketentuan Qada dan Qadar Allah. Yang penting, usaha...akhirnya tawakal.
Melakukan apa pun pasti ada risiko. Yakni berjaya atau gagal. Pilih untuk berani berisiko, berani membuat keputusan, berani memulakan, berani berdepan cabaran kehidupan. Kerana di akhir garisan kehidupan ini, semua kita menuju matlamat bertemu Tuhan. Pada hari yang telah ditentukan.
Ya... sesungguhnya rezeki itu tidak akan datang bergolek jika tidak diusahakan. Justeru, setiap orang perlu bekerja mengikut kemampuan masing-masing untuk mendapat rezeki mencukupi untuk diri sendiri dan keluarganya.
Dunia yang terbentang luas ini menyediakan rezeki yang mencukupi untuk setiap penghuninya. Allah SWT menjadikan dunia ini ladang untuk manusia mendapat nikmat di dunia dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat melalui setiap usaha yang dilakukan.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Sesungguhnya, rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT berada di mana-mana asalkan kita berusaha mencarinya. Mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah juga mampu menyara keluarga.
Biarpun kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati berusaha untuk mencari keredaan Allah SWT. Apa yang penting usaha itu halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment