Sifat malaikat sentiasa patuh
perintah Allah SWT. Malaikat tidak pernah durhaka, bahkan tidak pernah menyimpan
hasrat untuk melakukannya. Sifat malaikat digambarkan dalam Al-Quran
sepanjang masa bertasbih dan memuji Allah SWT sepanjang masa. Cara bertasbih
mereka tidak terbatas pada ucapan, malah merangkumi sikap dan perbuatan.
Setiap malaikat ada perbuatan tersendiri seperti berdiri, duduk, rukuk, sujud dan tawaf mengelilingi Baitul Makmur ketika melakukan ibadat.
Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka takut kepada Tuhan mereka yang
berkuasa atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada
mereka." (Surah an-Nahl, ayat 50).
Dalam keadaan itu, malaikat tidak dibebani tugas lain. Mereka hanya taat kepada
Allah SWT dan tidak ada 'pilihan'. Hal ini berlainan dengan hakikat kejadian
manusia dan jin yang terdedah kepada iman dan kufur.
Satu persamaan malaikat dengan makhluk lain ialah ia juga akan binasa sebelum hari kiamat, termasuk Israfil yang bertugas meniup sangkakala menanda berlakunya kiamat. Israfil akan meninggal sebaik tugasnya selesai dan seluruh dunia dan isi kandungannya musnah.
Malaikat dicipta dari cahaya, tidak ada jantina atau keperluan untuk
berkelamin, tidak makan dan tidak minum, tidak memiliki nafsu, tidak tidur dan
tidak perlukan rehat.
Kehebatan lain malaikat ialah dari segi kecepatan bergerak dan ketepatan
melaksanakan tugas. Contohnya bagaimana Izrail melaksanakan tugas mencabut roh,
bukan saja manusia, bahkan semua makhluk di seluruh dunia.
Perlaksanaan tugas itu tepat dan tidak tersilap setelah mendapat perintah Allah
SWT. Bayangkan bagaimana Izrail dapat melaksanakan tugas itu untuk mencabut roh
manusia dan makhluk lain secara serentak di seluruh dunia yang berlaku setiap
detik.
Pada malaikat terdapat sayap sama ada dua, tiga atau lebih sehingga 600 sayap
dan tidak terkira jumlahnya. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat pertama
bermaksud: "Segala puji bagi Allah, pencipta langit dan bumi, yang
menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang bersayap. Masing-masing memiliki
dua, tiga dan empat sayap."
Mengenai malaikat memiliki 600 sayap dijelaskan hadis yang diriwayatkan Bukhari
dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah melihat Jibril pada malam Israk dan
Mikraj dengan 600 sayap yang dimilikinya.
Sayap digambarkan berfungsi untuk pergerakan yang pantas, manakala pada erti
lain membawa maksud keupayaan malaikat melaksanakan tugas dengan cepat dan
tepat.
Dalam surah al-Maarij ayat 4 Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Malaikat-malaikat dan Jibrail mengadap kepada Tuhan dalam sehari yang
kadarnya lima puluh ribu tahun." Maksud ayat itu keupayaan malaikat
bergerak dalam tempoh sehari saja, sedangkan jika dibandingkan dengan keupayaan
manusia mengambil masa 50 ribu tahun.
Para ulama dalam menjelaskan sayap malaikat, menafsirkan dalam pelbagai aspek.
Namun, cukuplah kita mempercayai ia sebahagian perkara ghaib yang wajib
dipercayai melalui apa dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tanpa membahas lebih
panjang.
Mempercayai malaikat termasuk dalam Rukun Iman. Tidak percaya kepada malaikat, bermakna keimanan seseorang menjadi cacat.
No comments:
Post a Comment