Dunia
sudah hampir sampai ke penghujungnya. Berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan
yang berleluasa adalah tanda jelas akan kedudukan usia di dunia ini.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Mereka hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada
orang terdahulu (azab). Maka kamu tidak akan mendapati apa-apa perubahan selain
dari ketentuan Allah SWT." (Surah Fatir, ayat 43).
Oleh
itu, bersegeralah dalam melakukan kebaikan di samping berhati-hati dengan dosa
dan kemaksiatan. Ingat bahawa hari yang kita lalui semakin sukar kerana
hampirnya kita dengan kiamat.
Sabda
Rasul SAW bermaksud: "Tiada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan
mereka menyeru umatnya ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya
umat ini menerima kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah dan
kerosakan di penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang yang beriman:
"Inilah detik kemusnahan. Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan
yang menuju kepada Allah dan hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim).
Maka,
berbahagialah buat mereka yang mati di atas landasan tauhid yang sebenar. Dari
sinilah kita melihat bahawa maksud fitnah ialah sesuatu perkara yang berlaku
dan memudaratkan agama atau suatu nikmat dunia secara keseluruhan atau
sebahagian daripadanya.
Segala
kenikmatan dunia yang dikecapi manusia juga dikategorikan sebagai fitnah bagi
melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat berkenaan.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Kami akan menguji kamu dengan kebaikan dan keburukan
sebagai cubaan. Kepadanya juga kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiya,
ayat 35).
Begitu
juga ujian kepada harta dan anak pinak yang berkait rapat dengan godaan nafsu.
Untuk
menjamin keselamatan, kita hendaklah memastikan jalan yang kita pilih agar
mendapat ganjaran yang dijanjikan itu.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya
Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang
berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69).
Kita
juga akan melihat pertarungan yang sengit dalam menghadapi pelbagai ujian yang
terkadang akan menguji kesabaran dan emosi sehingga kita berasakan bahawa
kitalah orang yang paling malang di dunia ini sedangkan hakikat sebenar adalah
sebaliknya. Kita lupa bahawa Allah SWT menyediakan pelbagai bentuk bonus
ganjaran kepada mereka yang diuji.
No comments:
Post a Comment