Tuesday 7 January 2020

MAKSUD 'LANGGAR' PERLU DIFAHAMI

Tular di media sosial mengenai Langgar Rindu yang telah mendapat pengiktirafan 'binaan paling unik' oleh pengunjung yang pernah melancong ke seluruh pelusuk dunia.

Mengenai nama Langgar Rindu, ada orang menyebut atau menulis 'Surau Langgar Rindu', kerana ia adalah sebuah surau yang dibina di kawasan Madrasah Al Insan Saka Iman.

Betulkah jika menamakan 'Surau Langgar Rindu'? Apakah maksud 'langgar'?

Di kalangan kita, apabila disebut perkataan 'langgar' pasti tergambar maksud 'pelanggaran' yang bererti 'bertembung' atau 'tidak mematuhi'.

Sedangkan ramai tidak mengetahui bahawa 'langgar' juga bermaksud surau. Jadi nama lain bagi Langgar Rindu adalah Surau Rindu. Maka, tidak tepat juga dinamakan 'Surau Langgar Rindu' yang akan membawa maksud 'Surau Surau Rindu'.

Maksud lain bagi perkataan 'langgar' ialah kawasan pemakaman diraja. Di negara kita ada dua tempat yang menggunakan perkataan 'langgar' secara rasmi iaitu Makam Diraja Langgar, Kota Bharu dan Makam Diraja Langgar, Alor Star.

Alang-alang telah menulis mengenai Langgar Rindu, elok terus dicatatkan di sini mengenainya.

Langgar Rindu yang terletak di jalan utama Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai, kini menjadi tumpuan dari dalam dan luar negara terutama selepas ia tular di media sosial.

Langgar Rindu pasti mampu memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihat struktur binaannya apatah lagi ia diperbuat dari kayu tembesu dan kayu cengal sepenuhnya. Ada kayu yang digunakan itu telah berusia ratusan tahun.

Dek kerana keunikan ‘Langgar Rindu’ yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan video sebagai kenangan berkunjung ke Terengganu. 

Selain itu, ramai pengunjung yang menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembinaan dan pengurusannya. Bukan Islam juga tidak ketinggalan memberi sumbangan biarpun mengetahui ia bertujuan untuk pendidikan Islam.

Sesungguhnya, niat ikhlas semata-mata hanya kerana Allah akan dipermudahkan untuk mencapai apa yang diimpikan.

Ternyata, Langgar Rindu kini menjadi satu lagi destinasi tumpuan pelancong di Terengganu, khususnya di Rhu Tapai, Merang.

Langgar Rindu dibina oleh Abdul Karim Embong yang juga seorang penyair dengan nama pena Arif Karimi. Jiwa seni dan keikhlasan Abdul Karim membinanya melahirkan sesuatu yang amat unik.

No comments:

Post a Comment