Thursday 20 July 2023

PEMILIHAN PEMIMPIN KUAT DAN AMANAH

 
Dalam Islam, hukum memilih pemimpin adalah wajib berdasarkan syarat tertentu. Hal bersandarkan kepada nas al-Quran bermaksud: "Dan urusan mereka (umat Islam) adalah dengan musyawarah di antara mereka." (Surah as-Syura, ayat 38)
 
Berdasarkan aspek ini, umat Islam boleh mengambil iktibar daripada kisah sahabat Nabi SAW, iaitu Abdu Dzar. Dalam satu riwayat hadis, Abu Dzar meminta jawatan daripada Nabi SAW, namun Baginda tidak memberikan jawatan diminta.
 
Sabda Nabi SAW terhadap Abu Dzar bermaksud: "Engkau adalah insan lemah. Sesungguhnya ia (kepemimpinan) adalah amanah. Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan, melainkan jika insan mengambilnya dengan haknya dan menunaikannya dengan sebaiknya".
 
Riwayat hadis ini tidak bertujuan merendahkan kedudukan Abu Dzar. Riwayat hadis ini menunjukkan kejujuran Nabi SAW dan sikap integriti Baginda sangat tinggi sehingga sanggup tidak melantik insan tidak layak untuk mengisi jawatan, walaupun insan itu adalah sahabat baik Nabi sendiri.
 
Riwayat hadis ini menunjukkan kepemimpinan perlu kepada dua sifat utama, iaitu kekuatan dan amanah serta berintegriti. Contohnya, kuat dalam sudut intelek, watak dan membuat keputusan. Kuat juga merujuk kepada tidak gopoh membuat keputusan.
 
Amanah serta integriti pula menggambarkan sikap jujur, tidak rasuah, tidak berdusta dan tidak membuat janji palsu. Insan kuat tetapi tidak ada integriti tidak layak diangkat menjadi pemimpin. Insan berintegriti, tetapi lemah juga tidak layak dipilih sebagai pemimpin, apatah lagi insan tiada kekuatan dan tiada integriti.
 
Ini membuktikan Islam sangat mengambil berat berhubung kepemimpinan dan aspek memilih pemimpin. Pemilihan seorang pemimpin tidak boleh dilakukan secara 'tangkap muat' atau mengikut selera tanpa meneliti ilmunya, latar belakang pendidikan, keadaan fizikal dan mental.
 
Pemilihan pemimpin yang tepat adalah antara aspek penting dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat. Pemimpin memiliki peranan besar menentukan arah tuju yang akan mempengaruhi kesejahteraan umat.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment