Perkataan lebai berasal daripada istilah Islami yang membawa maksud menyahut seruan (kebaikan) seperti dalam talbiyyah ketika mengerjakan haji.
Namun, ada satu gelaran untuk golongan lebai dan ustaz yang berpekerti tidak baik. Hanya berlagak alim sedangkan ada agenda tersembunyi di sebalik serban dan jubah. Gelaran itu ialah tok lebai kelarah.
Kelarah adalah perkataan dalam dialek Kelantan yang bermaksud di luar elok tetapi di dalam rosak.
Tok lebai kelarah mencemarkan imej baik lebai dan ustaz. Memang tok lebai kelarah ini amat sedikit bilangannya. Namun, ia telah menimbulkan prasangka atau prejudis terhadap lebai dan ustaz. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Orang kata, tidak boleh percaya 100 peratus kepada tok lebai, guru agama, ustaz dan pendakwah. Mereka ini ada yang menerima rasuah, perogol, pencabul, penipu dan macam-macam bentuk dosa lain.
Boleh jadi juga dari duhulu lagi ada lebai yang tidak berkelakuan baik sehingga pelbagai gelaran buruk diberikan kepada mereka seperti Lebai Malang, lebai kelarah, lebai ketayap, lebai pulut dan sebagainya.
Memang tidak adil kesalahan yang dilakukan sebilangan kecil itu diterima kesan buruknya kepada orang lain yang tidak bersalah. Itulah adat dunia.
Satu perkara lagi, sekarang ini kategori lebai yang kerap dikritik adalah berkaitan politik. Mereka dipanggil lebai politik. Tujuan utama mereka bukan syiar Islam tapi kuasa politik dan segala keuntungan yang datang bersama dengannya.
No comments:
Post a Comment