Friday, 8 January 2021

TANGAN SEJUK SESUAI TANAM POKOK

Sebut bab bercucuk tanam, maka akan timbul persoalan atau ungkapan ‘tangan panas’ dan ‘tangan sejuk’. Apakah maksud tangan panas? Dan apa pula dikatakan tangan sejuk.

Tangan panas adalah merujuk kepada mereka yang jika bercucuk tanam, pokok tidak akan tumbuh atau hasilnya tidak seperti diharapkan kerana tangannya panas. Tidak sesuai untu bercucuk tanam.

Manakala tangan sejuk pula ada mereka yang ‘nasib’ dalam kerja-kerja bercucuk tanam sentiasa menjadi. Apa sahaja yang ditanam akan tumbuh dan mengeluarkan hasil yang baik biarpun usahanya tidak seberapa.

Persoalannya betul ke ada tangan panas dan tangan sejuk? Di kalangan orang dahulu memang percaya perkara ini. Namun, kepercayaan itu semakin dilupakan.

Sekarang semakin banyak orang berminat dalam pertanian sama ada sekadar hobi mahupun sebagai kerjaya. Banyak yang berjaya tanpa faktor tangan panas mahupun tangan sejuk.

Apa yang penting adalah usaha. Jika ada yang tidak kena dan tidak mendatangkan hasil yang baik, itu tiada kaitan dengan tangan panas. Keadaan itu berlaku kerana tiada ilmu dalam bercucuk tanam.

Sekarang ini ilmu berkaitan pertanian mudah diperoleh. Cari sahaja di internet cara untuk menanam apa jenis pokok atau sayur-sayuran, biasanya tiada masalah untuk mendapat maklumat mengenainya.

Tambahan pula, sekarang banyak kumpulan atau group di Facebook yang berkaitan dan bercucuk tanam. Tanyalah apa sahaja, tentu ada orang yang sanggup berkongsi pengetahuan berkaitannya.

Banyak individu mengusahakan aktiviti bercucuk tanam buat percubaan sendiri cara atau teknik untuk mendapat hasil yang baik. Percubaan mereka berjaya mengeluarkan hasil yang cukup baik. Mereka pula dengan suka hati berkongsi kejayaan itu di media sosial.

Daripada laman sosial boleh belajar cara penjagaan pokok, bertukar-tukar pendapat dan pandangan selain dapat bertukar keratan pokok serta biji benih. 

Bahkan ada rakan di alam maya turut memberi maklumat di mana boleh mendapatkan benih dan baja berkualiti.

Jadi, tidak sukar untuk sesiapa pun untuk belajar cara bertani yang betul. Atau anda boleh buat sendiri percubaan berdasarkan kepada asas pengetahuan yang dimiliki berdasarkan pengalaman sendiri atau pembacaan.

Yakinlah. Berbudi kepada tanah tidak pernah merugikan, malah ia mendatang pulangan yang menguntungkan.

Semua orang berpeluang mendapatkan hasil tanaman yang memuaskan. Apa yang penting perlu rajin menjaga, bukan sekadar tanam kemudian tinggalkan tanaman tanpa dijaga dengan betul.

Kalau anda buat begitu memanglah tanaman tidak menjadi. Sama seperti kita, tanaman pun perlukan makanan dan belaian. 

Kita juga akan bosan jika diberikan makanan yang sama setiap hari. Begitu juga tumbuhan. Pelbagai sumber nutrien diperlukan tumbuhan dan perlu mengimbanginya. Jangan hanya bergantung pada satu jenis nutrien saja.

Gambar: Dari FB. 

No comments:

Post a Comment