Arca Keris Bagan Datuk. Arca ini dikenali "Menggenggam
Keris" yang digambarkan kedudukan tangan yang mengenggam erat keris
berdiri. Lokasi arca keris ini terletak di Dataran Jeti Bagan Datuk, Perak.
Replika Keris Taming Sari setinggi 8.5 meter ini berada
berhadapan dengan jeti, bersebelahan dengan Kompleks Pelancongan Bagan Datuk
dan berhampiran Masjid Terapung (Masjid Tuminah Hamidi).
Arca yang berdiri megah itu bukan sekadar sebuah monumen,
malah menjadi lambang kebanggaan warisan Melayu yang kaya dengan sejarah dan
nilai budaya.
Keris sejak dahulu lagi mempunyai kedudukan istimewa dalam
kehidupan masyarakat Melayu kerana melambangkan kedaulatan, keberanian, maruah
serta identiti bangsa.
Di Perak, keris turut menjadi simbol kebesaran negeri yang
dikaitkan dengan pelbagai khazanah bersejarah seperti Keris Seri Gading, Keris
Taming Sari, Keris Kuasa dan Pedang Cura Simanja Kini yang menjadi sebahagian
daripada warisan Kesultanan Perak.
Keris memainkan peranan penting dalam adat istiadat diraja,
pentadbiran negeri serta seni mempertahankan diri Melayu. Selain digunakan
sebagai senjata tradisional, keris juga dianggap sebagai simbol kebijaksanaan,
kekuatan rohani dan kehalusan seni yang mencerminkan keagungan tamadun Melayu.
Nilai sejarah dan budaya yang terkandung pada sebilah keris
menjadikannya antara warisan paling berharga yang terus dipelihara sehingga
hari ini.
Arca tersebut dibina menggunakan gabungan bahan gentian
epoksi, polyfoam dan kerangka besi bagi menghasilkan kemasan yang menyerupai
keris sebenar.
Projek ini merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk
UiTM Cawangan Perak, Pejabat Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Pejabat Daerah
dan Tanah Bagan Datuk serta sokongan sektor swasta.


No comments:
Post a Comment