Friday, 23 October 2026

BAHASA MELAYU PENTINGKAN SOPAN SANTUN

 
Bahasa Melayu mementingkan sopan santun.

Bahasa Melayu atau dalam konteks negara kita sekarang disebut Bahasa Malaysia amat mementingkan sopan santun. Kehalusan Bahasa Malaysia bukan sekadar pada seni bahasanya, tetapi cara bagaimana dipertuturkan.  

Sikap sopan santun dalam bahasa Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu lagi telah lahir beberapa kategori bahasa tertentu seperti bahasa istana, bahasa basahan, bahasa dalam, bahasa pasar dan lain-lain.  

Setiap bentuk bahasa itu diucapkan oleh golongan, di tempat atau masa tertentu yang melambangkan tertib dan harmoninya keistimewaan bahasa Melayu.

Golongan raja atau mereka berada di istana akan menggunakan bahasa istana. Rakyat biasa pula menggunakan bahasa basahan dalam kehidupan seharian. 

Bahasa yang diucapkan secara sopan lebih sedap didengar dan menjadi daya penarik supaya orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya menjadi lebih berminat meneruskan percakapan atau mendengarnya.  

Kita juga menggunakan bahasa sopan ketika bercakap dengan orang lebih tua atau mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada kita. Bahasa sopan mempunyai tanda hormat kita kepada orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya.

Semasa bercakap pastikan perkataan yang diucap tidak menimbulkan perasaan tidak senang atau menyakiti hati orang lain. Seboleh-bolehnya kita hendaklah menggunakan perkataan yang akan mengembirakan orang yang mendengar percakapan itu. 

Kata pepatah, kata itu lebih tajam daripada mata pedang. Justeru, perlu berhati-hati semasa bercakap. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan. Seringkali seseorang itu menerima kesusahan disebabkan perkataan yang diucapkan olehnya.

Perkataan yang bermaksud tidak baik tetap tidak baik maksudnya biarpun ia diucapkan oleh mereka yang dianggap baik. Perkataan yang diucapkan oleh seseorang melambangkan peribadinya.

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment