Monday 30 October 2023

SEJARAH MAGGI JENAMA TERKENAL DI MALAYSIA

 
Maggi ialah jenama antarabangsa bagi perasa, sup segera dan mi berasal dari Switerzland yang memulakan operasi pada 1884. Ketika itu Julius Maggi mengambil alih kilang bapanya. Beliau dilahirkan pada 9 Oktober 1846 dan merupakan anak bongsu kepada Michael Maggi, imigran daripada Itali dan ibunya Sophie anak jati Switzerland.
 
Maggi menjadi pelopor pengeluaran industri makanan, bertujuan untuk meningkatkan pengambilan pemakanan pekerja keluarga. Maggi ialah orang pertama yang membawa makanan kacang legum yang kaya dengan protein ke pasaran, dan diikuti dengan sup siap berasaskan makanan legum pada tahun 1886.
 
Selepas itu Maggi memperkenalkan perasa bouillon, yang pertama dalam kapsul, kemudian dalam kiub. Pada tahun 1897, Maggi mengasaskan syarikat Maggi GmbH di Singen, Jerman.
 
Pada mulanya perniagaan Maggi hanyalah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan tepung gandum. Beliau bukan sekadar seorang usahawan, namun mempunyai visi dan berpandangan jauh. Beliau telah melihat keadaan semasa terutamanya melihat kaum wanita menyediakan makanan untuk keluarga.
 
Situasi ini telah memberi idea bagaimana nutrisi makanan mampu disediakan pada kadar yang cepat dan memberi manfaat kepada setiap keluarga.
 
Atas usaha keras, beliau telah bekerjasama dengan seorang pakar nutrisi makanan bernama Fridolin Schuler yang mengamalkan konsep untuk meningkatkan mutu makanan dalam kalangan pekerja.
 
Pada tahun 1884 kerjasama mereka telah berjaya menghasilkan produk kekacang, namun produk tersebut gagal mendapat sambutan. Pada tahun 1886, berkat usaha dan tidak berputus-asa satu produk berasaskan sup segera telah berjaya dihasilkan.
 
Penghasilan ini telah mendapat bantuan kewangan dan perhatian daripada kerajaan Switzerland. Selang beberapa tahun Maggi telah menghasilkan beberapa sup pelbagai perisa serta sos sebagai penambah perasa dalam masakan. Syarikat Maggi telah berkembang maju dan membuka beberapa cawangan seperti Amerika, Perancis dan lain-lain. 
 
Maggi telah meninggal dunia pada tahun 1912 disebabkan penyakit strok. Jasa Maggi sangatlah bernilai terutama memudahkan golongan pekerja dan wanita dari segi kecepatan penghasilan masakan yang bernutrisi. 
 
Pada tahun 1947, berikutan beberapa perubahan struktur pemilikan dan korporat, syarikat induk Maggi telah dibeli oleh Nestle. Akibat itu, nama Maggi hanya kekal sebagal jenama sedangkan operasinya diuruskan oleh Nestle.
 
Mi segera Maggi menjadi jenama terkenal di Malaysia sehingga semua jenama mi segera akan dipanggil sebagai “maggi”. Bagi rakyat Malaysia, mi segera adalah maggi.
 
Rakyat Malaysia dan Maggi adalah makanan yang tidak dapat dipisahkan yang mempunyai pelbagai perisa seperti perisa sup ayam, kari, asam laksa, tomyam dan sebagainya.
 
Sebut sahaja mengenai mi Maggi pasti ada yang akan mengimbau kenangan ketika zaman persekolahan dan universiti. Bayangkan mi Maggi mampu menjadi penyelamat bagi pelajar menghadapi liku-liku kehidupan semasa di universiti.
 
Bukan sahaja dijual pada harga yang berpatutan malah “Mi Maggi cepat dimasak, lazat dimakan”.
 
Bagi pasaran Malaysia, Maggi memulakan operasi sekitar tahun 1969 dengan memperkenalkan produk berasaskan sos seperti sos tomato dan cili. Selepas mendapat sambutan, Maggi telah memperkenalkan mi segera berperisa kari kepada rakyat Malaysia pada awal 70-an.

No comments:

Post a Comment