Monday, 2 March 2020

CARA TRADISIONAL BAJAK SAWAH GUNA KERBAU

Proses membajak sawah merupakan antara peringkat dalam proses penanaman padi. Pada masa dahulu, kerja-kerja membajak dilakukan menggunakan khidmat haiwan seperti lembu dan kerbau untuk memudahkan kerja-kerja membajak.

Kerbau atau lembu dijadikan 'jentera' untuk menarik berberapa peralatan yang akan membajak tanah. Lembu atau kerbau pada masa dahulu memang telah dilatih lasak untuk melaksanakan tugasan itu dan 'mahir' melaksanakan tugasan melalui 'arahan' dibuat oleh tuannya.

Peralatan digunakan untuk membajak tanah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu igu, nanggal, sepak dan paha (perkataan dialek Kelantan).

Igu adalah kayu yang diletakkan di atas bahagian tengkuk lembu atau kerbau. Semasa proses membajak digunakan lembu atau kerbau yang digunakan sama ada seekor atau dua ekor serentak. Jadi, bentuk igu bergantung sama ada untuk seekor atau dua ekor.

Igu pula akan disambungkan dengan nanggal yang biasanya dibuat menggunakan batang kayu panjang dari jenis pokok halban atau leban. 

Batang nanggal itu pula akan dipasang sepak yang pada bahagian hujung di bahagian bawah akan dipasang dengan pahar atau pai, yakni sejenis mata yang diperbuat daripada besi. Paha atau mata bajak itulah yang akan 'mengerat' dan membalik tanah apabila ditarik oleh lembu atau kerbau.

Tanah yang dikerat dan dibalikkan menggunakan paha masih tidak sesuai untuk dijadikan tapak menabur atau menyemai benih padi. Tanah belum lembut dan rata sepenuhnya. 

Jadi proses seterusnya ialah menggerat tanah dan gerat yang berbentuk sisir. Gerat akan disambungkan dengan igu dan ditarik oleh lembu atau kerbau seperti proses pertama.

Proses menggerat akan memecahkan tanah kepada lebih kecil dan meratakan tanah. Selain itu, ia juga akan mengasingkan rumput dan pokok lain yang perlu dibuang sebelum proses menabur benih.

Apabila proses penyediaan tanah sawah selesai, barulah benih padi akan ditabur. Pada masa dahulu, tapak benih ini ditabur dengan benih untuk benih tumbuh rapat-rapat kerana selepas itu ia akan dipindahkan ke tapak lain. Tetapi sekarang ini kaedah tabur terus digunakan di mana benih yang tumbuh akan terus dibiarkan tumbuh membesar sehingga mengeluarkan buah.

No comments:

Post a Comment