Setiap
apa yang terjadi di muka bumi ini adalah ketentuan Allah sejak awal lagi.
Sesungguh apa sahaja yang ingin Allah lakukan itu adalah perkara yang mudah
bagi-Nya.
Firman
Allah SWT bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang
ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah
sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya;
sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Surah
Al-Hadid, ayat 22)
Justeru,
apa sahaja yang berlaku sama itu baik atau buruk hendaklah diterima dengan hati
terbuka. Jika ia berkaitan dengan perkara buruk, hendaklah tidak bersedih dan
menyalahkan takdir sehingga berputus harap.
Sebaliknya,
jika yang dialami itu adalah sesuatu yang mengembirakan, maka bersyukurlah.
Namun jangan sekali-kali kita sombong dan bertindak sesuka hati sehingga mengundang
murka Allah.
Firman
Allah SWT bermaksud: "(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak
bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula
bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu.
Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur,
lagi membanggakan diri." Surah al-Hadid, ayat 23).
Amat
malang sekali apabila ada sesetengah daripada kita yang hidup seperti tiada
panduan. Apa yang dilakukan hanya berdasarkan kepada kehendak nafsu.
Apabila
berkuasa dan diberi sedikit kesenangan, maka digunakan dengan semahu-mahunya
seperti tiada dosa pahala yang akan diraih daripada perbuatan itu. Dirasakan
bahawa apa yang dimiliki itu adalah hasil kehebatan mereka melakukan sesuatu
sehingga lupa bahawa apa yang dicapai itu adalah kurniaan Allah yang juga
merupakan satu ujian sama ada mereka bersyukur atau sebaliknya.
Dan,
apabila segala yang dimiliki itu ditarik balik, maka disalahkan pihak lain yang
dianggap telah merampas hak mereka. Mereka lupa bahawa apa yang terjadi itu adalah
hasil apa yang mereka lakukan sendiri.
Jadilah
manusia yang sentiasa muhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Hidup ini
adalah pentas ujian menentukan kehidupan kita di akhirat kelak.
Gambar: Sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment