Antara hasutan syiatan ialah menangguhkan
bertaubat. Orang muda yang ingin bertaubat dibisikkan oleh syaitan agar
ditangguhkan taubat itu sehingga usia tua. Bisikan syaitan itu satu helah,
kerana selama-lamanya syaitan akan mempengaruhi manusia melakukan dosa dan
menghalang daripada bertaubat.
Apabila usia tua, syaitan menggunakan helah
lain pula untuk menangguh taubat. Amalan buruk yang telah sebati sukar untuk
dikikis. Syaitan membisikkan agar terus melakukan perkara itu. Sebab itu,
golongan tua tidak sedar semakin menghampiri kematian.
Sesiapa bertaubat, maka dirinya diampunkan
Allah SWT. Segala keburukan yang dilakukan hasil hasutan syaitan sebelum itu
diampunkan. Usaha syaitan itu jadi sia-sia. Justeru, syaitan berusaha
mengelakkan manusia bertaubat dengan cara sentiasa menangguhkan sehingga saat
kematian.
Taubat perlu disegerakan apabila merasakan
diri telah melakukan dosa bertujuan membersihkan diri agar kehidupan lebih
aman, sejahtera dan dilimpahkan rahmat. Allah SWT sentiasa membuka peluang
untuk hamba-Nya bertaubat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua
anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang
bersalah ialah orang yang banyak bertaubat. (Hadis riwayat Tirmizi).
Orang dipenuhi dosa sentiasa resah, tidak
mendapat kepuasan hidup, tamak, ketagih melakukan maksiat dan benci melakukan
kebaikan. Doa orang berdosa sukar
dimakbulkan oleh Allah SWT. Hati yang tidak dibersihkan dengan taubat menjadi
terus kotor dan sukar mendapat cahaya kebenaran.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Seorang mukmin jika berbuat satu dosa, maka ternodalah hatinya dengan
satu noktah berwarna hitam. Jika dia bertaubat, meninggalkannya dan
beristighfar, hatinya akan kembali jernih. Jika dosanya itu bertambah-tambah,
noktah hitam itupun turut bertambah hingga menutupi hatinya." (Hadis
riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).
Kejayaan syaitan membawa kesesatan menjadikan
manusia berani membantah dan menafikan kekuasaan Allah SWT. Kisah keangkuhan
Firaun bukti nyata kesesatan manusia yang dipengaruhi syaitan. Firaun bukan
sahaja tidak mengikuti ajaran dibawa oleh Nabi Musa, bahkan mengaku dirinya
menjadi tuhan dan berkuasa melakukan apa yang diingini.
Syaitan telah menjadikan Qarun bertukar angkuh
dan sombong setelah memiliki kekayaan yang banyak. Nasihat dan seruan Nabi Musa
tidak diendahkan oleh Qarun akibat hasutan syaitan yang lebih menguasai minda
dan nafsunya.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah
patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu
tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Namun, tentunya syaitan tidak berputus-asa
untuk mempengaruhi manusia agar melakukan kejahatan dan meninggalkan suruhan
Allah SWT. Perkara pertama yang dibisikkan ialah menimbulkan minat dan
keinginan melakukan perkara ditegah itu.
Setiap muslim perlu berusaha membatalkan niat
melakukan keburukan dan kembali kepada niat melakukan kebaikan. Sesiapa
membatalkan hasrat melakukan perkara buruk tetap mendapat pahala.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi
melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia keinginannya
lalu benar-benar melakukannya, maka akan ditulis untuknya satu kejahatan."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment