Saturday, 15 July 2023

CABARAN PERSIAPAN LAKU TUGAS DAKWAH

 
Dakwah adalah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Kegiatan dakwah selalu dikaitkan dengan golongan ustaz atau ilmuan agama.
 
Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh melakukan kerja dakwah melalui skop bidang tugas masing-masing. Dalam menjalankan tugas sebagai pendakwah perlu mempunyai kaedah dan pendekatan yang sesuai agar apa yang diharapkan akan mencapai kejayaan.
 
Banyak perkara yang dilakukan dengan ikut suka hati tidak akan mencapai kejayaan. Perlu diingat, dalam apa juga usaha, ia mempunyai kaedah dan pendekatan yang berbeza. 
 
Jadi, pendakwah perlu berusaha meningkatkan pengalaman dan pengetahuan dalam melaksanakan tugas. 
 
Proses mendidik dan menimba ilmu sememangnya perkara yang diutamakan dalam Islam. Maka itu, untuk menjadi muslim yang lebih sempurna, proses mencari ilmu perlu dilakukan sepanjang masa. 
 
Menuntut ilmu tidak hanya semasa di alam persekolahan saja, tetapi merupakan satu proses yang berterusan. Sekarang ini banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian sepanjang hayat kepada pelajar dari golongan bekerja dan sudah berusia. Ambillah peluang untuk terus belajar, kerana ganjaran bagi mereka yang belajar amat besar.
 
Untuk mencapai kejayaan dalam apa jua usaha bukan saja bergantung kepada kesungguhan, tetapi jaga cara atau kaedah ia dilakukan. Sebab itu ada kalanya kita melihat orang yang bersungguh-sungguh melakukan usaha, tetapi tidak mencapai seperti yang diharapkan. 
 
Sedangkan ada orang yang secara bersederhana dan bijaksana melakukan tugas dalam masa singka mudah mencapai apa yang dihajati. Maka itu, pendakwah perlu mempelajari dan menguasai metodologi yang sesuai utuk melakukan dakwah. Kena dengan metodologi yang sesuai, kita dapat melakukan tugas dengan mudah dan tidak memberi tekanan kepada kita.
 
Situasi atau suasana hidup sentiasa berubah. Perkara yang betul pada hari ini mungkin tidak lagi sesuai untuk digunakan pada hari esok. Begitu juga cara melaksanakan dakwah. Kita tidak boleh selamanya mengatakan yang betul pada masa dulu betul juga pada masa sekarang. Cara terbaik ialah kita sentiasa mengikuti perkembangan dan keperluan semasa. 
 
Berusahalah untuk mengemaskinikan kemahiran dan cara untuk berdakwah. Pendakwah perlu mengikuti masa dan memanfaatkan tekanologi yang ada. Pendakwah perlu berani untuk berubah. 
 
Hari ini dalam dunia teknologi yang berkembang pantas, pendakwah juga perlu berubah memanfaatkan teknologi itu seperti berdakwah di alam maya.
 
Seperti bidang tugas lain, persiapan untuk melaksankan tugas amat penting. Kita tidak boleh sekadar menjadi bidan terjun. Hari ini kita berdepan dengan mereka yang bijak dan sentiasa mencari ilmu. 
 
Sebagai pendakwah, persiapan yang teliti dan kemas kini perlu dilakukan sebelum melaksanakan tugas yang penting ini. Buatlah persiapan yang bersesuaian dengan cabaran dan keperluan semasa. 
 
Sikap ambil mudah terhadap persiapan yang diperlukan menyebakban banyak pendakwah tidak dipedulikan oleh orang ramai. Mereka sekadar bercakap, tetapi orang ramai tidak memahaminya. Paling sedih ada pendakwah dimalukan oleh orang ramai disebabkan fakta dan kaedah digunakan tidak betul. 
 
Setiap tugas tentu berdepan dengan cabaran. Namun cabaran itu boleh diatasi jika kita bijak mengawal keadaan dan memperbaiki apa yang perlu ditambah baik. Segalanya-galanya perlukan kepada kebijaksanaan dan tindakan yang tepat dalam mendepani masalah yang timbul. Jadikan masalah atau cabaran itu sebagai satu motivasi untuk lebih berusaha dan kreatif dalam melakukan tugas. 
 
Mereka yang mudah menyerah kalah kepada cabaran tidak layak untuk bergelar pendakwah. Kita perlu mencontohi bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh para nabi. Mereka bukan saja berdepan penolakan oleh kaumnya, tetapi juga dihalau, dipulau, dicederakan dan ada yang dibunuh. 
 
Masalah yang dihadapi oleh pendawkwah sekarang amat kecil jika dibandingkan apa yang telah dilalui para nabi. Maka, itu bersiap sendialah dengan segala apa yang dimiliki demi melaksanakan tugasan dakwah.

No comments:

Post a Comment