Dalam Islam, hukum memilih pemimpin adalah
wajib berdasarkan syarat tertentu. Hal bersandarkan kepada nas al-Quran bermaksud:
"Dan urusan mereka (umat Islam) adalah dengan musyawarah di antara
mereka." (Surah as-Syura, ayat 38)
Berdasarkan aspek ini, umat Islam boleh
mengambil iktibar daripada kisah sahabat Nabi SAW, iaitu Abdu Dzar. Dalam satu
riwayat hadis, Abu Dzar meminta jawatan daripada Nabi SAW, namun Baginda tidak
memberikan jawatan diminta.
Sabda Nabi SAW terhadap Abu Dzar bermaksud:
"Engkau adalah insan lemah. Sesungguhnya ia (kepemimpinan) adalah amanah.
Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan, melainkan jika insan
mengambilnya dengan haknya dan menunaikannya dengan sebaiknya".
Riwayat hadis ini tidak bertujuan
merendahkan kedudukan Abu Dzar. Riwayat hadis ini menunjukkan kejujuran Nabi
SAW dan sikap integriti Baginda sangat tinggi sehingga sanggup tidak melantik
insan tidak layak untuk mengisi jawatan, walaupun insan itu adalah sahabat baik
Nabi sendiri.
Riwayat hadis ini menunjukkan kepemimpinan
perlu kepada dua sifat utama, iaitu kekuatan dan amanah serta berintegriti.
Contohnya, kuat dalam sudut intelek, watak dan membuat keputusan. Kuat juga
merujuk kepada tidak gopoh membuat keputusan.
Amanah serta integriti pula menggambarkan
sikap jujur, tidak rasuah, tidak berdusta dan tidak membuat janji palsu. Insan
kuat tetapi tidak ada integriti tidak layak diangkat menjadi pemimpin. Insan
berintegriti, tetapi lemah juga tidak layak dipilih sebagai pemimpin, apatah
lagi insan tiada kekuatan dan tiada integriti.
Ini membuktikan Islam sangat mengambil berat
berhubung kepemimpinan dan aspek memilih pemimpin. Pemilihan seorang pemimpin
tidak boleh dilakukan secara 'tangkap muat' atau mengikut selera tanpa meneliti
ilmunya, latar belakang pendidikan, keadaan fizikal dan mental.
Pemilihan pemimpin yang tepat adalah antara
aspek penting dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat. Pemimpin memiliki
peranan besar menentukan arah tuju yang akan mempengaruhi kesejahteraan umat.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment