Perbezaan metodologi dan kaedah pengiktirafan rosot nilai
aset serta penilaian pelaburan menjadi punca utama perbezaan ketara antara
dapatan audit Jabatan Audit Negara (JAN) dan Financial Position Review oleh
PricewaterhouseCoopers (PwC) berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad berkata
penyata kewangan TH yang diaudit JAN menunjukkan keuntungan bersih sekitar
RM3.4 bilion, manakala Financial Position Review oleh PwC melaporkan kedudukan
defisit atau kerugian sekitar RM1.4 bilion.
“Perbezaan metodologi dan kaedah inilah yang menyebabkan
kedua-dua laporan menghasilkan angka yang berbeza,” katanya pada program
Musyawarah Nasional ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’,
di Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2026.
Madinah menjelaskan perbezaan sekitar RM4.8 bilion itu
khususnya berkait dengan kaedah pengiktirafan rosot nilai aset dan penilaian
pelaburan, termasuk membabitkan syarikat subsidiari, syarikat bersekutu dan
aset pelaburan.
Katanya, perbezaan tersebut tidak seharusnya terus
ditafsirkan sebagai bukti bahawa proses audit JAN gagal atau tidak mengesan
masalah kewangan TH.
Sebaliknya, beliau berkata kedua-dua laporan mempunyai
mandat, objektif, skop dan metodologi yang berbeza.
“Apabila kita membandingkan dapatan JAN dengan Financial
Position Review oleh PwC, kita perlu memahami bahawa kedua-duanya tidak
menggunakan mandat, objektif dan metodologi atau kaedah yang sama.
Mengulas lanjut, Madinah berkata JAN menjalankan audit
statutori TH berdasarkan Akta Audit 1957 dan Akta Tabung Haji 1995, dengan
objektif memberikan pendapat sama ada penyata kewangan memberikan gambaran yang
benar dan saksama mengikut Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) yang
berkuat kuasa ketika itu.
Sebaliknya, beliau berkata, PwC pula menjalankan Financial
Position Review sebagai satu penugasan khas berdasarkan 'terms of reference'
yang berbeza dan menggunakan pendekatan penilaian yang lebih luas terhadap
kedudukan kewangan TH.
Beliau turut menjelaskan mengenai penggunaan Financial
Reporting Standards Implementation Committee (FRSIC) Consensus 14 oleh PwC
sebagai asas kepada pelarasan terhadap penyata kewangan TH 2017.
Katanya, dokumen yang dikemukakan kepada Lembaga Suruhanjaya
Diraja (RCI) menunjukkan terdapat pandangan profesional yang berbeza mengenai
kesesuaian penggunaan FRSIC Consensus 14 dalam konteks TH.
“Surat Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Institute of
Accountants (MIA) menjelaskan bahawa FRSIC Consensus 14 bukanlah MFRS yang
mempunyai kuasa mandatori seperti piawaian pelaporan kewangan yang dikeluarkan
oleh Malaysian Accounting Standards Board (MASB).
“Sebaliknya, FRSIC Consensus 14 merupakan panduan (consensus
guidance) bagi membantu aplikasi piawaian dalam keadaan tertentu,” katanya.
Madinah berkata isu yang perlu dilihat bukan sama ada FRSIC
Consensus 14 wujud atau tidak, tetapi sama ada penggunaannya merupakan
satu-satunya tafsiran yang boleh diterima dalam konteks badan berkanun seperti
TH.
Ujarnya lagi, sesuatu pendapat audit perlu dinilai
berdasarkan bukti audit, piawaian perakaunan dan piawaian audit yang berkuat
kuasa pada tarikh audit dilaksanakan, bukannya berdasarkan maklumat atau
perkembangan yang hanya diketahui selepas audit selesai.
“Justeru, pada pandangan saya, perbezaan antara laporan JAN dan
PwC perlu difahami sebagai perbezaan metodologi dan objektif penugasan,
bukannya terus ditafsirkan sebagai bukti bahawa proses audit JAN gagal atau
tidak mengesan masalah TH,” katanya.
Madinah menambah, kelemahan dalam pengurusan, tadbir urus
atau keputusan pelaburan tidak semestinya bermaksud juruaudit gagal
melaksanakan tanggungjawabnya.
Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara pada 2017
hingga 2019 menegaskan bahawa JAN mempunyai pasukan audit yang berpengalaman
dan tidak menjalankan proses pengauditan secara bersendirian.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan
TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017
berbanding keuntungan sebanyak RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam
penyata kewangannya.
Laporan RCI yang diterbitkan, menyatakan jika MFRS diguna
pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian
bersih berkenaan, sekali gus menunjukkan kedudukan kewangan institusi itu sudah
berada dalam keadaan kritikal pada tahun berkenaan.
Jika wujud sebarang penemuan berkaitan kecurian, Madinah
menegaskan, beliau akan menjadi orang pertama yang melaporkan perkara tersebut
kepada pihak berkuasa.
"Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak
apa-apa bukti sedemikian (kecurian). Kalau saya dan pasukan saya menemui
bukti-bukti tersebut, bukan sahaja saya tidak sembunyi, saya akan highlight (mengetengahkan)
lagi, dan saya laporkan kepada pihak berwajib.
"Mandat saya sangat jelas. Kami membuat pengauditan
berdasarkan piawaian, berdasarkan bukti-bukti pengauditan dan kami telah
keluarkan penyata atau sijil.
"Adakah dalam itu disebut ada penyelewengan ke atau
kecurian? Ada tak sebut? Tak ada. Jadi Datuk (merujuk kepada peserta), minta
maaf, saya tak boleh nak jawab dan saya tak faham apa erti 'sakau'. Saya
berpijak di bumi yang nyata," katanya.
Madinah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah
seorang peserta pada program berkenaan yang mahu tahu jika wujud kecurian atau
penyelewengan ketika beliau menjalankan audit ke atas TH.
Mengulas sama ada keterangan beliau, sekiranya hadir pada
prosiding RCI, akan mengubah laporan yang dihasilkan suruhanjaya itu, Madinah
memberi gambaran mungkin ia menghasilkan dapatan yang berbeza.
Madinah berkata beliau menyerahkan kepada RCI untuk
menentukan sama ada perkara itu dilihat sebagai faktor mitigasi, termasuk
berkaitan dakwaan bahawa Ketua Audit Negara tidak tegas dalam menjalankan
tanggungjawabnya.
"Apa yang akan saya katakan (jika dipanggil), adalah
perkara yang sama seperti yang saya jelaskan hari ini.
"Sama ada RCI melihat perkara itu sebagai faktor
mitigasi dan tidak menganggap Ketua Audit Negara sebagai tidak tegas, perkara
itu bukan dalam pengetahuan saya," ujarnya lagi.
Memetik laporan media pada 13 Ogos lalu, Madinah menzahirkan
rasa terkilan kerana tidak dipanggil pada prosiding oleh RCI TH walaupun beliau
sedia memberi keterangan kepada panel siasatan itu.
Pada 29 Julai 2026, laporan RCI setebal 211 halaman
didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan
pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan
penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat
30 Julai 2026.

No comments:
Post a Comment