Saturday 14 July 2018

MAKLUMAT DAERAH MELAWI BACHOK

Melawi adalah satu daerah (mukim) dalam jajahan (daerah) Bachok yang terletak menghadap ke laut China Selatan. Di sebelah timur dan utaranya pula bersempadan dengan daerah Perupok. 

Di baratnya pula bersempadankan daerah Tanjung Pauh dan Bekelam serta Gunong dan sebelah selatannya pula bersempadan dengan Daerah Telong.

Luas daerah Melawi lebih kurang 30.06 km persegi yang didiami kira-kira 20,000 orang penduduk (perangkaan 2014). Daerah Melawi mengandungi 8 mukim (kampung) yang diketuai 8 orang penghulu (ketua kampung).

Penempatan yang paling ramai didiami ialah kawasan tepi pantai seperti Kg. Changgong, Pantai Chpa, Pantai Baru, Kg. Badak dan Pantai Melawi sehingga Kg. Limau Nipis bersempadan Daerah Telong.

Kawasan sumber ekonomi ialah Cabang Tiga Melawi dan kawasan pertanian ialah di Kg. Padang Cina, Kg. Mujur dan Kg. Alor Pulai serta Kg. Kuau.

Melawi menjadi 'penanda' kepada pengguna jalan raya dari Kota Bharu ke Tok Bali, serta ke Kuala Besut dan tempat lain di Terengganu. Selepas melalui Melawi, pejalanan terus ke selatan tanpa terdapat cabang sehinggalah Tok Bali.

Keistimewaan daerah Melawi yang semakin disebut ialah Pantai Melawi. Biarpun tidak segah Pantai Irama yang terletak kira-kira 5 kilometer dari situ, Pantai Melawi semakin terkenal sebagai alternatif kepada mereka yang ingin mengelak berada di tempat ramai orang.



No comments:

Post a Comment