Friday 30 July 2021

KETERBUKAAN ISLAM TERHADAP AGAMA LAIN

Keterbukaan Islam terhadap penganut agama lain dan pilihan mereka ketika hidup di dunia membezakan antara mereka dengan orang beriman di akhirat kelak. Mereka akan terus dibiarkan berada dalam kesesatan sehinggalah mereka berkeinginan mencari kebenaran.

Rasul yang diutuskan tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemudian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: Bagiku amalku dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Yunus, ayat 41)

Islam agama berteraskan kepada kepercayaan dan keyakinan yang terbit dari hati. Pengakuan ketaatan kepada Allah SWT yang satu dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh-Nya tidak dianggap sah jika tidak dituruti dengan keikhlasan hati.

Justeru, orang Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam biarpun mereka itu terdiri daripada kaum kerabatnya.

Agama Islam tidak boleh dipaksa kepada sesiapapun kerana paksaan adalah perbuatan yang keji dan dikutuk Allah SWT.

Ibnu Kathir dalam mentafsirkan tiada paksaan dalam Islam (surah al-Baqarah, ayat 256) menyatakan umat Islam tidak memaksa sesiapapun untuk memeluk Islam kerana agama Islam telah jelas akan ajaran dan bukti ajarannya, jadi ia perlu kepada kerelaan hati dan bukan paksaan.

Kita hendaklah memahami setiap manusia akan mempertahankan fahaman agamanya walaupun hakikatnya Islam agama yang sebenar. Namun, prinsip hormat-menghormati menjadi teras kepada keamanan dan kesejahteraan.

Sebab itu, dalam melakukan kerja dakwah hendaklah dilakukan dengan penuh bijaksakna. Jangan berlaku perbuatan maki hamun dan kekerasan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan mengenai-Nya (Allah).” (Surah al-An'am, ayat 108)

Sebaliknya, hendaklah dilakukan dengan cara yang baik. Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan dalam firman yang bermaksud: “Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik (bijaksana) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” (Surah an-Nahl, ayat 125).

No comments:

Post a Comment