Umum diketahui bahawa penyebaran agama Islam pada
peringkat awal di sesuatu tempat biasanya dimulai dengan pemerintah. Cara itu
sesuai dengan kedudukan pemerintah pada ketika itu yang berkuasa mempengaruhi
fahaman atau agama anutan rakyatnya.
Pada zaman Rasulullah SAW, baginda menghantar wakil
bertemu pemerintah di sesuatu tempat menyatakan hasrat untuk menyebarkan agama
Islam. Jika pemerintah bersetuju, maka pendakwah itu akan melakukan secara aman.
Jika sebaliknya, maka kemasukan secara peperangan akan dilakukan.
Dalam hal ini, kebanyakan pemimpin menerima baik
kedatangan pendakwah Islam dan mereka sendiri menjadi antara yang terawal
menerima atau memeluk Islam. Apabila kalangan pemimpin memeluk Islam,
rakyat juga akan turut melakukan perkara sama.
Pemerintah akan memberi sokongan dan bantuan dalam
soal penyebaran agama Islam. Banyak keistimewaan disediakan kepada penganut
agama dalam kehidupan seharian, tanpa menyekat kebebasan rakyat menganut agama
lain.
Hal yang sama berlaku dalam konteks penyebaran
Islam di alam Melayu yang mana golongan pemerintah terawal ditemui oleh
pendakwah.
Raja atau pemerintah di sesuatu kawasan menerima
Islam dengan baik. Contohnya, Raja Pasai yang memeluk Islam telah menjadikan
kawasan istana sebagai tempat belajar agama bagi ahli kerabat diraja dan
pembesar negara.
Begitu juga
yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu. Apabila raja Melayu yang terawal
memeluk Islam iaitu Sultan Melaka yang pertama, Parameswara atau nama Islamnya
Iskandar Shah, beliau telah menjemput ramai alim ulama untuk mengajar Islam di
istana.
Pengajaran
ini turut diikuti para pembesar istana dan rakyat jelata yang telah memeluk
Islam. Kawasan istana menjadi medan
untuk menyebarkan ilmu-ilmu agama. Maka itu, insitutsi istana boleh
dianggap sebagai institusi pendidikan Islam terawal di Nusantara atau alam
Melayu.
Tokoh ulama atau guru agama mendapat tempat dan
penghormatan dalam kalangan pembesar negeri. Malah, tokoh agama dilantik
menjadi sebahagian jawatan penting dalam negeri.
Ulama berperanan menjadi penasihat kepada raja
dalam soal urusan agama Islam, termasuk dalam soal perlaksanaan undang-undang
syariah. Kesultanan Melayu Melaka pernah mengamalkan perlaksanaan hukum hudud
berdasarkan kepada nasihat ulama.
No comments:
Post a Comment