Thursday 1 August 2024

MASJID AN NUR FELDA PERASU

 
Masjid An Nur Felda Perasu merupakan masjid terletak di Felda Perasu, Gua Musang. Masjid ini dibina pada tahun 1986 dan telah dirasmikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Ahli Parlimen Gua Musang, juga merangkap Menteri Perdagangan dan Industri pada ketika itu.
 
Bangunan asal Masjid An Nur berbentuk segi empat tidak berkubah, dan tidak mempunyai menara. Terdapat ruang solat utama di bahagian dalam masjid ini.
 
Bagaimanapun, setelah dibuat ubah suai dan pembesaran untuk menampung pertambahan jemaah, di bahagian hadapan yang ditambah, dibina sebuah kubah dan di sisi luar yang terpisah dengan bangunan masjid, dibina sebuah menara yang digunakan untuk menempatkan pembesar suara di empat penjuru.
 
Masjid An Nur Felda Perasu menjadi lokasi penduduk setempat mengadakan aktiviti agama, selain menjadi tempat solat Jumat dan jemaah lima kali sehari.
 
Berlatar belakang Gunung Rabong dan kawasan bukit bukau dengan dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit, suasana di sekitar Masjid An Nur Felda Perasu memang damai dan indah.
 
Masjid Felda Perasu sering dijadikan lokasi persinggahan pendaki sebelum meneruskan pejalanan ke lokasi permulaan pendakian.
 
Kawasan tempat kenderaan yang luas memberi keselesaan untuk para pendaki berehat seketika serta membuat persiapan dan mendengar taklimat pendakian.
 
Felda Perasu termasuk dalam mukim Chiku. Kedudukannya agak di pedalaman, iaitu kira-kira 12 kilometer dari Jalan Kuala Krai-Gua Musang. Felda Perasu berada di bawah pentadbiran Felda Wilayah Gua Musang bersama-sama 10 lagi rancangan Felda seluruh Kelantan.
 
Bangunan asal

Bangunan asal dengan sedikit ubah suai

Ada petambahan bahagian hadapan dan kubah

Pemandangan tahun 2024

No comments:

Post a Comment