Golongan
pemerintah atau pihak istana telah memberi sumbangan besar dalam perkembangan
agama Islam di Kelantan. Kelantan menjadi pusat perkembangan Islam di
Nusantara dan diberi jolokan ‘Serambi Makkah’ yang kekal sehingga
sekarang.
Dinasti
Long Yunus yang diasaskan oleh Long Yunus (1775 - 1794) telah menjadikan hukum
Islam sebagai teras pentadbiran. Golongan ulama dilantik menjadi penasihat
kepada pihak istana dalam soal berkaitan hukum agama dan pentadbiran.
Pada
zaman pemerintahan Long Yunus, telah lahir seorang ulama terkenal iaitu Tuan
Sheikh Haji Ab. Halim. Beliau menjadi penasihat kepada pihak istana dan
mengadakan kelas pengajian agama di istana untuk kerabat diraja dan pembesar
negeri.
Pada
masa pemerintahan Sultan Muhammad I (1800 - 1835), Sheikh Haji Ab Halim telah
dilantik sebagai penasihat khas baginda. Atas nasihat beliau, Sultan
Muhammad I telah mengarahkan membina banyak masjid, surau dan wakaf untuk
tempat beribadat dan kemudahan persinggahan.
Semasa
pemerintahan Sultan Muhammad II (1839 - 1886), syiar Islam lebih berkembang
pesat di Kelantan. Baginda telah melantik lebih ramai pegawai agama bagi
menguruskan soal-soal keagamaan. Di setiap mukim dan kampung dilantik imam dan
bilal untuk mengendalikan hal-ehwal agama.
Pada
masa pemerintahan baginda, Masjid Kota Bharu telah didirikan pada tahun 1867
bagi menggantikan masjid lama. Masjid Kota Bharu kemudiannya muncul sebagai
pusat pengajian dan keilmuan terpenting di Kelantan dan seluruh Nusantara.
Masjid
Besar Kota Bharu atau kini dikenali Masjid Muhammadi mula dibina pada tahun
1921 (menggunakan batu) menggantikan bangunan kayu. Masjid tersebut siap
sepenuhnya pada tahun 1931. Ia dianggap bangunan tercantik di Kota Bharu dan di
antara bangunan terawal mendapat bekalan elektrik sepenuhnya.
Kewujudan
Masjid Besar Kota Bharu menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat perkembangan
ilmu. Berhampiran bangunan Masjid Besar Kota Bharu dan kawasan sekitar telah
wajud beberapa pusat pengajian Islam dan pusat pentadbiran Islam.
Sultan
Ahmad (1886 - 1889) menggantikan Sultan Muhammad II juga mengikuti usaha
pemerintah sebelumnya dalam usaha mengembangkan ajaran Islam. Kelas-kelas agama
dikendalikan oleh ulama terkenal semakin banyak dibuka.
Hukum
potong tangan ke atas pencuri dan hukum hudud telah mula diamalkan di Kelantan
pada masa pemerintahan Sultan Muhammad III (1889 - 1890). Hukum tersebut
berterusan sehingga pemerintahan Sultan Mansor (1890 - 1900).
No comments:
Post a Comment