Sunday 13 February 2022

MAKSUD ILMU MANTIK

 
Salah satu cabang berfikir yang diamalkan ialah berasaskan logik. Ia dikenali di dunia Islam dengan istilah mantiq.

Mengikut pengertian bahasa, mantik bermaksud:
- Perkataan mantik berasal daripada bahasa Yunani, iaitu ‘Logos’ yang bermaksud: kata atau fikiran yang benar.
-  Mengikut bahasa Arab ia berasal daripada perkataan ‘Natoqa’ yang bermaksud: berkata atau bercakap.
-  Manakala mengikut pengertian kamus bahasa Melayu dikenali dengan nama logik iaitu berfikir benar.

Mengikut istilah pula, mantik klasik telah diberi dengan berbagai pengertian dan maksud oleh mereka yang pakar dalam ilmu mantik, antaranya ialah:

- Ibn Sina mendefinisikan ilmu mantik ialah suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia daripada tersalah dan terpesong sewaktu berfikir. Dalam erti kata lain, beliau juga menakrifkan mantik sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan bukti serta menjadi peraturan-peraturan kepada manusia ketika berfikir.

- Imam al-Ghazali menakrifkan ilmu mantik sebagai suatu ilmu yang dapat membezakan di antara suatu ilmu yang membawa ke arah kebenaran dan keyakinan dengan ilmu yang membawa pemikiran ke arah kesamaran dan salah. Oleh itu, mantik menurut pendapat Imam al-Ghazali ialah ilmu yang membicarakan tentang peraturan-peraturan umum sewaktu berfikir dan sekaligus mengarahkan serta memandu akal pemikiran manusia kepada jalan yang benar dan mencapai matlamat yang betul. Dalam erti kata lain, Imam al-Ghazali mengatakan ilmu mantik adalah sebagai neraca segala ilmu atau Mizan al-‘llm.

- Aristotle pula berpendapat, ilmu mantik merupakan suatu ilmu yang menjadi alat serta asas kepada ilmu-ilmu lain.

- Menurut Epicurus yang merupakan salah seorang daripada ahli falsafah Jerman mengatakan ilmu mantik ialah sebuah kanun dan undang-undang berfikir.

- Ibn Khaldun berpendapat mantik adalah satu peraturan dan undang-undang yang boleh menjelaskan antara pemikiran yang benar dengan pemikiran yang salah. Antara lain, mantik berfungsi untuk menjelaskan hakikat sesuatu.

Dengan kata lain, mantik ialah suatu ilmu yang membahaskan tentang kaedah-kaedah umum supaya dapat menghasilkan pemikiran yang bernas. Membicarakan tentang keadaan dan kedudukan penyusunan lafaz-lafaz yang terbentuk dalam akal dan pemikiran manusia. Ia juga satu ilmu yang membahaskan pemikiran manusia secara umum, sama ada ia pemikiran yang benar atau salah.

Dengan tuntasnya, mantik diibaratkan suatu yang membicarakan tentang kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis maklumat-maklumat yang diterima sama ada sah atau tidak sah.

No comments:

Post a Comment