Sunday 8 March 2020

LUPA DIRI MASA BERKUASA

Setiap apa yang terjadi di muka bumi ini adalah ketentuan Allah sejak awal lagi. Sesungguh apa sahaja yang ingin Allah lakukan itu adalah perkara yang mudah bagi-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Surah Al-Hadid, ayat 22)

Justeru, apa sahaja yang berlaku sama itu baik atau buruk hendaklah diterima dengan hati terbuka. Jika ia berkaitan dengan perkara buruk, hendaklah tidak bersedih dan menyalahkan takdir sehingga berputus harap.

Sebaliknya, jika yang dialami itu adalah sesuatu yang mengembirakan, maka bersyukurlah. Namun jangan sekali-kali kita sombong dan bertindak sesuka hati sehingga mengundang murka Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: "(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." Surah al-Hadid, ayat 23).

Amat malang sekali apabila ada sesetengah daripada kita yang hidup seperti tiada panduan. Apa yang dilakukan hanya berdasarkan kepada kehendak nafsu.

Apabila berkuasa dan diberi sedikit kesenangan, maka digunakan dengan semahu-mahunya seperti tiada dosa pahala yang akan diraih daripada perbuatan itu. Dirasakan bahawa apa yang dimiliki itu adalah hasil kehebatan mereka melakukan sesuatu sehingga lupa bahawa apa yang dicapai itu adalah kurniaan Allah yang juga merupakan satu ujian sama ada mereka bersyukur atau sebaliknya.

Dan, apabila segala yang dimiliki itu ditarik balik, maka disalahkan pihak lain yang dianggap telah merampas hak mereka. Mereka lupa bahawa apa yang terjadi itu adalah hasil apa yang mereka lakukan sendiri.

Jadilah manusia yang sentiasa muhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Hidup ini adalah pentas ujian menentukan kehidupan kita di akhirat kelak. 

Gambar: Sekadar hiasan 

No comments:

Post a Comment