Wednesday, 5 February 2025

WANITA MUDA DAN CABARAN POLITIK .

 
Setiap parti politik ada sayap wanita yang membuka peluang kepada wanita untuk aktif dalam politik. Sumbangan wanita dalam memperkuatkan organisasi parti memang tidak disangkal lagi. Sebab itu, untuk menarik lebih banyak wanita muda menyertai politik, maka parti politik mewujudkan sayap khas bagi wanita muda dalam lingkungan umur 35 tahun ke bawah atau had-had umur tertentu.
 
Pada hakikatnya, penyertaan wanita muda memang terdedah dengan pelbagai cabaran yang lebih berbanding dengan wanita telah berumur.
 
Sebagai wanita muda, banyak perkara baru perlu dilalui yang banyak cabaran. Cabaran pertama tentu sekali berkaitan menyambung pelajaran di peringkat tinggi.
 
Ketika peringkat ini, tidak banyak yang terlibat dengan politik, kecuali yang sejak awal lagi telah terlibat di kampung hasil pengaruh ibu bapa atau individu yang rapat.
 
Selepas, tamat pengajian tentu perkara yang diberi perhatian ialah mencari pekerjaan. Peringkat awal bekerja, banyak perkara perlu dipelajari dan diberi perhatian. Keadaan itu, menyebabkan keaktifan dalam politik agak terbatas, lebih-lebih lagi jika bekerja jauh dari kampung asal.
 
Pada masa sama, ada yang bertemu jodoh dan perlu mengikut suami masing-masing. Apabila itu mula ada anak yang akan lebih membataskan penyertaan dalam politik.
 
Namun, halangan atau kesukaran yang dihadapi itu mampu dihadapi oleh wanita muda yang benar-benar meminati politik. Pun begitu, jumlahnya agak kurang.
 
Justeru, untuk menambah bilangan wanita muda menyertai politik, pemimpin wanita muda sedia ada perlu mendekati golongan itu untuk menyertai politik. Kata orang, tidak kenal maka tidak cinta.
 
Pendedahan dan galakan daripada seseorang boleh menimbulkan minat dan seterusnya bersedia menghadapi cabaran yang mendatang. Inilah perlu dilakukan agar penyertaan wanita muda meningkat dan berkembang sebagai satu arah aliran budaya.
 
Sesungguhnya, hanya wanita muda memahami inspirasi wanita muda itu sendiri. Perkara sebegini boleh difahami dengan lebih mendalam dari orang yang pernah mengalami situasi ini di zaman mereka.
 
Asuh dan bimbinglah wanita muda untuk menjadi lebih baik dan dapat bersama-sama menyumbang kebaikan kepada parti. Sikap golongan wanita senior yang seperti berlawan dengan wanita muda pastinya akan menggagalkan hasrat parti untuk menambah bilangan dan sumbangan ahli wanita tanpa mengira usia.
 

No comments:

Post a Comment