Monday 18 November 2019

NAMA KAMPUNG DIMULAI PERKATAAN 'KOK'

Di Kelantan terdapat nama tempat atau kampung yang dimulai dengan perkataan 'kok'. 

Di Tumpat terdapat beberapa nama seperti Kampung Kok Keli, Kampung Kok Pasir, Kampung Kok Timun, Kampung Kok Majid, Kampung Kok Bedolah, Kampung Kok Semru, Kampung Kok Serai, Kampung Baroh Kok Pauh, Kampung Atas Kok, Kampung Kok Beluru, Kampung Kok Tok Leh dan Kampung Kok Seraya.

Di daerah Pasir Putih ada Kampung Kok Berangan dan Kampung Kok Jering. Manakala di Kota Bharu ada Kampung Kok Pasir di Jalan Pengkalan Chepa. 

Di kawasan Gunung, Bachok pula ada nama Kampung Kok Lintang. Kem Desa Pahlawan atau juga dikenali Kem Bukit Cina terletak dalam kawasan Kok Lanas yang sekarang ini semakin berkembang maju. 

Di Machang ada nama Kampung Kok Kiok atau ada yang mengeja Kampung Kok Kiak.

Tidak pasti mengapa nama-nama kampung berkenaan dimulakan dengan nama 'kok'.

Dalam dialek Kelantan, perkataan 'kok' membawa beberapa erti, seperti agak-agak, tanda atau bekas yang menunjukkan sesuatu jalan dan lain-lain yang sering digunakan. 

Perkataan 'kok' juga bermaksud ikut suka hati apa ingin dilakukan. Perkataan kok mu, bermaksud ikut suka hati kamu, atau terpulang kepada kamu.  

Maksud lain perkataan 'kok' ialah tempat yang tidak pasti. 

Kok juga bermaksud tempat yang lebih tinggi berbanding tempat di sekitarnya mengambil kata asal perkataan Siam 'khok'.

Berdasarkan maksud 'kok' itu maka boleh dikatakan sejarah asal nama kampung-kampung berkenaan berkaitan sesuatu yang tidak pasti, tanda sesuatu jalan laluan yang biasa digunakan atau tempat lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment