Saturday 12 September 2020

KUKURAN TRADISONAL MENGERUK ISI KELAPA

Pada masa dahulu boleh dikatakan di setiap rumah mesti ada ‘koran’ atau 'kore'. Koran atau kore adalah sebutan dalam dialek Kelantan. Nama dalam bahasa standard ialah kukuran. Mengikut definisi Kamus Dewan, ‘kukuran’ ialah alat yang bergerigi hujungnya untuk mengeruk isi kelapa dari tempurungnya.

Memandangkan penggunaan kelapa amat meluas dalam masyarakat Melayu, terutama kegunaan santan kelapa, maka kukuran menjadi salah satu alat terpenting yang mesti ada di setiap rumah.

Kukuran merupakan alat yang tidak mungkin dapat dipisahkan dengan masyarakat Melayu tradisional kerana sebahagian besar resepi masakan masyarakat Melayu menggunakan santan kelapa.

Kukuran tradisional dibentuk daripada batang kayu supaya tempat duduk dan tempat untuk meletakkan besi mata kukur. Kemudian penciptaan kukuran berkembang di mana ianya dibuat daripada papan yang berbentuk empat segi dan membolehkan mata kukuran dibuka apabila hendak digunakan dan dilipat bila tidak digunakan lagi.

Hasil kreativiti seniman Melayu, kukuran direkabentuk berasaskan rupa bentuk binatang berkaki empat, bermotifkan alam sekitar seperti tumbuh-tumbuhan dan rekabentuk awan larat.

Bentuk ukiran kukuran ini agak berbeza di antara satu kawasan yang lain di negara ini berdasarkan pengaruh kesenian setempat. Biasanya kukuran terdapat dalam bentuk kukur duduk, kukur kotak dan kukur silang.

Kukuran semakin hilang fungsinya. Jika dibuat bacian berapa rumah masih ada kukuran, peratusannya amat kecil. Itupun, ia tidak lagi digunakan, tetapi disimpan sebagai satu bahan sejarah.

Sekarang santan mudah diperoleh dengan membeli santan segera dan sanan kotak. Ia mudah dan tidak perlu proses yang dianggap agak rumit oleh masyarakat moden jika menggunakan kukuran. 

No comments:

Post a Comment