Wednesday 14 October 2020

TUKUN TIRUAN JADI TEMPAT TINGGAL IKAN

Usaha memulihara kehidupan laut daripada pupus telah lama dimulakan di negara kita. Salah satu cara yang dikenal pasti berkesan dalam mencapai tujuan itu ialah dengan menyediakan tukun tiruan untuk pembiakan terumbu karang.

Ini kerana terumbu karang bukan sahaja menjadi ‘tempat tinggal’ hidupan laut malah ia merupakan kawasan sumber makanan mereka.

Justeru, pelbagai pihak terutama pertubuhan pencinta alam membuat tukun tiruan dan menempatkannya di kawasan strategik untuk membantu pembiakan hidupan laut.

Agensi kerajaan turut memainkan peranan dengan menyediakan tukun tiruan melalui pelupusan kapal. Antara yang dijadikan tukun tiruan ialah pelupusan bot nelayan asing yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram di kawasan perairan negara.

Pemilihan lokasi untuk pelupusan bot sebagai tukun tiruan ditentukan oleh Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut. Lokasi atau kawasan yang dipilih untuk dilupuskan kapal berkenaan perlu mempunyai kedalaman 30 meter.

Bot-bot yang dilupuskan akan diisi dengan guni-guni pasir. Lubang-lubang akan ditebuk di bahagian bawah hadapan bot untuk menenggelamkannya.

Proses menenggelamkan bot itu selalunya memakan masa antara 20 hingga 60 minit.

Berdasarkan rekod temuramah dengan nelayan, penggunaan tukun tiruan mendatangkan hasil yang diinginkan. Para nelayan menyatakan hasil tangkapan mereka banyak apabila menangkap ikan di tempat tukun tiruan berkenaan.

Hidupan laut seperti ikan didapati akan mula mendiami tukun tiruan tersebut selepas enam bulan ia ditenggelamkan. Ikan pada mulanya takut untuk mendekati tukun tiruan itu namun ia makin lama semakin mendekatinya.

Apabila tukun itu ditumbuhi lumut yang merupakan makanan ikan, hidupan laut itu sudah tentu menjadikan tempat itu sebagai kediaman mereka.

No comments:

Post a Comment