Sunday, 3 January 2021

CARA MAKAN BUAH PISANG KAKI

Pisang kaki (Diospyros kaki) merupakan sejanis buah-buahan dari keluarga Ebenaceae yang tumbuh di negara mempunyai 4 musim dan di kawasan tropika yang sesuai. Ia  juga dikenali dengan nama kesmak dan persimmon.

Pisang kaki ada ditanam di negara kita, tetapi tidak banyak. Jadi, yang ada dijual itu adalah diimport dari China dan Korea Selatan. Dari negara lain pun ada juga.

Terdapat perbezaan antara buah pisang kaki dari Korea dan buah pisang kaki dari China. Buah pisang kaki dari negara Korea lebih keras, pejal dan rangup serta manis dan harganya lebih mahal berbanding dari China yang lembut. 

Cara hendak makan buah pisang kaki mudah sahaja. Boleh dimakan mentah atau segar seperti kebanyakan buah lain.

Selepas dicuci, boleh terus dimakan. Kalau hendak mudah dimakan, belahkan dahulu. Kemudian buat jurai atau potong memanjang seperti biasa dibuat macam buah epal. 

Kulit tidak perlu dibuang kerana ia lembut. Boleh dimakan bersama kulit. Namun ada juga yang membuang kulitnya mengikut cita rasa masing-masing.

Buah pisang kaki ada biji yang boleh dijadikan biji benih jika ingin menanamnya. Jadi, buang biji itu agar tidak tertelan ketika makan. Rasa dia memang manis, rangup,  sikit berjus dan sangat segar.

Buah pisang kaki memiliki kandungan nutrisi seperti vitamin A, vitamin C, vitamin E, vitamin K, karbohidrat, serat, protein, kolin, niasin, tiamin, riboflavin, piridoksina, asid folik, kalium, kalsium, tembaga, zat besi, magnesium, mangan, fosfor, beta-karotena, zink dan likopen. Kadar kalorinya rendah.

Antara khasiat buah ini ianya boleh menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu. Buah ini juga amat baik untuk paru-paru dan jantung.

No comments:

Post a Comment