Monday 1 February 2021

USIA DUNIA SEMAKIN HAMPIR PENAMAT

Dunia sudah hampir sampai ke penghujungnya. Berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan yang berleluasa adalah tanda jelas akan kedudukan usia di dunia ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada orang terdahulu (azab). Maka kamu tidak akan mendapati apa-apa perubahan selain dari ketentuan Allah SWT." (Surah Fatir, ayat 43).

Oleh itu, bersegeralah dalam melakukan kebaikan di samping berhati-hati dengan dosa dan kemaksiatan. Ingat bahawa hari yang kita lalui semakin sukar kerana hampirnya kita dengan kiamat.

Sabda Rasul SAW bermaksud: "Tiada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mereka menyeru umatnya ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya umat ini menerima kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah dan kerosakan di penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang yang beriman: "Inilah detik kemusnahan. Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan yang menuju kepada Allah dan hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim).

Maka, berbahagialah buat mereka yang mati di atas landasan tauhid yang sebenar. Dari sinilah kita melihat bahawa maksud fitnah ialah sesuatu perkara yang berlaku dan memudaratkan agama atau suatu nikmat dunia secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya.

Segala kenikmatan dunia yang dikecapi manusia juga dikategorikan sebagai fitnah bagi melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat berkenaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kami akan menguji kamu dengan kebaikan dan keburukan sebagai cubaan. Kepadanya juga kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiya, ayat 35).

Begitu juga ujian kepada harta dan anak pinak yang berkait rapat dengan godaan nafsu.

Untuk menjamin keselamatan, kita hendaklah memastikan jalan yang kita pilih agar mendapat ganjaran yang dijanjikan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69). 

Kita juga akan melihat pertarungan yang sengit dalam menghadapi pelbagai ujian yang terkadang akan menguji kesabaran dan emosi sehingga kita berasakan bahawa kitalah orang yang paling malang di dunia ini sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Kita lupa bahawa Allah SWT menyediakan pelbagai bentuk bonus ganjaran kepada mereka yang diuji. 

No comments:

Post a Comment