Monday 19 July 2021

DIANGKAT DOSA PADA HARI ARAFAH

 

Banyak berlegar dalam media maya tentang sebuah hadis bermaksud: “Di hari Arafah segala amalan diangkat kepada Allah kecuali amalan orang-orang yang bermusuh”.

Sebenarnya, hadis ini tiada asalnya kerana tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Haram untuk menyebarkannya kecuali dijelaskan bersama statusnya iaitu tiada asal.  

Adalah menjadi satu tanggungjawab bagi seorang mukmin untuk meneliti dan menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

Namun, di sana terdapat hadis lain berkenaan kelebihan hari Arafah yang sahih dan sabit daripada Nabi SAW.

Antaranya, hadis yang menyebutkan tentang hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna.

Umar bin al-Khattab meriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada kalangan Yahudi bertanya kepadanya: “Wahai Amīr al-Mu’minīn, Ada satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia diturunkan ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan.

ʻUmar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah meredai Islam itu menjadi ugama untuk kamu”.

ʻUmar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika Baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. (Riwayat al-Bukhari (45) dan Muslim (3017)

Selain itu, hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. (Hadis riwayat al-Tirmidhi (3585)

No comments:

Post a Comment