Monday 13 September 2021

KEGAGALAN HARI INI DITANGGUNG GENERASI AKAN DATANG

Bangsa Melayu perlu bersatu padu mempertahankan hak seperti mana peruntukan Perlembagaan. Pun begitu, jangan sekali-kali bersifat perkauman. Hak bangsa lain juga perlu dihormati.

Dalam mempertahankan hak, jangan sekali-kali mengundang kuasa asing untuk campurtangan hal ehwal negara kita semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

Tiga perkara ini amat penting untuk menjaga kestabilan politik, keharmonian hidup bermasyarakat dan menjaga kedaulatan negara kita.

Jika salah satunya dilanggar, akibat buruknya akan diltanggung oleh generasi anak-cucu kita kelak.

Hari ini kita boleh sembang megah dengan teori-teori politik dan ekonomi, tetapi andai teori-teori kita melanggar tiga faktor utama tersebut, anak cucu kita kelak akan mencemuh generasi kita hari ini.

Bangsa Melayu majoriti dalam kalangan penduduk negara kita adalah merupakan tonggak kepada kestabilan negara. Maka dengan kukuhnya kesatuan umat majoriti ini akan menjadikan kestabilan politik dan sosial negara kita.

Sangat jarang negara yang diperintah oleh minoriti menjadi stabil. Sama ada pihak majoriti akan bangkit melawan, atau minoriti yang memerintah akan bias kepada puak mereka sahaja.

Keharmonian hidup pelbagai kaum juga adalah faktor yang tidak boleh dipandang ringan kerana negara kita adalah negara yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Dengan faktor utama bangsa Melayu bersatu padu, keharmonian kaum dapat dikekalkan. Masalah kita hari ini adalah bangsa Melayu tidak bersatu padu dan berpecah mengikut kepala-kepala politik masing-masing.

Apabila tidak ada kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan, musuh-musuh akan mencucuk jarum-jarum halus menghasut pemimpin-pemimpin Melayu yang berbeza cara fikir dan tindakan untuk terus melawan dengan propaganda yang manis didengar, teruja dengan slogan-slogan hebat.

Berserta sekali menyerang dan membunuh karekter pihak yang tidak sehaluan dengan mereka dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan-tuduhan salah laku.

Keharmonian akan tergugat apabila masyarakat bukan Melayu akan mula berpihak di antara dua atau tiga pecahan kumpulan umat yang berpecah.

Apabila terjadi demikian, pecahan Melayu yang lain mula sangsi terhadap masyarakat bukan Melayu. Semakin lama, akan semakin membara. Kepercayaan sesama rakyat Malaysia akan semakin hilang.

Seterusnya, bukan lagi rahsia, bahkan menjadi 'open secret' bahawa pakatan pembangkang itu sendiri pernah bekerjasama dengan kuasa asing untuk memenangi pilihanraya, dan usaha mereka berjaya pada PRU14.

Hal ini pernah dilaporkan oleh media asing, termasuk Washington Post yang mengatakan US campurtangan dalam politik Malaysia. Bahkan Deniel Twining daripada NED dan IRI mengakui mereka mula bekerja secara rahsia dengan pembangkang Malaysia sejak 2002.

No comments:

Post a Comment