Sunday 28 May 2023

SEJARAH BULAN SABIT MERAH MALAYSIA

 
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) adalah satu gerakan khas yang ditubuhkan pada tahun 1948. Persatuan ini diiktiraf kerajaan Malaysia pada tahun 1957 dan Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada tahun 1963.
 
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai cawangan Persatuan Palang Merah Britain di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1950-an, lebih banyak cawangan persatuan ditubuhkan di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun 1950 dan kemudian di negeri-negeri lain.
 
Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, cawangan di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Persekutuan Tanah Melayu. Persatuan tersebut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada 4 Julai 1963 dan menjadi ahli badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.
 
Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada September 16, 1963, suatu penggubalan akta baru yang dikenali sebagai Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang Merah di Sabah dan Sarawak dibawah nama baru iaitu Persatuan Palang Merah Malaysia. Ia dibentangkan di Parlimen dan digazetkan pada 1 Julai 1965.
 
Pada 5 September 1975, Persatuan Palang Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia 1975 oleh Parlimen Malaysia.
 
Di peringkat antarabangsa, penubuhannya dimulai dengan penubuhan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah ((International Committee of the Red Cross) pada tahun 1864 di Geneva, Switzerland. Tugas jawatankuasa di bawah undang-undang antarabangsa ini adalah untuk melindungi nyawa dan kehormatan mangsa perang.
 
Pengasas Pergerakan Palang Merah ialah seorang ahli perniagaan bernama Henry Dunant (1828-1910) yang sedih melihat mangsa perang antara Perancis dan Itali dengan tentera Austria di Solferino, Itali pada 24 Jun 1859. Lebih 40,000 tentera dan orang awam cedera dan terkorban. Henry Dunant dan rombongannya telah membantu mangsa yang merintih dan nyawa-nyawa ikan ke sebuah gereja berdekatan.
 
Sebuah buku kenangan dan pengalamannya “A Memory ol Solferino” telah dicetak dan dihadiahkan kepada semua ketua negara di Eropah. Kandungan buku itu telah menyedarkan ketua-ketua kerajaan di Eropah. Di dalam buku itu turut mencadangkan agar membentuk organisasi kemanusiaan antarabangsa bagi membantu tentera dan orang awam yang cedera dan menderita semasa peperangan. Ia juga turut mencadangkan agar diadakan perjanjian antarabangsa agar tentera yang cedera dari mana-mana pasukan hendaklah dibantu.
 
Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah adalah satu pertubuhan kemanusiaan bertaraf antarabangsa. Ia dikenali di setiap negara di dunia ini. Ramai yang mengetahui kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan ahli persatuan ini sama ada pada waktu aman mahupun peperangan atau darurat.
 
Persatuan ini sentiasa memberi khidmat kepada mereka yang menderita dan dalam keadaan bahaya, terutama semasa bencana alam, peperangan dan dalam kehidupan seharian.
 
Dalam masa aman, ahli persatuan ini berlatih menyediakan diri untuk membolehkan mereka memain peranan yang lebih berkesan lagi dalam masa perang atau kecemasan.
 
Di samping itu mereka juga terlibat dalam pelbagai aktiviti, bertujuan meringankan penderitaan manusia. Ini termasuk antara lain, melatih orang awam ilmu pertolongan cemas, bantuan bencana dan aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan dan kebajikan.
 
Walaupun ia satu organisasi antarabangsa, pertubuhan ini adalah organisasi persendirian. Tiada kerajaan yang mengawal Palang Merah/Bulan Sabit Merah.
 
Palang Merah mempunyai tugas istimewa yang diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa. Ia merupakan satu-satunya pertubuhan persendirian yang tugasannya ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa.
 

No comments:

Post a Comment