Saturday 30 December 2023

PEJUANGKAN KEPENTINGAN RAKYAT DENGAN IKHLAS

 
Ada pihak yang cuba menjadi jaguh kononnya memperjuangakan sesuatu untuk kepentingan rakyat dengan cara mengadakan domonstrasi atau perhimpunan haram. Tindakan itu nyata tidak memberi kesan kebaikan kepada rakyat, bahkan sebenarnya menimbulkan banyak masalah serta boleh menggugat ketenteram dan perpaduan negara. 

Tindakan pihak yang menganjurkan perhimpunan haram itu sebenarnya lebih bermotifkan untuk kepentingan politik masing-masing dan bukannya untuk kepentingan rakyat. 

Mengapa perlu diadakan perhimpunan haram untuk menyatakan sesuatu perkara kepada kerajaan, sedangkan negara kita memberi seluas-luasnya peluang kepada rakyat melalui wakil rakyat kawasan masing-masing untuk membawa usul atau dibincangkan di Parlimen. 

Sekarang ini pembangkang mempunyai ramai wakil rakyat di Parlimen sama ada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang boleh membahaskan sesuatu perkara untuk kepentingan rakyat. 

Amat tidak masuk akal jika yang menjadi penganjur dan menyokong pehimpunan haram adalah terdiri ahli Parlimen sendiri yang sebenarnya boleh secara langsung menyampaikan sesuatu usul untuk kepentingan rakyat di Parlimen.  

Rakyat sepatutnya lebih sedar dan memahami keperluan untuk menjagikan perpaduan sebagai agenda utama di dalam masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia ini. 

Perhimpunan haram bukan saja memberi kesan psikologi yang berunsurkan kebimbangan dan ketakutan kepada rakyat, tetapi memberi kesan buruk kepada ekonomi negara. 

Selain itu perarakan yang besar boleh menimbulkan kesesakan lalu lintas yang teruk di samping menjejaskan perniagaan di sekitar tempat perhimpunan jika ia tidak dapat dikawal. 

Penganjur perhimpunan haram sepatutnya mendengar rintihan dan kebimbingan rakyat jika mereka sebenarnya benar-benar melakukan tindakan itu untuk kepentingan rakyat.  

Apa yang amat dibimbangkan ialah akan terdapat pihak-pihak dan anasir-anasir yang tidak diingini dan tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mencetuskan lagi provokasi bagi mewujudkan suasana tidak terkawal sehingga akhirnya menjadikan negara tidak aman. 

Selama ini, kemerdekaan yang telah negara peroleh membuktikan bahawa perpaduan antara kaum bukanlah suatu perkara yang mustahil. Perpaduan sebagai batu asas dan tonggak kemerdekaan Malaysia dengan menjadikan perbezaan budaya, warna kulit, agama dan adat resam sebagai keunikan bangsa Malaysia yang boleh kita banggakan sehingga hari ini. 

Perpaduan kaum yang berterusan sehingga hari ini amat menjelaskan hubungan baik yang telah terbina antara pelbagai bangsa di Malaysia sejak sekian lama. Semangat akomodatif dan sikap hormat-menghormati yang telah diwarisi oleh setiap budaya dan agama telah menjadi asas dan kekuatan kepada perpaduan ini. 

Perpaduan perlu terus menjadi matlamat pembangunan negara supaya Malaysia dapat mengekalkan keamanan serta mempunyai bangsa yang maju dan berjaya. Ia dapat direalisasikan melalui usaha rakyat terus memelihara perpaduan antara kaum. 

Perpaduan kaum berlaku apabila rakyat pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup aman damai sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. 

Tanpa perpaduan, amat sukar untuk memelihara keamanan. Lihat sahaja bagaimana sebuah bangsa atau negara yang tandus perpaduan dijajah dan diperlakukan dengan kejamnya oleh bangsa asing, malah hidup melarat dan merempat di tempat sendiri. 

Seharusnya kita menjadikan fenomena ini sebagai suatu pengajaran supaya rakyat negara kita tidak terjebak dalam usaha-usaha untuk menggugat keamanan. Sewajarnya, warga Malaysia akan terus mempertahankan semangat perpaduan dan nilai-nilai murni yang tinggi dalam kehidupan masyarakat yang tidak memandang rupa, warna kulit atau perbezaan budaya. 

Semangat perpaduan ini dipupuk semenjak kecil lagi supaya mereka lebih memahami dan menghargai makna sebuah kasih sayang dan kehidupan yang aman damai. Dan ia perlu ada di dalam jiwa setiap warga Malaysia tanpa mengira rupa, warna kulit atau perbezaan budaya.

No comments:

Post a Comment