Wednesday 4 September 2024

SEBAB ANAK MENJADI DERHAKA KEPADA IBU BAPA

Anak adalah hadiah dan amanah Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang berstatus suami isteri dalam kehidupan berumah tangga. Boleh dikatakan setiap pasangan suami isteri ingin memiliki cahaya mata hasil daripada perkahwinan mereka. Hal ini kerana melalui kelahiran cahaya mata ia akan menambah erat kasih sayang antara suami isteri.
 
Setiap anak yang dilahirkan juga membawa makna rezeki yang baik untuk ibu bapa dan ahli keluarga. Setiap pasangan yang mendambakan anak harus sedar bahawa betapa penting dan besarnya amanah yang akan dipikul kelak.
 
Hal ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak.  Oleh itu, ibu bapa perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi ujian daripada Allah SWT ini. 
 
Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."  (Surah al-Taghabun, ayat 15)
 
Ujian itu dalam pelbagai bentuk. Kasih sayang dan pengorbanan jika satu bentuk ujian. Mendapat anak orang kelainan upaya (OKU) juga satu bentuk ujian. Satu lagi bentuk ujian ialah apabila anak menjadi derhaka dan tidak mendengar kehendak ibu bapa.
 
Antara faktor utama yang menjadikan anak-anak derhaka ialah kurangnya pendidikan agama dan kesedaran beramal dengannya. Amatlah malang sekiranya kita mempunyai anak yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya tetapi bersikap buruk dan menderhaka kepada ibu bapanya.
 
Anak-anak yang dididik dengan mementingkan kebendaan semata-mata akan menilai kehidupan ini dengan aspek kebendaan sahaja, mengira untung rugi dan mengejar kemewahan.
 
Sebab itu nanti akan muncul generasi yang beranggapan bahawa golongan orang tua khususnya ibubapa adalah sebagai beban dalam kehidupan mereka. Tiada kasih sayang atau belas ehsan tetapi yang difikirkan ialah bagaimana mahu melepaskan diri dari tangungjawab dan bebanan tersebut.
 
Dalam hal ini. mereka perlu sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT dengan sentiasa mengadu dan bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada suatu rezeki pun yang Allah berikan kepada seseorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar." (Riwayat al-Hakim)
 
Kesimpulannya, kita perlu sedar bahawa anak yang menjadi impian dan penantian bagi setiap pasangan suami isteri merupakan sebuah amanah yang besar. Ia tidak sekadar anugerah tetapi diberi dengan amanah.
 
Secara mudahnya, ia bermaksud anak itu merupakan anugerah Allah SWT untuk menguji sikap ibu bapa. Sama juga dengan harta, ia bukan untuk kita nikmati, tetapi untuk digunakan di jalan Allah SWT.
 
Namun, ramai ibu bapa yang melupakan hakikat ini. Mereka menyangka bahawa anak itu milik mereka. Berikutan itu, mereka bebas melakukan apa saja yang dikehendaki terhadap anak tersebut.
 
Bukan setakat itu, malah ada yang beranggapan anak itu sebagai satu aset pelaburan. Lalu anak-anak disekolahkan sejak kecil lagi dengan impian agar mereka boleh memberi wang ketika dewasa nanti sebagai hasil pelaburan. Semua sangkaan dan anggapan ini adalah tersasar daripada tujuan sebenar Allah SWT kurniakan anak kepada pasangan suami isteri iaitu 'anak amanah Allah SWT'.   
 
Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment