Langkah bijak yang perlu dilakukan
oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad kredit ialah dengan memilih
kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.
Ini kerana ia bukan sahaja menepati
syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya. Penggunaan kad kredit
perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan dan tidak
membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.
Pertama, masyarakat perlu memahami
bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk memberikan kemudahan kepada mereka
ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia membahayakan
keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.
Dengan adanya kad kredit, mereka
tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari bank dan pengguna
tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau pembayaran.
Sayangnya, ada di kalangan
masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan tetapi lebih
kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang
tinggi di mata masyarakat.
Keadaan ini tidak pelik kerana
terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel yang memberikan
layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej
kemewahan.
Hasilnya, terbitlah sifat- sifat
negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati. Sifat
berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah
dengan ajaran Islam.
Pendek kata, penggunaan kad kredit
untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada tujuan asalnya.
Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti
melanggar batasan yang sepatutnya.
Jika motif memiliki kad kredit
adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan cenderung kepada
membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan
menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad
kredit semata-mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan
berstatus tinggi.
Perlu diberi perhatian juga,
penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat. Masyarakat
boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan.
Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.
Ini kerana, ia akan mewujudkan
budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam kecuali bagi mereka
yang benar-benar berhajat kepadanya. Menggunakan
kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita
menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu
dilunaskan.
Semuanya akan dipertanggungjawabkan
sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak sekiranya gagal
menunaikannya.
Justeru, masyarakat perlu berfikir
terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad kredit. Gunakanlah
sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.
Di samping itu, di antara perkara
yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah perbelanjaan
tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk
membayar semula.
Ini bermakna, perbelanjaan melalui
kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati.
Buat perancangan sebelum membuat pembelian.
Jangan berbelanja mengikut hawa
nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara
perbelanjaan dan pendapatannya.
Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal
dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang
tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan
menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment