Penggunaannya makin popular dan
boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit. Sebabnya, ia
memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai. Secara
mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang
kad membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang
tunai.
Namun, pernahkah kita bertanya
bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya sahaja! Pihak
pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya,
menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had
maksimum yang boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai 'had
kredit'.
Apabila kad berkenaan digunakan
untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan akan berkurangan.
Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini jika
pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.
Namun, pemegang kad kredit biasanya
tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya membayar jumlah faedah dan
bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang
sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah pembayaran ini
tidak digalakkan.
Kad kredit jika digunakan mengikut
kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat memberi manfaat kepada
masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah.
Pemilik kad kredit yang gagal
melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan
kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan
pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif
muda berusia bawah 30 tahun.
Walaubagaimanapun, penggunaan kad
kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor kredit yang sebelum ini
terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi
merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.
Namun, seperti yang dinyatakan di
atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit secara berleluasa tanpa
pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada ekonomi dan
moral individu serta masyarakat.
Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya
berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan
hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.
Ini bermakna, perbelanjaan melalui
kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati.
Buat perancangan sebelum membuat pembelian.
Jangan berbelanja mengikut hawa
nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara
perbelanjaan dan pendapatannya. Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal
dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang
tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan
menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment